MATA Datuk Megat tidak lepas dari menatap skrin telefon pintarnya itu. Menanti panggilan ataupun pesanan WhatsApp dari isterinya ibarat menunggu bulan jatuh ke riba
Sudah dua hari Raesha dan Izham pulang ke kampung neneknya di Terengganu. Dia belum sempat bercakap dengan isterinya itu. Pada tengahari tadi, Raesha ada menghubunginya. Namun panggilan Raesha tidak berjawab kerana telefon pintarnya tinggal di dalam bilik pejabat disebabkan dia menghadiri mesyuarat dengan lembaga pengarah. Apabila dia mahu menghubungi Raesha semula, pesanan WhatsApp yang dibalas Raesha. Katanya dia tidak dapat menjawab panggilan dari suaminya itu kerana ada kerja. Kecewa sungguh hati Datuk Megat. Namun Raesha seringkali menghubungi ummi dan anak-anaknya. Tapi mengapa dengan dia Raesha begitu payah untuk berbual?
Datuk Megat melepaskan keluhan yang panjang.
"Rindukan seseorang nun jauh di sana ke?" Sergah Puan Hajjah Fatimah sambil tersenyum mengusik. Macam tahu-tahu aje Puan Hajjah Fatimah akan gelora di hati anaknya pada ketika ini.
"Eh, ummi. Belum tidur lagi ke?" Tanya Datuk Megat sambil tayang wajah sengih.
"Ummi baru selesai baca Al-Quran. Kemudian turun bawah nak minum air. Tiba-tiba ternampak Fattah duduk tercegat seorang-seorang di luar sini. Sambil-sambil tengok skrin telefon pula tu. So, tahulah ummi bahawa anak ummi ni sedang tunggu panggilan dari orang tersayang." Usik Puan Hajjah Fatimah.
Datuk Megat hanya tersengih. Tidak mengiyakan mahupun menidakkan tebakkan umminya itu. Dia kembali menatap skrin telefon pintar yang masih berada di tangannya itu.
"Kalau main tenung-tenung macam tu, sampai esok pun Fattah tak dapat bercakap dengan Sha. Menyusahkan diri aje menanggung rindu macam tu. Telefon ajelah!" Kata Puan Hajjah Fatimah dengan geram seraya mengusik. Dia garis senyum menyakat anaknya itu.
"Hari dah lewat sangat ni, mi. Entah-entah, Sha dah tidur." Kata Datuk Megat perlahan. Dia rasa malu pula apabila dipaksa oleh umminya seperti itu.
"Fattah belum telefon lagi kan? Kalau tak telefon, macam mana nak tahu orang di sana dah tidur atau belum."
Datuk Megat melepaskan keluhan. Perlahan-lahan dia mengoles skrin lalu mencari nama Raesha. Teragak-agak pula ibu jarinya mahu menekan nama Raesha untuk memanggil.
"Jadi anak jantan sikit, Fattah." Bisik ummi di telinga Datuk Megat.
"Ummi." Datuk Megat terkejut kerana berasa geli. Apalagi provokasi umminya itu membuatkan dia rasa tercabar.
Puan Hajjah Fatimah hanya tergelak kecil.
"Ummi nak pergi dapur dulu nak minum air. Ummi mahu sebelum ummi datang balik ke sini, Fattah dah bercakap dengan Raesha. Isteri sendiri, buat apa nak malu tunjuk rasa rindu tu?" Puan Hajjah Fatimah ketawa sambil menggeleng kepala. Dia berlalu meninggalkan Datuk Megat sebentar.
"Ummi, ummi.. Kalaulah ummi tahu mengapa Fattah berasa segan begini. Fattah dan Sha bukannya seperti suami isteri yang sebenar." Bicara Datuk Megat dengan nada perlahan. Dia menarik nafas dan dihembus perlahan. Sekali lagi nama 'Raesha' di skrin telefon pintarnya itu dipandang.
RAESHA merenung lama langit malam yang dihiasi bulan terang dan kelipan bintang-bintang. Beberapa kali dia melepaskan keluhan. Telefon pintar yang diletakkan di sebelah dia duduk, diambilnya semula lalu ditenung sebentar. Sekali lagi, keluhan dilepaskan. Mulutnya sudah muncung ke hadapan.
"Sha, kenapa duduk kat luar? Tak terasa sejuk ke dengan angin kampung yang berada di tepi laut ni?" Kata Izham yang datang tiba-tiba menghampiri Raesha yang sedang duduk di pangkin.
"Sha tak rasa nak tidur." Balas Raesha malas.
"Kenapa? Dalam rumah terasa panas ke?" Tanya Izham sambil garu kepala yang tidak gatal.
YOU ARE READING
KITA KAN, KELUARGA..
RandomPertemuan Raesha Karmila dengan seorang lelaki berstatus duda sewaktu penerbangan dari Paris ke KL telah membuka lembaran baru dalam kehidupannya. Kerana insiden perlanggaran di KLIA, mereka tertukar handphone tanpa mereka sedari. Datuk Nik Megat Al...