13 | Bahagia

875 165 41
                                    

"Firash macam mana? Dah surut demam dia?" tanya seorang lelaki berkopiah di muka pintu rumah. Di sebelah lelaki itu pula ada seorang perempuan bertudung litup. Kedua-duanya ialah jiran Aisyah yang diselangi beberapa buah rumah.

"Abang Firash demam lagi. Dia tengah berehat," jawab Aisyah sambil tersenyum nipis.

"Kalau Aisyah nak minta tolong lagi, panggil je saya. Kesian pula dekat Firash. Tiba-tiba je ya dia demam?" Amin masih berdiri di situ bersama isterinya.

"Em, ya. Semalam sihat je." Aisyah menghela nafas halus. Dia sedih memikirkan keadaan Salman yang masih terlantar di atas katil sebaik pulang dari klinik pagi tadi. Sudah menginjak petang pun Salman masih tidak bermaya.

"Mungkin ada orang berhasad dengan dia."

"Orang tak puas hati?"

"Ya, kadang-kadang ada orang yang iri hati dengan rezeki kita. Hanya melalui pandangan mata, itulah bahaya penyakit Ain. Ada orang yang mungkin tak sedar telah berniat buruk ke atas Firash. Dengan izin Allah, niat buruk itu terkena pada dia."

Tubuh Jannah dipeluk Aisyah erat. Dia terdiam seketika. Pernahkah mereka menunjuk nikmat kepada orang lain? Muat naik di media sosial pun jarang sekali. Salman amat menegah Aisyah memuat naik gambar anak-anak mereka ke media sosial kerana takut terkena penyakit Ain. Tak siapa tahu niat buruk di hati kita akan menjadi kenyataan.

"Nanti Aisyah bacakan doa elak fitnah Ain dekat Firash. Sebutkan nama dia sekali masa baca. Insya Allah, semoga demam dia berkurang. Lepas subuh nanti baca ruqyah selalu. Macam yang ustaz ajar dekat kelas fardhu ain. Aisyah tahu kan doanya?"

"Tahu. Terima kasih, Amin."

Pada zaman Nabi, pernah berlaku juga keadaan seperti ini. Di mana ada seorang sahabat yang mencemburui rupa elok rakannya lalu dengan kuasa Allah, rakannya itu pengsan. Setelah dibacakan doa oleh Rasulullah SAW, barulah rakan berkenaan sedar. Walhal sahabat tadi bukanlah menghantar sihir, hanya dengan pandangan mata dan sedikit hasad dengki telah mampu memberi mudharat kepada orang lain dengan kehendak Allah. Apa-apa yang terjadi adalah daripada Allah, tidak ada yang berlaku melainkan dengan kehendakNya.

Aisyah amat berterima kasih kepada pasangan suami isteri itu. Dia hampir hilang harapan apabila kesemua jirannya sibuk ingin ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah pagi tadi. Namun,ada juga insan yang baik hati seperti Amin dan isteri, sanggup mengorbankan masa kerja mereka.

Pintu rumah dikunci kemudian barulah dia melangkah masuk ke bilik. Ahmad masih setia di sisi Salman bagi menjaga ayahnya. Mata Aisyah yang berkaca segera dikesat. Dia menyimpulkan senyuman buat anak angkatnya.

Ahmad meletakkan sapu tangan lembap ke atas dahi Salman lalu dia berbaring elok di sebelah lelaki itu. Kanak-kanak itu tidak ke taska hari ini kerana katanya ingin menjaga ayahnya. Jannah diletakkan ke dalam katil bayi bersama-sama Firdaus.

Kedua bayi itu telah dimandikan dan sedang kekeyangan. Hanya menunggu masa saja untuk terlelap. Sukarnya Aisyah untuk menjaga bayi itu jika mereka membuat perangai lagi. Selama ini Salmanlah yang banyak membantunya di saat dia hampir berputus asa murung selepas melahirkan bayi-bayi itu. Dengan sakit ketika berpantang, susu badan tidak cukup untuk dua bayi itu dan bermacam lagi ujian yang dihadapi.

"Abang," panggil Aisyah sambil memegang lengan suaminya. Demam Salman tak sehebat pagi tadi kerana tubuhnya telah dimasukkan air di klinik. Perut Salman kosong tidak berisi sejak pagi, dia hanya tidur sepanjang hari.

Dahi Salman dirasai Aisyah. Lembap sahaja atas usaha Ahmad dengan sapu tangan kecil. Dia kembali mengusap lengan suaminya. "Abang."

Salman menghela nafas lalu mencelikkan mata. Badannya terasa serba serbi lemah dan berat. Wajah Aisyah dipandangnya dengan kerdipan mata.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now