Investigating Nash

84 8 0
                                    


Dua hari kemudian

Sejak pemergian Camila, Nash semakin kerap berjumpa dengan Amryllis untuk menutup kekosongan yang dirasai gadis itu.

Nash faham apa yang dirasai oleh gadis itu memandangkan Camila adalah rakan pertama yang dikenalinya.

Disebabkan perubahan tingkah Nash yang selalu keluar di awal pagi dan pulang pada waktu lewat petang, Hector mulai berasa curiga dengan perubahan sahabatnya itu.

Pada mulanya, dia langsung tidak ambil peduli dengan kehidupan sosial Nash, namun setelah perkara yang sama berlaku setiap hari, dia mula cuba untuk menyelidik apakah yang menyebabkan sahabatnya itu berubah sikap.

Pada mulanya, Hector hanya bertanya kepada orang kampung tentang gerak-geri Nash. Tetapi, setelah banyak cerita berkenaan Nash yang selalu berjalan dengan seorang gadis yang tidak dikenali mereka, Hector mengambil keputusan untuk mengintip pergerakan sahabatnya itu.

Awal pagi itu, seperti kebiasaannya, Nash akan keluar awal dari rumah sebelum penghuni rumah itu bangun dari tidur.

Tanpa diketahuinya, Hector yang sangat menanti-nantikan saat itu telah mengekorinya dalam diam.

Hector mengekori langkah Nash dengan sangat berhati-hati bagi mengelakkan daripada dirinya ditangkap mengekori sahabatnya itu.

Apabila Nash memasuki kawasan hutan, Hector terus disapa dengan tanda tanya. Hala tuju sahabatnya itu langsung tidak dapat diduganya. Namun, disebakan tekad mahu mengetahui rahsia si sahabat, Hector mengaturkan juga langkahnya masuk ke dalam hutan itu.

Setelah beberapa ketika kemudian, Nash berhenti di hadapan sebuah rumah.

Hector mengintai dari balik pokok. Dia terkejut melihat rumah di depan matanya itu. Dia langsung tidak menyangka bahawa hala tuju Nash adalah rumah tersebut.

"Rumah ni bukan tak ada orang ke?" Hector tertanya sendiri di dalam hati.

Nash kelihatan mengetuk pintu rumah itu.

Pintu rumah dibuka dan kelihatan seorang perempuan menyambut kedatangan Nash. Bukan itu saja, malah dia turut menjemput Nash masuk.

Kemunculan si perempuan dari rumah yang disangkakan kosong serta kemesraan yang ditunjukkan oleh Nash membuatkan Hector terkejut dan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tika itu.

Tanpa berfikir panjang, Hector memasuki kawasan rumah itu.

Lelaki itu mengintai satu-persatu tingkap yang ada di tingkat bawah itu.

Tika Hector sibuk mengelilingi rumah itu untuk mencari kelibat Nash, dia ternampak sebuah tingkap yang terbuka.

Dari bau yang keluar dari tingkap itu, Hector dapat meneka bahawa ruang itu adalah ruangan dapur. Dia mengintai dari tingkap itu.

"Jemput makan, Illis." Nash kelihatan sedang menghidangkan sarapan buat si gadis yang tidak dikenali oleh Hector.

Gadis itu akur dan menikmati sarapan yang disediakan untuknya.

Nash duduk bertentangan dengan si gadis. Dia menongkat dagu dan memandang tepat ke arah si gadis dengan senyuman kecil terukir di bibirnya.

Hector terkejut melihat kegembiraan yang terpancar di wajah sahabatnya itu. Itu adalah kali pertama dia melihat si sahabat tersenyum kebahagiaan.

Dari senyuman dan cara pandangan redup Nash, Hector tahu bahawa sahabatnya itu sangat mencintai gadis di depannya itu.

"Kau ada nak ke mana-mana ke lepas ni?" Nash bertanya.

Gadis itu kelihatan berhenti dari menyuap makanan ke dalam mulutnya. Dia seolah-olah berfikir sejenak sebelum menjawab soalan Nash.

Gadis itu menggeleng.

"Aku nak berehat."

Mendengar kata-kata itu, air muka Nash berubah. Riak risau terukir jelas di wajah lelaki itu.

"Kau tak apa-apa ke?" Nash bertanya dengan nada risau.

"Jangan risau, aku cuma penat je." Gadis itu membalas perlahan.

Nash mencapai tangan kanan si gadis dan menyelak lengan baju gadis itu.

"Keadaan kau semakin teruk." Nash berkata perlahan.

"Jangan risau, semuanya masih terkawal," balas si gadis dengan tenang.

Hector tidak tahu apa yang disembangkan oleh mereka berdua. Tetapi apa yang Hector tahu dan yakin adalah, perempuan di depan Nash itu adalah salah satu punca kepada perubahan sikap shabatnya.

Tanpa membuang masa, Hector terus berlalu pergi dari situ. Dia risau jika dirinya berada di situ dengan lebih lama, dia risau tindakannya akan diketahui oleh Nash.

Amaryllis yang tadinya sedang bersembang dengan Nash tiba-tiba melirikkan matanya ke arah tingkap dapur.

Sedar akan tingkah Amaryllis, Nash turut menoleh dan memandang ke arah yang dipandang oleh gadis itu.

"Ada apa, Illis?" Nash bertanya apabila dia tidak nampak apa-apa berada di situ.

Amaryllis menggeleng perlahan.

Mereka berdua kembali menikmati sarapan pagi bersama.

CURSEDWhere stories live. Discover now