15| Kesayangan Ayah

966 143 36
                                    

"Abang..." lirih Aisyah dengan titisan air mata. Rasa sakit di bahagian rahimnya makin mencengkam. Nafasnya terketar-ketar.

Peluh merenik pada ruas dahi lelaki itu. Dadanya beralun pantas lalu dia membuka kelopak mata.

Lelaki itu terus bingkas duduk di atas katil hospital. Hati beristighfar berkali-kali hingga nafasnya kembali tenang. Melihat dirinya terlantar di atas katil, Salman meraup wajah.

"Aisyah."

Nafas dalam ditarik Salman. Cahaya mentari menerangi di dalam ruangan pesakit itu. Dia mengesat peluh pada dahinya. Rasa dingin sudah mula menjemput setelah tiga hari berpanas. Apabila angin kipas meniup, seluruh tubuhnya sejuk kerana peluh di badan. Suhu tubuhnya telah kembali kepada sediakala.

Kelibat seorang jururawat yang melintas dipanggil Salman. Dia meminta untuk tusukan branulanya dicabut kerana mahu menjenguk Aisyah. Tahu kandungan janin itu mustahil untuk diselamatkan. Ketika di atas katil semalam Aisyah mengadu kesakitan yang teramat. Malah ada ketulan daging berdarah yang telah keluar darinya. Sayang, itu anak mereka yang masih lemah. Mereka tidak punyai rezeki untuk memiliki anak buat masa ini. Tidak mengapa, Ahmad dan si kembar masih ada.

Lelaki berbaju hitam itu mula bertanyakan pada jururawat yang bertugas sama ada gadis yang mengalami keguguran semalam ada di hospital ini atau telah pulang ke rumah. Dia amat bersyukur tenaganya telah kembali pulih. Tangannya tidak lagi menggigil dan dapat menggenggam dengan baik. Cuma tekak saja rasa dahaga setelah pengsan semalaman.

Kringgg

Salman sedikit terkejut. Dia hanya mengabaikan panggilan telefon di kaunter itu. Matanya fokus pada seorang jururawat yang sedang mencari data Aisyah Qomar di dalam komputer. Waktu itu, Salman berasa badannya melekit-lekit dengan rembesan peluh. Jam dinding dikerling, sudah pukul 12 tengah hari. Padanlah. Segalanya menjadi gelap ketika dia di bahu Zack semalam. Wajah Zack ialah wajah terakhir yang diingati sebelum dia disalurkan ubat dan air untuk menurunkan suhu badannya yang teramat panas.

"Aisyah Qomar ada di bilik 3A-1-5," khabar jururawat pada lelaki berkenaan. Dia menyimpulkan senyuman nipis melihat wajah tidak terurus Salman yang baru lepas discharge dari wad atas.

"Encik ni Salman Firash ke?" Jururawat yang mengangkat panggilan telefon tadi beralih kepada Salman secara tiba-tiba.

"Ya, saya. Kenapa?"

"Ada panggilan untuk encik." Ganggang telefon diserahkan pada tangan Salman.

Panggilan?

Kening lelaki itu pun berkerut hairan. Ganggang telefon dirapatkan pada sisi telinga.

"Dua tiga kucing berlari, mana nak sama si kucing belang. Dua tiga Salman berlari, tak tahu yang mana akan hilang...

Selamanya.

Satu, isteri yang sedang terlantar selepas pembedahan. Dua, anak angkat yang sedang di taska. Tiga, si kembar yang sedang berada di rumah sahabatnya.

Selamat menjawab, Salman Firash. Jawapannya nanti kau sendiri akan tahu keesokan hari."

Langkah kaki berlari seiring dengan degupan kencang jantung. Koridor hospital yang dipenuhi beberapa orang itu dilintasi Salman. Kakinya terus melangkah bagi mencari bilik si isteri. Salman cuba untuk bertenang saat itu namun ketakutannya tak mampu disorokkan. Anak mata meliar kiri dan kanan, tercari-cari bilik di aras tiga itu.

Dia menolak daun pintu setelah tiba di hadapan bilik Aisyah. Aisyah ditempatkan ke wad kelas pertama atas permintaan Zack selepas menjalankan pembedahan.

Salman menapak ke dalam ruangan privasi yang menempatkan isterinya. Hatinya bungkam. Otaknya tepu. Kelihatan sekujur tubuh sedang terlantar di atas katil. Selimut menutupi dari hujung kaki hingga ke pinggang. Namun, wajah Aisyah tersorok di sebalik penjuru dinding bilik air berdekatan pintu masuk.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now