7 | Banding

968 155 63
                                    

"Yeay," Ahmad melonjak kegembiraan apabila Salman mengizinkannya untuk tidur di bilik utama itu. Kanak-kanak berkenaan lekas mengambil bantal kecil di biliknya.

Aisyah melihat sahaja wajah suaminya pada malam itu. Kekura tangan Salman disentuhnya lembut. Ahmad tidak merayu pada mereka untuk tidur bersama tetapi Salman tiba-tiba sahaja mengubah peraturan.

"Abang," panggil Aisyah. Kulit tapak tangan Salman terasa sejuk ditambah pula dengan sedikit getaran. Dia menyulamkan jemari dengan lelaki itu.

"Kenapa?" Salman memandang isterinya dengan tenang. Penangan panggilan tadi masih tersisa. Aliran haba di tangan itu membuatkan dia berasa selamat.

"Abang okay?" Wajah Salman dibeleknya. Dia meletakkan tangan pada ruas dahi lelaki itu. Ada sesuatu yang berlaku di luar pengetahuan Aisyah. Matanya melihat ke dalam lensa hitam milik Salman.

"Abang okay," Salman tersenyum nipis. Dia tak mahu perkara buruk terjadi semasa mereka sedang tidur. Maka lebih baik Ahmad tidur sebilik dengannya buat masa ini sehingga situasi beralih selamat.

"Kenapa tiba-tiba beri Ahmad tidur sebilik dengan kita? Abang kata nak ajar dia tidur asing." Aisyah mengusap tangan suaminya. Pasti ada sesuatu yang tidak kena.

"Abang nak dia tidur dengan kita sebab abang risau kalau apa-apa benda buruk terjadi," Salman membiarkan Aisyah melekapkan tapak tangan pada dadanya yang berlapik baju.

Memang Salman kelihatan lain pada malam itu. Anak matanya seperti sentiasa berjaga-jaga. Jantungnya pun berdegup lebih laju berbanding selalu. Aisyah dapat rasai detakan yang kebimbangan.

Ahmad hadir terkedek-kedek dengan mengheret bantalnya. Dia cepat-cepat naik ke atas katil kerana takut Salman ubah fikiran. "Adik tidur dulu," ujarnya.

Bantal kecil itu diletakkan ke sebelah ayahnya lalu dia berbaring. Tangan kecilnya diangkat menandakan dia sedang membacakan doa.

"Selamat malam ayah... Ibu... Baby-baby adik. Adik sayang semua." Salman tersenyum melihat anaknya. Dia mengusap rambut Ahmad dengan penuh kasih. Ahmad, anak sulung buat Salman.

"Selamat malam, adik," balas Salman.

Kelopak mata Ahmad terpejam. Hati kecil itu sedang kegembiraan dapat kebenaran untuk tidur di samping ayah dan bonda. Belaian Salman makin meletakkan dia ke dalam alam tidur. Dia menyelesakan pembaringan dan memeluk selimut berhampiran.

"Abang, baringlah," pujuk Aisyah. Dia dapat merasakan getaran pada tangan Salman lagi.

Salman mengangguk kecil dan merehatkan badan ke atas katil. Di kirinya terdapat tubuh Ahmad manakala Aisyah terbaring di sebelah kanan.

Aisyah mengambil selimut membaluti tubuh lelaki itu. Dia merapati tubuh Salman lalu dipeluk suaminya. Tanpa mengetahui asbab ketakutan Salman, dia cuba menenangkan lelaki itu. Belakang Salman diusap lembut sambil bibir menggulung senyuman.

"Abang takut," bisik Salman.

"Allah kan ada?" Wajah suaminya dielus. Jelas terpampang Salman sedang kegelisahan. Dia mendakap tubuh bidang itu lagi hingga degupan jantung Salman beransur normal. Selalunya Salmanlah yang memeluk dia tetapi kali ini sebaliknya berlaku. Pelukan Aisyah memujuk Salman untuk terus bertahan walau apa pun yang berlaku.

"Abang doa pada Allah supaya lindungi kita daripada perbuatan jahat manusia dan jin. Allah sentiasa mendengar doa hambaNya. Mohon agar hati ini diberikan kekuatan walaupun nanti kita sudah hampir berputus harapan." Aisyah meletakkan tangannya pada dada Salman. Dia menepuk dada lelaki itu lembut sahaja. Senyumannya disertakan sekali bagi menyuntik sedikit semangat.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now