"MASUK." Laung Encik Rahman kepada gerangan yang mengetuk pintu bilik ward nya.
"Tok ayah?" Fahrin muncul di biliknya.
"Along Rin?" Encik Rahman agak terkejut melihat kehadiran cucu tirinya itu.
Fahrin lalu menyalami tangan tok ayahnya.
"Maafkan along sebab baru ada masa nak menjenguk tok ayah." Kata Fahrin berhati-hati. Dia masih berasa agak janggal mahu bertentang mata dengan tok ayahnya itu.
"Tak apa. Tok ayah faham. Along tentu sibuk kan? Iyalah, tak lama lagi along dan angah nak masuk kolej. Banyak persediaan yang kena dilakukan."
"Macam mana tok ayah tahu?"
"Angah beritahu tok ayah."
"Jadi maknanya tok ayah masih berhubung dengan angah?"
Encik Rahman angguk kepala.
"Angah tu agak degil. Kalau along nak tahu, hampir setiap hari angah datang jumpa tok ayah. Dia pujuk tok ayah untuk biarkan Sha kembali ke rumah korang dan maafkan perbuatan kamu dan Uncle Zil kamu. Sha, Syura dan Iz tak tahu pun pasal angah selalu jumpa tok ayah. Rasa-rasanya, kamu dan keluarga kamu tak tahu juga, kan?"
Fahrin menggeleng kepala perlahan.
"Tok ayah selalu halau dia suruh balik, dia patuh pada ayah. Tetapi dia datang semula. Setiap hari macam tu. Sempat juga angah beritahu pada tok ayah pasal kamu berdua akan masuk kolej. Tok ayah nampak effort dia nak satukan keluarga kita semula. Tetapi, tok ayah tetap berkeras hati.." Hujung kata Encik Rahman itu kedengaran sebak. Dia teringat pada usaha-usaha yang dilakukan oleh Firliya untuk memujuk dirinya.
"Angah memang macam tu. Apabila dia nekad melakukan sesuatu, dia akan lakukan sehabis baik mungkin. Dan dia juga suka melakukan sesuatu pekara secara senyap. Semuanya demi kebaikkan keluarga kami. Angah tak macam along. Dia budak baik. Sedangkan along.."
Encik Rahman lalu memintas kata cucu tirinya itu.
"Along pun baik sebenarnya. Cuma keadaan yang memaksa along begitu, kan?"
Fahrin menatap tok ayahnya.
"Baik apanya, tok ayah. Sampai bila-bila along takkan pernah lupakan perbuatan along itu." Ucap Fahrin sesal.
"Tok ayah tak minta along untuk lupakan semua itu. Kerana itu adalah pengajaran dalam hidup along agar menjadi manusia yang lebih baik. Cuma, walau apapun kehidupan harus diteruskan juga."
"Tok ayah cakap macam ni buatkan along berfikir yang tok ayah sudah maafkan along." Kata Fahrin.
"Siapa kata tok ayah sudah maafkan along?" Balas Encik Rahman menatap wajah sunggul cucu tirinya itu.
Fahrin menunduk wajahnya malu.
Encik Rahman garis senyum tipis.
"Tok ayah hanya tak marah along lagi."
Fahrin mendongak sambil berkerut dahinya.
"Tetapi untuk mengatakan bahawa tok ayah maafkan along itu, tok ayah belum mampu lagi mengucapkannya."
"Tok ayah.." Mata Fahrin sudah bergenangan air.
"Tak apa. Along faham. Tok ayah sudah reda rasa marah terhadap along pun along sudah berasa lega." Fahrin meraih tangan tua itu lalu diciumnya penuh hormat.
Encik Rahman boleh merasai tangannya kebasahan kerana air mata Fahrin itu. Tersentuh hatinya melihat keikhlasan dalam diri Fahrin untuk menagih kemaafan darinya.
'Maafkan tok ayah, long. Berikan masa pada tok ayah untuk benar-benar maafkan along.' Desis Encik Rahman di hati. Dirinya tidak dapat menahan air matanya dari mengalir ke pipi.
YOU ARE READING
KITA KAN, KELUARGA..
RandomPertemuan Raesha Karmila dengan seorang lelaki berstatus duda sewaktu penerbangan dari Paris ke KL telah membuka lembaran baru dalam kehidupannya. Kerana insiden perlanggaran di KLIA, mereka tertukar handphone tanpa mereka sedari. Datuk Nik Megat Al...