Gadis itu tersenyum sendiri di hadapan cermin meja solek. Rambut separas bahunya disikat setelah dikeringkan dengan tuala. Hatinya berbunga-bunga apabila mencelikkan mata, Fadzli sedang tidur di sisinya. Namun, lelaki itu tidak pun bangkit untuk solat subuh malah hanya sambung lena apabila digerakkan.
Umurnya 25 tahun, Fadzli pula 35 tahun. Jika mereka dikurniakan anak pada tahun ini, bermulalah kisah hidupnya sebagai seorang ibu. Jika anak itu 5 tahun, Fadzli akan melewati usia 40 tahun.
Rutin penjagaan wajahnya disudahkan secepat mungkin lalu dia menyarungkan baju jururawat putih. Selepas ini, dia perlu uruskan Puteri pula.
Dalam tidak sedar, pinggang rampingnya dirangkul Fadzli dari belakang. Mia sedikit terkejut dengan perbuatan lelaki itu.
"Abang..." Gadis itu tersenyum sendiri.
Dagu suaminya berehat pada bahu. Bibir Fadzli berlabuh pada pipi dari sisi. Lelaki itu kelihatan tersenyum sekali. Satah cermin memantulkan wajah Fadzli yang seakan baru bangun tidur. Rambutnya tidak terurus, baju pun masih baju semalam.
"Sayang, kenapa tinggal abang?"
"Dah pagi, kan? Abang pun kena pergi mandi. Abang kata ada urusan penting hari ni," Mia tertunduk malu. Dia tak biasa dilayan semanis itu.
"Lupa pula. Nasib baik sayang ingatkan." Rangkulannya diperkemaskan.
"Abang ada urusan apa?" soal Mia. Tubuhnya tertarik untuk duduk di birai katil apabila Fadzli menapak ke belakang. Kekallah tubuhnya di atas riba lelaki itu.
"Rahsia," bisik Fadzli. "Kenapa you pakai baju ni?"
"Sebab abang yang letak syarat macam tu."
"Lepas ni you pakai baju macam biasa. Kita bukan dekat hospital, ni rumah kita," ujar Fadzli.
"Okay," akur Mia. Dia membiarkan diri dipeluk suaminya buat seketika. Hangat tubuh lelaki itu mengalir kepadanya.
"Abang, siapa budak yang abang bawa balik semalam?" Gadis itu selesa dipeluk begitu.
"Anak kawan abang."
"Kenapa dengan kawan abang?"
"Sayang, jangan banyak tanya boleh tak? Itu urusan I. Mind your own business as my wife only. "
Mia mengetap bibir, suara Fadzli berubah serta merta nadanya. Salahkah soalan tadi? Dia meleraikan lengan Fadzli perlahan-lahan kerana mula lemas dengan perbuatan lelaki itu. Fadzli tergelak sahaja kerana Mia masih belum biasa dengan caranya yang begini. Pipi gadis itu dikucup sekali.
"I nak pergi mandi lepas ni. Pasal budak tu... You bagilah dia makan. I ada urusan luar. Jaga anak I dan budak tu," pesan Fadzli.
Mia mengangguk faham. Lelaki 30-an itu bingkas berdiri dan berlalu keluar. Tinggallah gadis muda itu sendiri di birai katil. Hati Mia mula berprasangka terhadap apa yang cuba disorokkan Fadzli.
Bekas ciuman Fadzli pada pipinya disentuh lama. Kasih yang diberikan suami memeluk sanubari.
Bibirnya yang tegang mengoyak senyuman. Mungkin dia saja yang terlebih berfikir. Fadzli hanyalah seorang doktor pakar yang sibuk dengan urusan sendiri dalam menjaga anak kandungnya, itu sahaja.
Tanpa berfikir panjang Mia melangkah ke dapur. Fadzli pun sudah mula meraikannya sebagai isteri, terasa pagi itu mahu memasakkan sesuatu yang istimewa. Beberapa barang masakan dari peti ais dibawa keluar ke kaunter dapur. Di situ segalanya dihiris Mia dengan cinta. Serai, daun limau purut, halia dan beberapa ketul daging ayam.
Nasi semalam di dalam periuk diramas agar tidak berketul. Api dibukanya, lalu gadis itu menumis cili kisar bersama-sama pes tom yam. Aroma nasi goreng tom yam mula naik ke atmosfera dapur.
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة
AksiyonBOOK #2 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 (SILA BACA NOVEL UNTUK KE SYURGA DAHULU) Bismillah Setiap orang mencuba untuk dapatkan kebahagiaan tersendiri. Ada yang baginya duit ialah sumber kegembiraan. Ada pula yang menukilkan kasih sayang sebagai jaw...