27| Terima

1K 149 45
                                    

Puan Asma terdetik untuk menjenguk menantunya yang masih demam. Pintu bilik diketuk terlebih dahulu lalu dia menapak ke dalam. Senyuman nipisnya terukir melihat tubuh Zack terbaring di atas katil.

Muka Zack merah tika demam. Kulitnya yang cerah memang begitu. Kadang-kadang kerana penat buat kerja pun mukanya boleh merah padam.

Tubuh menantunya tidak berbaju, sekadar terselimut hingga ke paras pinggang. Pada tubuh Zack bahagian atas pula ditutup dengan sehelai baju. Najla tidak sarungkan baju kerana Zack rimas asyik mahu tanggalkan baju.

"Mak tak boleh makan ni. Mak ada gout, dengarlah cakap Zack. Zack sedih tengok mak mengesot dalam bilik," luah Zack. Dia hampir berkaca air mata kerana risaukan wanita tua itu. Pinggan yang terkandung pulut kuning dan rendang daging diambil Zack.

Memutihlah mata wanita tua itu. Hatinya sakit dengan tingkah laku menantu yang seorang ini.

Tahulah yang menggendong dia hingga ke klinik semalam itu Zack, tapi tak perlulah larang dia makan makanan kegemarannya.

"Mak kan dah tua. Biarlah mak nak makan apa-apa. Kalau mati, mati juga," balas Puan Asma tidak endah.

Zack menggeleng lemah. Orang tua memang keras kepala. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Puan Asma.

"Tak boleh. Zack kan dah janji nak bagi mak ramai cucu. Mak kena jaga kesihatan untuk kami semua. Nanti siapa nak bebel dekat Zack kalau mak takde? Nanti Zack tak jaga Najla betul-betul dalam pantang macam mana? " Zack mengesat air mata sendiri di hadapan ibu mertuanya.

"Zack kan tak suka mak bebel," potong Puan Asma tak mahu memandang lelaki itu. Matanya dialihkan ke singki sana.

"Zack suka, cuma Zack tak suka mak bandingkan Zack dengan kawan baik Zack. Zack sedih..." Tangan wanita tua itu diraih. Dia mengucupnya kasih. "Maafkan Zack, mak. Zack suka melawan cakap mak, maaf. Zack dah lama tak rasa kasih sayang seorang ibu. Berilah peluang untuk Zack rasa kasih sayang mak puas-puas."

Air mata Puan Asma jatuh dengan sendiri melihat tangisan ikhlas menantunya. Dia menarik wajah Zack agar memandangnya. "Zack sayang mak? "

" Sayang. Sebab tu Zack tak suka mak makan tak berpantang, nanti mak sakit."

Serendah-rendah Zack pun, dialah yang merisaukan Puan Asma siang dan malam. Bukannya Salman yang disanjung tinggi itu. Puan Asma terdiam. Dia sedar khilafnya yang suka bercakap lepas selama ini untuk menyedapkan hati sendiri.

"Mak minta maaf sebab susahkan Zack malam-malam. Mak dah lah berat." Puan Asma tersenyum nipis.

"Tak apa, Zack tak kisah. Asalkan mak sihat. Mak jaga makan ya? Dengar cakap Zack ni."

"Iya. Zacklah yang makan pulut kuning tu. Nanti kalau ada depan mata, mak pula yang nak makan."

"Kalau mak nak pulut kuning nanti Zack minta Najla buatkan dengan rendang ayam," senyum lelaki itu. Pinggan pulut kuning dibawanya bersama. Dia boleh saja makan pulut itu, tetapi tak mahu menyantap di hadapan Puan Asma. Kasihan pula mengidam nanti.

Bunyi batukan Zack menyentakkan Puan Asma. Menantunya asyik terbatuk kahak dua tiga hari ini. Dahi pun masih panas lagi apabila diperiksa Puan Asma.

Naluri keibuannya mula sayangkan Zack sebagai anak sendiri. Botol minyak angin diambilnya. Dia mahu melegakan batuk itu.

Apabila kain baju diselak sedikit, dia sedari ada satu dakwat hitam yang tersemat pada dada. Semakin ditarik, lengkaplah seekor kala jengking hitam terpeta di atas kulit dada Zack.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now