12 | Ain

909 153 40
                                    

Secawan air kopi panas dicicipnya hingga kering. Matanya kembali segar walau tidak tidur semalaman. Dia menggeliat kecil lalu menyambar sehelai kertas di atas meja.

Gambar wajah kanak-kanak yang baru diterimanya daripada Haikal ditatap lama. Dia mendongak ke siling dan membawa gambar itu keawangan sebelum bingkas berdiri. Lelaki itu melangkah ke papan kenyataan bilik kerjanya. Bilik yang agak luas dan dikhaskan untuk urusan kerja Fadzli sebagai seorang doktor meskipun dia telah lama berhenti daripada menabur bakti dengan hospital kerajaan mahupun swasta.

Fadzli tersenyum sendiri.

Terima kasih kepada Haikal yang menjadi perisik upahan dalam bayang. Segala maklumat tentang keluarga Salman telah lengkap sempurna. Di mana Ahmad belajar, apa rutin harian Aisyah dan ke mana bayi kembar itu ditempatkan ketika Salman bekerja. Kalau diminta untuk cederakan mereka sekeluarga pun dia mampu. Namun, target utamanya hanyalah seorang kanak-kanak. Tak mahu pula habiskan masa untuk melukakan Salman dan yang lain. Mungkin boleh dibuat pengecualian bagi Salman memandangkan Salman telah merampas Aisyah di saat dia mahukan gadis itu. Satu pengajaran manis harus ditinggalkan buat Salman.

Keinginan untuk mengahwini Aisyah telah termati kerana gadis itu telah menjadi milik Salman. Apatah lagi Aisyah telah melahirkan anak Salman. Mengambil bekas orang adalah bukan prinsip hidup Fadzli.

Gambar itu menyertai papan kenyataan apabila dipin Fadzli. Beberapa maklumat penting berada memenuhi dinding. Kebanyakannya adalah rekod kesihatan Ahmad dan data-data pembedahan yang pernah dilakukan sebelum ini. Dimaklumkan bahawa Ahmad berada pada tahap kesihatan yang baik selepas menjalani pembedahan jantung dua tahun yang lalu. Wajah kanak-kanak lelaki itu disentuhnya.

"Ahmad," sebut Fadzli. Kelembutan kulit kanak-kanak itu bagai dapat dirasai.

Tok tok

"Masuk." Fadzli tidak pun menoleh bagi melihat si pemanggil. Dia sudah tahu siapa yang akan menjaga kebajikan dirinya setiap hari.

"Doktor, makan tengah hari dah siap." Seorang gadis 20-an berpakaian seragam jururawat putih sedang berdiri terpacak di muka pintu. Dia menundukkan wajah sekadar melakukan tugasannya. Raut kacak Fadzli tidak beriak.

"Okay. Tolong kemas meja aku." Doktor itu berlalu ke meja kerja untuk mengambil sebuah telefon pintar. Dia melintasi jururawat itu tanpa memandang sedikit pun. Walaupun hakikatnya itu ialah isteri yang sah buat Fadzli sejak dua tahun yang lalu. Setelah Fadzli beredar, barulah Mia menapak ke dalam bilik kerja. Seorang gadis yang masih baru bergelar graduan kejururawatan. Rambut yang bermain di wajah diselit ke belakang telinga.

Pakar Pediatrik Nefrologi, Mohd Fadzli Razak

Kad doktor yang terbiar di atas lantai dikutip Mia. Dia melihat tangkapan gambar di hari pertama Fadzli bergelar doktor pakar di mana pada hari itu Mia pula telah seminggu posting di hospital yang sama. Kad itu membuatkan dia tersenyum kecil. Kepingan plastik itu diselitkan elok pada bekas pen. Biar senyuman Fadzli kekal di situ.

Dia menyusun segala dokumen Fadzli kemudian mencapai sebatang penyapu pula. Bilik itu dibersihkan Mia agar nanti Fadzli dapat menyambung kerja dengan tenang. Sejak akhir-akhir ini Fadzli seakan sedikit gembira berbanding biasa. Mungkin ada khabar gembira yang disorokkan daripada pengetahuannya. Namun, itu juga perkara biasa buat Mia. Fadzli tidak pernah berkongsi apa-apa melainkan melayannya sebagai seorang jururawat dan pembantu rumah.  Dia tidak memandang gadis muda itu sebagai isteri. Jururawat itu melangkah keluar sambil menatang cawan kopi.

Kelihatan dapur rumah kosong sahaja. Makanan yang dihidangnya bagai tidak terusik oleh sang suami. Langkah gadis itu membawa ke hadapan sebuah bilik. Terus tangannya menguak pintu perlahan-lahan. Celahan kecil membenarkan Mia untuk melihat keberadaan Fadzli di dalam bersama-sama anak perempuannya.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now