29| Dia

1.2K 140 31
                                    

Kaki lelaki itu dibantu naik ke atas katil seperti kebiasaan malam selepas mandi. Fadzli tersenyum senang. Tubuhnya sudah segar. Mudahnya hendak mandi dengan bantuan gadis muda itu.

Malam menjelma, barulah Mia pulang dari tempat kerja dengan perut boyotnya.

Gadis yang bunting itu mengurut kaki suaminya di birai katil bagi menghilangkan rasa kebas dan agar darah dapat berjalan dengan lancar. Baju jururawat putih pun tidak bertukar lagi dia telah memandikan suami. Hanya tudung sahaja yang sempat ditanggalkan.

Fadzli masih memegang satu album. Di setiap helaian gambar dia menulis satu ayat deskripsi di bawahnya. Pen dakwat hitam utuh di tangan. Apa yang diingati, Fadzli akan turunkan pen.

Amirah & Fadzli, ulang tahun kelahiran Mira yang ke-25

Matanya tekun menilik raut wajah isteri pertama. Jarinya menyentuh gambar seorang gadis bermata hazel. Jiwanya kosong meskipun telah pulang ke rumah selama sebulan. Siang dan malam hanya diluangkan masa bersama-sama album gambar lama itu tika ketiadaan Mia di rumah.

Album ditundukkan sedikit, sesekali matanya mengintai perbuatan Mia. Mia sentiasa ada untuknya. Namun, hatinya berasa masih sayangkan arwah Amirah berbanding gadis muda itu. Cinta untuk Mia ada, tetapi dia sedang terbuai dengan memori lama.

"Abang, kita makan ubat ya?" sapa Mia.

Anggukan kecil diberi.

Fadzli tak banyak bercakap. Dia hanya cuba mengingati cebisan memori yang masih ada untuk mengenali diri lalunya.

"Mia, princess sakit buah pinggang ya?" soal itu terbit di bibirnya. Matanya mengamati satu wajah anak kecil.

"Abang ingat Puteri?" Mia mengambil air kosong dan ubat suaminya. Dia tidak pun menagih kasih Fadzli. Hidupnya masih sama seperti sebelum ini. Hanya menjadi orang gaji, hati Fadzli tiada buatnya.

"Ingat. Dia anak abang dengan Mira. Masa tu abang baru balik kerja, Mira beritahu abang yang dia mengandung. Abang gembira sangat," khabar Fadzli.

Senyuman nipis Mia yang terparmer. Bayi dalam kandungan itu tidak pun diendahkan si ayah. Diusap sahaja, kemudian Fadzli akan kembali pada album gambarnya dan menanyakan beberapa perkara yang tiada kaitan dengan Mia.

"Mira tu... Dia suka makan banyak masa mengandung sampai berisi." Fadzli tertawa halus. Matanya hanya tertancap pada wajah Amirah.

"Iya?" sambut Mia. Sekurang-kurangnya Fadzli sudah banyak bercakap.

"Kadang-kadang kan, abang marah dia sebab dia suka makan lewat malam. Patutlah pipi dia tembam." Album itu ditutup. Lelaki itu gembira ada orang yang mahu bersembang dengannya malam itu.

"Baju dia tak muat, dia pakai baju abang pula." Fadzli kelihatan gembira menceritakan kisah isterinya. Album itu dipeluk tak mahu lepas. Setiap senyuman untuk Amirah, hati Mia menahan perit.

"Abang tengoklah album kahwin kita pula," cadang Mia.

"Tak nak lah. Abang nak ingat balik benda lama. Pasal Mia abang tahu dah. Mia isteri kedua abang yang abang kahwini untuk jaga arwah anak abang," jawab lelaki itu selamba.

"Takpelah kalau macam tu." Mia tersenyum perit. Kehadirannya masih tak dialu-alukan di sini. Perut sudah memboyot pun suami gilakan isteri lama. Silap hari bulan, dia melahirkan anak di dalam bilik sorang-sorang tanpa Fadzli.

Dia perlahan-lahan berdiri. Dilihat kaki sendiri yang telah bengkak dengan kandungan bayi yang berat. Tujuh bulan. Tulang belakangnya pun sudah terasa sakit. Tak siapa mahu bertanya keadaannya.

Tudung putih dan beg sandang di tepi katil diambil.

"Mia, nak tidur dah ke?" Fadzli menjongketkan kening. Belum berasa puas untuk bersembang.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now