Biji mata Salman terbeliak luas apabila sedar dia sedang tertiarap di atas lantai. Lama dia cuba mengkoordinasikan otak sebelum bangkit perlahan-lahan. Tubuhnya kebas keseluruhan.
Kepala yang sakit diusap.
"Aisyah," bisik Salman. Tangannya terpasak pada katil.
"Aisyah," panggil Salman lagi. Dia menggoncangkan bahu gadis itu. Jantungnya makin berdetak laju.
Jangan kata.
Aisyah yang tersedar daripada tidur terkelip-kelip memandang suaminya. Wajahnya sedang disentuh kedua-dua belah tangan Salman sebelum lelaki itu memeluk kepalanya tanpa asbab. Salman terduduk di birai katil, Aisyah didakapnya dengan tangisan di wajah. Sisi kepala gadis kesayangannya dikucup, terlalu sayang.
"Apa kau buat dekat sini?"
Salman bingkas berdiri. Matanya mencerlung ke arah lelaki yang baru melangkah ke dalam bilik itu. Kehadirannya amat mengganggu suasana. Aisyah telah terlena bertemankan Ahmad di sebelah. Ibu dan anak itu saling berpelukan di bawah sejuknya pendingin hawa.
"Jangan bising, nanti Aisyah terjaga," balas doktor itu. Dia tersenyum sahaja melihat keadaan Salman.
"Keluar," nada suara Salman direndahkan namun masih tegas.
"Aku cuma nak melawat Aisyah dan Ahmad. Aku dengar dia gugur, ya? Baru nak masuk bulan ketiga, gugur dah anak kau." Fadzli berani berdiri di hadapan Salman. Bahu lelaki itu ditepuknya sambil dia membuat wajah simpati.
"Macam mana kau tahu?"
"Sebab... Aku yang buat," bisik Fadzli betul-betul di sebelah telinga Salman.
Salman menolak bahu lelaki itu kasar. Penumbuknya tergenggam erat. "Apa kau buat dekat isteri aku?" Dadanya turun dan naik dengan pantas.
"Itulah kau, jadi suami asyik susahkan isteri."
"Kau buat apa dekat Aisyah?" Kesabaran Salman teruji hebat. Ingin sahaja tubuh lelaki itu dibelasah hingga lumat. Leher baju Fadzli ditariknya dengan bengang.
"Aku tunaikan janji aku. Itulah jawapan teka teki untuk kau. Satu-satu teka teki aku akan jadikan ke realiti."
Daripada: unknown
Salah! Bukan lelaki atau perempuan. Tak boleh nak teka jantina sebab janin tu dah gugur. Hanya ketulan darah dan daging yang belum sempat membentuk rupa seorang manusia.Urat lehernya semakin menegang. Cengkaman pada baju Fadzli makin kuat hingga doktor itu terdongak. Dengan pantas Fadzli bertindak mengenakan sesuatu pada perut Salman yang beralas baju itu. Senyuman Fadzli terbentuk elok, matanya melihat Salman mengerang kesakitan.
Salman asyik dengan demamnya, hingga Aisyah menahan sakit dari siang pun dia tidak sedar. Itulah hari sebelum Aisyah menangis kesakitan.
Penumbuk Salman perlahan-lahan terbuka. Tubuhnya jatuh mencium lantai. Pandangnnya mula kabur sebelum gelap sepenuhnya.
"Abang..." Aisyah mengusap belakang tubuh suaminya. Dari tadi Salman diam di dalam pelukan. Gegaran badan yang menahan tangisan itu dipujuk Aisyah lembut.
"Abang, kenapa ni... Abang ada sakit dekat mana-mana?" Aisyah risau melihat suaminya menangis begini.
"Abang minta maaf sebab susahkan Aisyah." Salman menarik nafas dalam. Tubuhnya ditolak Aisyah perlahan bagi meleraikan pelukan. Aisyah mahu melihat wajah suaminya ini.
"Mana ada," geleng Aisyah. "Kita kan dah janji untuk susah senang bersama."
"Aisyah, siapa yang buat Aisyah gugur?" soal Salman. Dia terpejam kesal, penuh sesalan.
YOU ARE READING
Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة
AcciónBOOK #2 of 𝕳𝖎𝖏𝖗𝖆𝖍 𝕰𝖉𝖎𝖙𝖎𝖔𝖓 (SILA BACA NOVEL UNTUK KE SYURGA DAHULU) Bismillah Setiap orang mencuba untuk dapatkan kebahagiaan tersendiri. Ada yang baginya duit ialah sumber kegembiraan. Ada pula yang menukilkan kasih sayang sebagai jaw...