18 | Jaga

921 149 37
                                    

Kekura tangan Aisyah diusapnya lembut. Tidur sudah isterinya selepas menyusukan kedua bayi mereka hingga kenyang. Badan lemah Aisyah memaksa diri untuk menurunkan kelopak mata.

Firdaus dan Jannah telah dibawa pulang oleh Mikhail dan Diana. Mereka menetap di rumah Salman buat seminggu dua bagi menjaga anak Aisyah memandangkan keadaan Salman pun tidak terdaya. Mujurlah Mikhail membuat keputusan begitu selepas melihat keadaan adik iparnya.

Zack hadir perlahan-lahan ke dalam bilik itu. Setelah penat tunggu di luar, dia melangkah ke dalam bagi memeriksa keadaan Salman. Salman masih berjaga menemani isterinya yang telah terlelap kepenatan.

"Kau tak balik lagi?" soal Salman. Malam semakin gelap buat mereka.

"Aku nak tengok kau, Ahmad dan Aisyah. Takut perkara buruk berlaku," balas Zack. Tangannya disilangkan ke dada.

Jawapan itu membuatkan Salman jadi serba salah. "Najla dan Naufal? Mak mertua kau?"

"Semuanya aku dah hantar balik rumah ayah mertua aku. Aku risau kalau orang jahat serang keluarga aku pula. Dekat rumah ayah mertua aku ada juga saudara mara yang lain, boleh jagakan Najla dan Naufal. Jadi, aku nak tidur hospital malam ni."

"Polis kan ada nak jaga Ahmad?"

"Polis pun dah balik. Dah pukul 1 pagi ni."

"Maaflah aku asyik susahkan kau." Senyuman hambar Salman terukir. Dia mengesat air mata sendiri mengenangkan kelemahan diri. Andai mereka cuba untuk menculik Ahmad lagi, memang dia tak mampu untuk melawan. Siang tadi dia dibelasah teruk hingga terpaksa berkerusi roda. Tenaganya masih terbatas untuk melangkah.

Salman hanya sempat berehat sebentar setelah lukanya dirawat. Kemudian dia bergegas bagi menjenguk Aisyah yang asyik melinangkan air mata.

"Aku dah janji untuk jaga keluarga kau kalau jadi apa-apa dekat kau. Aku takkan mungkiri janji aku."

Salman menghela nafas hangat. Dia menggeleng perlahan. Belakang badannya sakit dijahit tadi. Hingga sekarang sengatannya terasa apabila mahu bersandar pada kerusi roda itu.

" Dah, jangan menangis. Aku jaga kau, okay? Aku takkan biarkan orang yang aku sayang lemah macam ni." Zack menepuk bahu Salman yang berbaju hijau hospital itu. Di sebalik helaian kain ada lebam-lebam pukulan. Mujur tiada tulang yang patah.

Zack mula menolak kerusi roda ke luar bilik Aisyah. Dia mahu membawa Salman pergi berehat di katilnya. Salman juga perlu berehat. Kadang-kadang dia sendiri lemah melihat ujian Salman yang jauh lebih berat daripada dirinya.

Lelaki itu telah kehilangan kandungan yang baru berusia dua bulan. Isterinya pula dalam keadaan emosi yang tidak stabil, yang hanya mahukan Salman di sisi sampai mengabaikan anak kembarnya. Ditambah lagi dengan Ahmad yang hampir diculik dan sudah tentu kanak-kanak itu sedang trauma ketakutan.

Terlalu banyak ujian yang menimpa bahu lelaki di hadapannya ini. Zack terus menolak kerusi roda, menemani rakan dunia akhiratnya.

Salman akan menyalahkan diri sendiri andai nanti Ahmad dan Aisyah terluka. Kerana itulah Zack mahu berada untuk mereka sekeluarga. Supaya ada tulang belakang yang menguatkan Salman Firash bagi menjalani hidupnya keesokan hari.

"Man, siapa pukul kau siang tadi?" soal Zack tika keluar daripada lift. Lengang sahaja keadaannya.

"Tiga orang. Haikal, bekas pekerja kau dan dua orang yang aku tak kenal." Pandangan Salman kosong. Dia banyak termenung.

"Haikal?" Zack terkejut.

"Ya. Dia kata nak balas dendam dekat aku sebab rampas telefon dia."

"Budak tu gila ke? Dah la telefon tu hasil curi duit aku."

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now