Ahmad bercangkung di sebelah basikal kecil Naufal. Dia berasa seronok melihat Naufal sudah pandai mengayuh basikal kecil itu meskipun kayuhan Naufal adalah ke belakang bukannya ke hadapan. Basikal milik Ahmad adalah versi sedikit dewasa. Terdapat tayar di kiri dan kanan basikal kedua-dua mereka.
"Nanti kita makan kuih tart lagi. Sedap, kan?" Sebuah basikal merah ditolak mendekati Naufal. Itulah makanan petang mereka setiap hari yang dihidangkan Aisyah. Kadang-kadang Aisyah sibuk dan tidak sempat untuk memasak apa-apa. Itu yang makanan kebanyakannya ditempah.
Naufal mengangguk laju. Dia amat gembira beroleh basikal sempena ulang tahun kelahirannya yang ketiga. Dua saudara itu bermain di kawasan tempat parkir kereta sahaja kerana pagar utama rumah Salman sedang berkunci rapat. Pagar besi hitam itu memang tinggi dan mustahil untuk dilepasi Ahmad dan Naufal. Tak kisahlah, main di dalam kawasan rumah lagi seronok.
Tayar basikal Ahmad bergolek lalu dia mula bergerak. Basikal itu dikayuh penuh berhati-hati memandangkan terdapat beberapa barang di penjuru halaman. Naufal teruja melihat Ahmad membawa basikal sekelilingnya. Ketiadaan kereta Honda Salman di rumah memberikan mereka ruang yang agak luas untuk bermain. Salman telah keluar bersama-sama Zack ke suatu tempat sejak pagi lagi. Katanya ada kerja penting.
"Amad, basikal baby tak bergerak pun?" Naufal hanya menolak menggunakan kaki bagi mengikuti laluan Ahmad. Dia sedikit kecewa dan mula menyangka basikalnya telah rosak.
Ahmad menarik brek lalu berhenti betul-betul di sebelah Naufal. "Nopal ni tak pandai kayuhlah," omel Ahmad. Dia berkerut melihat kaki Naufal yang masih belum melekap di pedal. Sudah penat dia mengajar seharian.
"Amad ajar la lagi..." pinta Naufal yang mula bersedih hati. Dia mahu juga mengayuh basikal sekeliling rumah dan merasai tiupan bayu petang.
Kanak-kanak lima tahun itu turun daripada basikalnya. Dia membaiki kaki Naufal agar utuh pada pengayuh. "Kaki ni jangan alih. Kena tolak ke depan."
Ahmad kembali berdiri sesudah itu.
Lama Naufal berfikir. Dia cuba mengayuh ke hadapan tapi terasa sukar. Mengayuh ke belakang adalah lebih mudah.
Keluhan terbit di bibir Ahmad. Susah juga nak mengajar orang ni.
" Tak boleh... " Naufal tersebek-sebek memandang rakan baiknya. Matanya mula berkaca.
"Nopal jangan la menangis. Nopal kan dah tiga tahun?" pujuk Ahmad sambil menepuk bahu Naufal.
Naufal menggeleng perlahan. Air matanya dikesat dengan telapak tangan.
"Hm..." Jari telunjuk diletakkan pada bibir buat seketika. Ahmad memerhatikan tempat duduk belakang pada basikalnya. Dia mula mendapat satu idea bernas.
Naufal beransur turun dan duduk di tempat kecil itu. Diamlah anak kecil itu apabila Ahmad mula mengayuh basikal. Baju Ahmad digenggamnya erat sepanjang basikal itu bergerak. Senyuman Naufal makin melebar. Rasa sayang kepada Ahmad juga bertambah.
"Nopal suka?"soal Ahmad. Dia hanya mampu mengayuh perlahan kerana masih baharu lagi dengan dunia basikal.
" Cuka!" sahut Naufal di belakang. Matanya meliar ke kiri dan kanan. Rasa teruja bersulam dalam tawanya.
Ahmad mendaratkan kaki setelah membuat beberapa pusingan. Penat juga bawa Naufal ini.
"Amad kenapa berhenti?" Naufal menjengulkan kepala.
"Penatlah..." balasnya. Peluh sudah merenik di dahi Ahmad.
"Kayuh la lagi..." pinta Naufal berkali-kali. Dia masih belum puas.
"Okaylah, lepas ni nak makan pula tau," akur Ahmad. Grip basikal dipegangnya erat. Ahmad menolak kakinya membentuk pusingan berterusan. Baru dia sedar yang basikal itu akan bertambah laju jika pusingan yang dibuat dalam satu masa dipercepatkan.
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة
AcciónBOOK #2 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 (SILA BACA NOVEL UNTUK KE SYURGA DAHULU) Bismillah Setiap orang mencuba untuk dapatkan kebahagiaan tersendiri. Ada yang baginya duit ialah sumber kegembiraan. Ada pula yang menukilkan kasih sayang sebagai jaw...