17| Haus Rindu

932 139 43
                                    

Bunyi tangisan bayi memecah benak sejak tadi. Mata anaknya terpejam erat menangis kelaparan namun tak diendahkan si ibu. Terkocoh-kocoh abangnya dan isteri menjaga anak kembar itu.

Makanan tidak disentuh, anak tidak disusukan, Aisyah cuma termenung semenjak tadi. Dia mengiring ke arah tingkap dan membelakangi Mikhail dan Diana. Otaknya kosong. Rahimnya juga kosong tanpa janin.

"Aisyah, anak awak lapar ni. Dia tak nak minum susu formula," keluh Mikhail. Jannah didukungya dengan harapan tangisan bayi itu akan berhenti.

Ayat-ayat Mikhail tidak dibalas. Aisyah tidak beriak di atas katil. Keberadaannya bagai patung cendana. Dia tidak mahu apa-apa melainkan Salman.

Suaminya tidak menampakkan diri sejak pagi lagi. Aisyah sendiri dalam tangisannya. Tak tahu bagaimana untuk mengawal diri daripada terus memikirkan anak mereka yang telah gugur. Rahimnya sakit dibedah.

Kadang-kadang dia terfikir, ke mana Salman di saat dia dalam keadaan begini? Bukankah lelaki itu telah berjanji untuk sentiasa bersamanya?

Tubir mata Aisyah melinangkan air.

"Abang..." bisik gadis itu. Sungguh hati itu mengharapkan Salman Firash untuk ada.

Pandangannya terus terlontar ke luar jendela. Wajah bayi kembarnya tak ingin dilihat. Bagaimana dia hendak susukan jika jiwanya tiada di situ untuk mengusap dan membelai cahaya matanya?

Tangisan Aisyah tidak berlagu. Ditahan dirinya daripada terus menangis kerana Salman tidak suka dia menangis. Tangannya naik mengelap tangisan.

Masih hati itu mahukan suaminya.

Kebingitan tangisan tadi kian reda setelah Mikhail dan Diana menapak keluar, meninggalkan Aisyah sendiri dengan seorang lelaki yang dinanti.

Zack menepuk lembut bahu Salman sebelum melangkah pergi.

"Aisyah."

Mata Aisyah membulat. Suara itu. Dia segera menoleh ke belakang. Air matanya berlumba-lumba membasahi wajah.

Kelihatan Salman sedang tersenyum nipis ke arahnya. Namun, pada wajah suaminya penuh dengan lebam seperti baru lepas dipukul. Aisyah terkelip-kelip. Dia bingkas duduk di atas katil. Kepala Salman turut terbalut dengan kehadirannya bersama-sama kerusi roda.

"Abang pergi mana?" Aisyah mula menangis teresak-esak.

"Abang minta maaf." Kekura tangan Aisyah diraih. Nafasnya dihela melihat keadaan Aisyah. Emosinya tidak stabil seperti tika baru lepas melahirkan si kembar.

"Aisyah rindu abang," adu Aisyah. Hatinya sayu. Dia perlahan-lahan berbaring mengiring ke arah lelaki kesayangannya. Air mata terus berguguran, senyuman nipisnya terukir.

"Sini abang ubat rindu tu," balas Salman. Pipi Aisyah dielusnya lembut. Badannya masih sakit dipukul siang tadi, tapi selemah mana pun dia harus dikuatkan juga demi Aisyah.

"Abang... Kenapa abang duduk atas kerusi roda?" Wajah Salman ditiliknya.

"Abang tak larat. Ada orang pukul abang," ujar Salman separuh berbisik.

"Abang duduklah atas katil dengan Aisyah." Gadis itu cuba ingin mengesot ke tepi. Dia benar-benar risau melihat suaminya.

Salman menggeleng. Kepala isterinya diusap dengan penuh kasih. "Itu katil Aisyah. Untuk isteri abang rehat."

"Abang jangan tinggalkan Aisyah dah tau?" pinta Aisyah seperti anak kecil.

Salman tak boleh menjanjikan apa-apa. Ahmad sedang dikawal rapi oleh pihak polis di sebuah kamar hospital . Anak itu sedang berehat. Salman takut serangan tidak berakhir pada hari ini.

Uɴᴛᴜᴋ ᴋᴇ Sʏᴜʀɢᴀ 2 ✓[C] |هجرة Where stories live. Discover now