"SYURA, santan mana yang lebih bagus digunakan untuk masak rendang ayam? Santan paket atau santan cair?" Tanya Raesha sambil menayangkan kedua-dua santan itu di hadapan Asyura.
"Mana-manalah kak. Dua-dua elok. Tapi kebiasaannya kalau Syura masak rendang, Syura selalu pakai santan cair. Rasa santan nya lebih pekat." Beritahu Asyura.
"Yakah? Kalau macam tu, akak ambil yang ni ajelah." Raesha lalu menyimpan santan cair itu dalam troli yang diusung oleh Asyura.
"Banyak barang dapur yang akak beli. Macam nak masak untuk kenduri." Kata Asyura yang kehairanan melihat barang dapur yang dibeli oleh Raesha hampir penuh satu troli.
"Taklah. Akak beri barang-barang ni untuk masaklah." Balas Raesha selamba tapi matanya ralit meneliti susunan rempah-ratus di rak.
"Akak masak? Biar betul! Baru dua kali dah hadir kelas memasak, Kak Sha dah pandai? Hebat." Asyura ketawa terkekeh-kekeh.
"Baguslah tu. Teruskanlah ketawakan Kak Sha. Kak Sha tau lah, akak ni bukannya pandai masak macam Syura." Rajuk bunyinya.
Asyura mengulum bibir. Alamak, kakak sepupunya dah terasa hati pula..
"Sorry, Kak Sha. Syura bukan nak perli akak. Tapi Syura tak boleh tahan gelak bila dengar Kak Sha beli semua bahan-bahan ni untuk Kak Sha masak." Beritahu Asyura jujur.
"Maaf diterima." Jawab Raesha mudah. Sengaja dia buat rajuk tadi, biar Asyura kecut perut sikit.
Asyura menggaris senyum lega.
"Kak Sha, boleh Syura tanya sikit?"
"Apa dia?" Raesha masih sibuk memilih barang-barang yang mahu dibelinya. Asyura hanya membuntutinya sambil mengusung troli.
"Macam mana kehidupan baru Kak Sha bila bergelar isteri sekaligus ibu kepada anak-anak Datuk?" Tanya Asyura ingin tahu.
"Datuk?" Raesha kerut kening menoleh ke arah Asyura.
"Kenapa?" Asyura tayang muka bingung.
"Kenapa tak panggil dia Abang Fattah?"
"Abang Fattah? Seganlah kak." Jawab Asyura perlahan.
"Apa yang nak disegankan? Lagipun dia memang dah jadi abang ipar kepada Syura pun. Kalau Abang Fattah tahu, tentu dia terasa hati dengan panggilan Syura itu. Bukankah panggilan itu bermaksud Syura masih anggap dia sebagai orang luar?" Kata Raesha.
Asyura tidak menjawab.
Betul jugak. Bisik hatinya.
"Menjawab pertanyaan Syura tadi.. So far, bolehlah. Kak Sha masih mampu melayan kerenah budak-budak tu. Cuma.." Raesha tidak mampu untuk meneruskan bicaranya. Dia terhenti seketika untuk memilih barang-barang yang mahu dibelinya. Dia berpaling kepada Asyura.
"Syura, betulkah keputusan akak ambil cuti dari menguruskan galeri demi memberi fokus untuk keluarga baru akak?" Tanya Raesha.
"Cuti? Berapa lama?"
"Dalam enam bulan macam tu. Akak nak tumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak. Kak Sha nak kenali hati budi mereka dan merapatkan jurang antara kami. Jika akak masih sibuk berkerja, tentu susah untuk akak merapatkan diri dengan mereka." Kata Raesha.
"Baguslah kalau niat akak macam tu. Yalah, Kak Sha dengan Datuk.. Err, Abang Fattah bernikah bukan atas dasar cinta. Belum cukup untuk kamu berdua mengenali hati budi masing-masing. Selain itu, akak bolehlah merapatkan hubungan dengan anak-anak. Senangkan hati emak mertua Kak Sha tu. Syura tengokkan, Puan Hajjah Fatimah tu walaupun dari luaran nampak lembut, tapi kelihatan tegas orangnya. Akak belajar memasak ni, pasti kerana emak mertua akak tu yang paksa untuk belajar, kan?" Tebak Asyura dengan penuh yakin.
YOU ARE READING
KITA KAN, KELUARGA..
RandomPertemuan Raesha Karmila dengan seorang lelaki berstatus duda sewaktu penerbangan dari Paris ke KL telah membuka lembaran baru dalam kehidupannya. Kerana insiden perlanggaran di KLIA, mereka tertukar handphone tanpa mereka sedari. Datuk Nik Megat Al...