8 tahun kemudianSejak dari kejadian di mana lakaran bunga muncul di belakang tubuh Amaryllis, kehidupan mereka sekeluarga berubah secara mendadak.
Nama Amaryllis Equinox mula dikenali diserata tempat.
Gadis itu dikenali dengan kebolehan mampu menunaikan permintaan dan hajat sesiapa saja yang meminta.
Pada mulanya, hanya kedua ibu banya saja yang tahu, tapi disebabkan Ryzal mahu menguji kebolehan si anak, dia memperkenalkan anaknya itu kepada orang kampung.
Ternyata, telahan Ryzal betul. Amaryllis adalah kelahiran kepada cerita dongeng lama yang pernah didengarinya dan diceritakan semula kepada si isteri.
Sejak daripada itulah, ramai orang datang dan bertemu dengan keluarga itu dan membuat hajat dan permintaan.
Namun, ia bukanlah percuma. Ryzal mengambil kesempatan atas kebolehan anaknya dengan mengenakan bayaran kepada sesiapa saja yang mahu melakukan hajat dan meminta permintaan. Dia sengaja mengambil kesempatan itu untuk memungut keuntungan.
Semua orang yang datang sanggup membayar berapa saja jumlah yang diminta, asalkan hajat mereka tertunai.
Dari sejak itu, mereka bertiga mulai hidup dalam kemewahan dan kekayaan.
Tetapi, Clarissa sedar akan sesuatu. Dia nampak jelas perubahan sikap anak gadisnya itu.
Anak yang dulunya selalu tersenyum dan ketawa, kini semakin hilang serinya. Senyuman si anak perlahan-lahan menghilang.
Tawanya apatah lagi. Sudah dua tahun langsung tidak kedengaran dan hanya senyuman saja yang menghiasi wajah. Namun, ia hanyalah senyuman kosong dan langsung tiada serinya.
Melihat pada perubahan itu, Clarissa mengambil keputusan untuk membincangkan hal tersebut dengan suaminya.
Ryzal dan Clarissa kini berada di dalam bilik mereka dan bersedia untuk tidur.
"Sayang, saya ada benda sikitlah yang nak dibincangkan." Clarissa berkata dengan teragak-agak.
Ryzal merebahkan tubuhnya dan berbaring membelakangkan si isteri.
"Esok je lah, Rissa. Saya nak tidur ni. Esok ada temu janji dengan pelanggan besar," balas Ryzal yang ternyata tidak tertarik untuk membincangkan apa-apa dengan si isteri.
"Tapi, ia tentang anak kita, Amary."
Ryzal membalikkan tubuhnya, menghadap Clarissa.
"Ada apa dengan anak kita tu?"
"Saya rasa ada sesuatu yang tak kenalah dengan anak kita tu." Clarissa meluahkan kerisauan yang bermain di dalam kepala dan hati keibuannya.
"Sesuatu macam mana tu? Awak ni merepek je lah. Perasaan je tu," kata Ryzal seolah-olah tidak ambil pusing dengan perasaan dan firasat seorang ibu.
"Boleh tak awak batal je temu janji esok? Apa kata kita berikan masa rehat untuk Amary?" Clarissa memberitahu cadangannya, dengan harapan si suami memahami permintaannya itu.
Tetapi ternyata tidak.
"Awak jangan nak merepek. Temu janji esok penting dan dia akan memberi kita keuntungan yang besar."
Riak wajah Clarissa berubah keruh.
"Rissa, awak dengar sini. Awak jangan nak pandai-pandai buat keputusan sendiri. Faham tu!" Ryzal meninggikan sedikit suaranya.
Clarissa mengangguk faham.
Ryzal kembali membelakangkan si isteri.
Clarissa hanya mampu memandang belakang tubuh suaminya.
Beberapa ketika kemudian, dengkuran kedengaran dari Ryzal.
Clarissa mengambil keputusan untuk keluar dan menjenguk keadaan si anak gadis yang tidur di bilik sebelah.
Buka saja pintu bilik si gadis, si ibu terus ternampak susuk kecil sedang lena diulit mimpi.
Clarissa menghampiri katil. Dia duduk di sebelah anaknnya itu.
Kepala si anak diusap dengan air mata bergenang di dalam mata.
"Ibu rindukan anak ibu yang dulu. Selalu tersenyum dan tertawa. Mana perginya anak ibu yang dulu?" Air mata mengalir perlahan di pipi Clarissa.
"Apa yang boleh ibu buat untuk kembalikan senyuman kamu, nak?"
Clarissa menunduk dan mencium dahi Amaryllis, lama.
"Selamat malam, sayangku," ucap Clarissa sebelum dia berlalu keluar dari bilik itu.
Amaryllis membuka matanya.
Dia menyapu dahi yang terasa basah disebabkan air mata si ibu.
Gadis itu memandang tangannya dengan pandangan kosong. Dia sendiri pun tidak tahu mahu menunjukkan ekspresi apa pada wajahnya.
Dia langsung tidak beremosi. Jiwanya telah hilang. Emosi telah terpadam dari dalam kamus hidupnya.
*****
Keesokan paginya, seperti yang dijanjikan, sebuah keluarga kaya datang melawat keluarga kecil itu dengan niatnya.
Seperti biasa, sesiapa saja yang datang bertemu dengan keluarga kecil itu, mereka pasti akan meminta hajat.
Setelah bertemu dengan Amaryllis dan membuat hajat, mereka semua berkumpul di laman belakang rumah dan minum bersama.
Tetapi, Amaryllis langsung tidak menyertai mereka semua.
Dia duduk sendiri di kawasan taman sambil memandang tepat pada bunga spider lily yang menghiasi kawasan taman itu.
Sejak kebolehan Amaryllis bangkit, bunga itu juga mula tumbuh dan menghiasi kawasan taman. Jumlahnya juga semakin bertambah saban hari.
Amaryllis menyentuh salah satu dari bunga itu.
Bunga itu serta-merta mengembang dan menyerlahkan warna merah darahnya.
Amaryllis memejamkan matanya dan dalam masa yang sama, dia dapat merasakan lakaran di belakang tubuhnya semakin bertambah.
Mata dibuka semula. Dia kembali memandang bunga itu tanpa berbuat apa-apa.

YOU ARE READING
CURSED
FantasiAda kisah menceritakan bahawa setiap seribu tahun, akan lahirnya bayi perempuan yang sangat cantik dan sempurna paras rupanya. Bukan itu saja, kesempurnaan dan kecantikan itu diiringi dengan satu kebolehan yang sangat dikagumi ramai. Kebolehan itu m...