Zack baru lepas membersihkan diri masuk ke dalam kamar tidurnya. Dia yang bertuala terduduk di atas katil. Rambut hitamnya dilap sekali lagi dengan tuala kecil lalu dia sidaikan di ampaian bilik.
Keberadaan Najla yang sedang nyenyak tidur meskipun matahari telah terpacak membuatkan Zack terdetik untuk mengejutnya. Dia duduk berhampiran gadis itu lalu menyentuh tangannya.
"Awak, bangunlah."
Najla terpisat-pisat membuka kelopak mata. Dia memandang Zack lama. Pandangannya berlabuh pada dada Zack. Tersemi satu tatu berwarna hitam di situ.
Wajahnya diusap Zack lembut. Kasih sayang lelaki itu sentiasa ada buat dirinya dan takkan pernah kering. "Awak dah sudah mandi?" bisik Najla.
"Ya."
"Awak pergilah pakai baju, nanti mak nampak..." Najla risaukan aib suaminya. Dia memandang wajah Zack.
"Sekejap lagi saya pakai. Sekarang ni awak lapar tak?" Tangan Najla dibawa Zack ke rahangnya.
Najla mengangguk kecil. Perlahan-lahan dia menegakkan tulang belakang di kepala katil. "Awak dah makan? Nak saya teman?"
"Saya nak makan dengan awak."
"Okay, boleh. Awak pergi pakai baju dulu. Saya risau mak nampak nanti." Najla memegang tangan suaminya dengan kedua-dua belah tangan. Kalau boleh, dia tak mahu keadaan menjadi kian buruk. Puan Asma mungkin tak perasan perbuatannya asyik melukakan hati Zack. Semalam pun tika Zack bawanya pulang ke rumah, Puan Asma ada menegur Zack kerana membeli goreng pisang sedangkan Najla tidak boleh makan makanan berminyak.
Lelaki itu bingkas ke almari lalu menyarungkan sehelai tshirt. Usai memakai kain pelikat dia kembali duduk di birai katil. Senyumannya naik ke telinga kerana mahu bermanja dengan isteri sementara Naufal sedang tidur tengah hari dengan mak mertuanya.
"Rambut ni..." Najla menyisir rambut suaminya dengan jemari.
Zack suka dilayan begitu. Perlahan-lahan kepalanya berlabuh pada riba Najla. Anak matanya menikmati pandangan itu. Untuk melihat wajah Najla dari pandangan riba, gadis itu tampak sempurna buat Zack.
Telapak tangan Najla masih menyisir rambutnya. Apabila pucuk hidungnya disentuh gadis itu lalu dia menjongketkan kening. "Kenapa?"
Najla menggeleng. "Awak jangan terasa ya dengan mak? Mak saya memang macam tu. Saya minta maaf..."
Zack menurunkan kelopak mata tak mahu berfikir panjang. Dia biarkan diri dibelai gadis Siam kesayangan. Nasib baik hanya ibu mertua yang berperangai begitu, buatnya Najla terikut sekali suka membebel habis Zack tidak pulang ke rumah terus.
"Awak, saya minta maaf," sayu Najla.
"Awak tak salah, sayang." Telapak tangan gadis itu dikucup Zack lalu dia membuka mata. Wajah Najla kian menunduk sambil diusap suaminya. Kasihan Zack terpaksa bersusah kerana dia.
Zack menurunkan kelopak mata menanti bibir delima itu untuk berlabuh pada dahinya. Separuh hidupnya adalah milik Najla. Selebihnya untuk Muhammad Naufal.
Ketukan pada pintu bilik membeliakkan mata Zack.
"Zack, Najla," panggil Puan Asma. Dia yang berdiri di pintu bilik berkerut memandang pasangan suami isteri itu. Tombol pintu dilepaskan lalu dia menapak selangkah.
Zack cepat-cepat bangun dan tersenyum sendiri.
"Kenapa Zack baring atas riba Najla? Dia kan baru balik dari hospital," Puan Asma memandang menantunya. Dia tidak berkenan perbuatan Zack yang suka melanggar pantang sedangkan Najla baru pulang dari hospital. Luka jahitan pun belum sembuh lagi.
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة
AcciónBOOK #2 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 (SILA BACA NOVEL UNTUK KE SYURGA DAHULU) Bismillah Setiap orang mencuba untuk dapatkan kebahagiaan tersendiri. Ada yang baginya duit ialah sumber kegembiraan. Ada pula yang menukilkan kasih sayang sebagai jaw...