14 | Rezeki

881 147 29
                                    

"Awak, awak tahu tak kawan awak tu tengah sakit?" Najla memandang suaminya. Dia yang bertudung litup itu sudah lama hendak menyuarakan tentang keadaan Salman dan Aisyah. Malam ini mood Zack seakan sudah pulih. Kesibukan mereka menjaga Puan Asma membenarkan lelaki itu untuk melegakan amarah perihal kemalangan Naufal dan Ahmad.

"Sakit apa?" Zack mengangkat wajah. Hujung keningnya digaru perlahan. Kawan yang dimaksudkan Najla sudah tentu si Firash yang asyik disebut ibu mertuanya selama ini. Itu saja kawan lelaki yang dikenali Najla.

"Dia demam dah masuk tiga hari," ujar Najla. Aisyah yang khabarkan tentang keadaan Salman kepadanya buat dua tiga hari ini. Al-Quran itu dibawa ke dalam dakapan sesudah dibaca.

"Biarlah dia. Nanti dia sihatlah. Salman tu bukannya lembik sangat. Awak tak payahlah kisah pasal dia." Rasa bencinya pada Salman masih tersisa. Dengan betis Naufal yang membiru, panas pula hati lelaki itu. Salman baik? Hidup lama-lama dengan dia, tahulah baik buruk Salman Firash itu.

"Dia memanglah akan sihat. Tapi kesian Aisyah nak kena jaga anak-anak dia lagi. Dia tak pergi kerja dah tiga hari sebab nak jaga Salman. Lagipun Aisyah tengah mengandung. Saya risaukan kandungan dia tak kuat lagi kalau asyik buat kerja berat. Siang tadi dia ada mengadu yang perut dia sakit. Saya risau..." luah Najla ikhlas dari lubuk hati. Dia sangat risaukan keadaan Aisyah yang terpaksa menghadapi segalanya seorang diri. Keluarga Aisyah tinggal agak jauh dari mereka. Untuk melihat Aisyah, Najla perlukan juga keizinan dari Zack.

Wajah sayu Najla menjentik ego Zack. Zack akhirnya melepaskan keluhan. Matanya beralih melihat betis Naufal yang sudah beransur pulih sejak kejadian tempoh hari. Kemarahannya menjulang kerana asyik dibandingkan dengan Salman Firash. Terasa diri itu hina di mata Puan Asma.

" Salman dah pergi hospital?" Setinggi mana pun ego, dia tidak boleh berlaku kejam terhadap sahabat sendiri.

"Aisyah kata dia bawa pergi klinik je lepas tu Salman minta balik rumah. Saya letak Al-Quran sekejap ya?"

Hati itu mula berbelah bahagi. Zack mengetap bibirnya lama mengenangkan perbuatannya yang mengabaikan Aisyah tempoh hari. Wajahnya diraup lalu dia terbaring ke atas katil.

"Kita pergi melawat dia esok, nak?" Najla kembali mendapatkan suaminya. Dia menyimpulkan senyuman kepada Zack.

"Awak, saya jahat ke?" Zack lemah, hatinya asyik berbolak balik.

"Kenapa pula?"

"Saya cemburu dengan rezeki kawan sendiri. Saya iri hati dengar isteri dia hamil." Zack telah mendoakan keburukan untuk Salman selama ni kerana mahu melihat lelaki itu buruk di mata Puan Asma.

"Jangan la macam tu, ya? Dia kan kawan baik awak." Najla menanggalkan tudungnya lalu dia duduk bersimpuh di sebelah Zack.

"Tahu." Benarlah dia telah berlaku kejam pada Salman. Beberapa hari yang lalu dia telah terdetik alangkah bagusnya andai kandungan Aisyah gugur. Nauzubillahi min zalik. Takut detikannya akan menjadi kenyataan. Salman sedang sakit di rumah, Aishah pula terkapai-kapai menguruskan rumah tangga.

Lengan direhatkan pada dahi. Zack diserbu rasa bersalah yang teramat. Dia tak mampu menerima diri yang telah mengharapkan mudharat ke atas Salman sekeluarga.

"Zack, pergi kahwin dengan Najla. Kau dah sampai sini dah, jangan patah balik pula."

"Kau tu?" Zack memeluk lututnya rapat ke dada.

"Aku kena uruskan Ahmad. Takpelah kau kahwin dulu pun. Aku tak kisah. Lagipun siapa je nak aku, kan?" Salman ketawa halus.

Zack menarik nafas dalam. Dia tidak dapat menimbang kebaikan lelaki itu padanya selama ini kerana hasad dengki. Habis perbuatan Salman jadi salah di mata.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now