Kereta Honda Civic yang terparkir di seberang kedai mamak menjadi tujuan utama. Dia terkocoh-kocoh membuka pintu dan meloloskan diri ke dalam perut kereta. Lampu atap tidak dibuka, sekilas pandang kedua-dua wajah di tempat duduk hadapan kelihatan dalam gelap malam. Seorang sedang berpeluk tubuh, seorang lagi menekan minyak. Deruman kereta memecah suasana.
8.00 malam.
Pacuan itu beransur pergi.
Tiada tanda-tanda ada orang yang mengikuti.
"Nak pergi mana ni?" si pemandu bersuara.
"Abang, saya minta maaf," ucap Haikal. Hatinya bungkam. Motorsikalnya tersadai di kedai mamak kerana cuba berjumpa dengan Zack dan Salman secara sembunyi. Takut Fadzli dapat mengesyaki.
"Simpan maaf kau nanti," balas Salman. Lelaki itu berwajah tegang. Dia sudah muak untuk menerima ucapan maaf. Kalau ucapan maaf itu boleh kembalikan Ahmad kepadanya, mungkin dia boleh terima.
Hati Salman sakit dianiaya begini. Kalau diikutkan barannya, sudah lama berkecai wajah Haikal. Namun, dia masih punya iman di hati bagi kekal rasional. Aisyah telah dihantar ke rumah di bawah perlindungan Mikhail.
"Mana Fadzli?" Zack bersuara.
"Saya tak tahu. Tapi saya tahu rumah dia dekat mana."
"Kenapa kau culik anak aku?" Cermin yang memantulkan jalan di belakang dikerling Salman. Hatinya beristighfar lama.
"Fadzli... Fadzli nak ambil buah pinggang Ahmad untuk simpanan dia."
Salman dan Zack masing-masing terkejut. Mereka tahu bukan wang yang Fadzli mahukan tetapi ada udang di sebalik batu. Lelaki kaya itu mustahil mahu tambahkan lagi duit. Fadzli sudah cukup kaya ketika bekerja dengan Kaisar. Tanya saja Kaisar, berapa keuntungan mereka setiap bulan. Kaisar sendiri berat hati untuk melepaskan Fadzli. Doktor sepakar itu telah berhenti kerja dan membawa haluan sendiri.
"Anak doktor tu ada masalah buah pinggang tahap dua."
"Tahap dua? Bukannya kronik lagi. Apa masalah dia?" Dada Salman turun dan naik dengan pantas. Ahmad tidak bersalah langsung dalam hal ini. Dia hanyalah seorang anak yatim yang mahu hidup gembira bersama keluarga.
"Ya, memang tak kronik lagi. Dia cuma takut untuk kehilangan anak dia. Dia jadi overprotective. Buah pinggang tu akan disimpan sampai anak dia perlukan suatu hari nanti," jujur Haikal. Fadzli gila. Dia gila dengan cintanya kepada Amirah. Darah daging Amirah itu dijaga sebaik mungkin sampaikan seekor nyamuk pun tidak hinggap.
Salman meraup wajah sendiri. Stereng kereta digenggam erat kerana bengang. Fadzli memang telah menempa maut sendiri. Urat pelipisnya menegang tika itu.
" Sabar, Man. Kita boleh dapatkan Ahmad balik," pujuk Zack. Pacuan mereka masih tiada hala tuju. Dibawa sahaja dengan kelajuan yang tinggi. Semakin lama, semakin laju kereta dibawa Salman.
"Saya boleh tunjukkan jalan ke rumah Doktor Fadzli." Sebuah rumah agam yang terpencil dari masyarakat. Di situ Fadzli menjaga Puteri dengan bantuan Mia buat dua tahun ini. Dua tahun lepas hatinya hancur menerima berita pernikahan Aisyah, Mia lah yang menjadi pengantinnya tika itu.
"Ada siapa-siapa ikut kau tadi?" Zack bersilang tangan ke dada.
"Tak. Orang suruhan dia takde." Telefon pintar digenggam erat. Mesej rayuan dari Mia membuatkan Haikal bertekad mahu berjumpa Salman kembali. Jururawat itu merayu agar Haikal buat sesuatu memandangkan hanya Haikal yang dikenali Mia.
"Sekarang ni kita nak report polis ke tak nak?" Zack pusing. Salman terus menyepikan diri. Jangan ditanya kenapa, fikiran lelaki itu hanya mahukan Ahmad selamat.
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة
ActionBOOK #2 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 (SILA BACA NOVEL UNTUK KE SYURGA DAHULU) Bismillah Setiap orang mencuba untuk dapatkan kebahagiaan tersendiri. Ada yang baginya duit ialah sumber kegembiraan. Ada pula yang menukilkan kasih sayang sebagai jaw...