"ASSALAMUALAIKUM." Sapa Raesha perlahan.
Fathiya yang leka dibuai perasaan dengan isi kandung surat dari arwah mamanya, lantas menoleh kepada ibu tirinya yang baru datang menghampirinya itu.
"Boleh aunty duduk dekat dengan andak?" Pinta Raesha sambil senyum sengih.
Fathiya angguk kepala. Dia lalu menyeka air mata yang membasahi pipinya.
"Andak baca surat dari arwah mama kan?" Tanya Raesha.
Fathiya angguk kepala perlahan tanpa menoleh ke arah Raesha.
"Nenek bonda ke yang bagitau kat aunty?" Tanya Fathiya.
Raesha angguk kepala perlahan.
Fathiya mengeluh kecil.
"Apa lagi yang nek bonda beritahu pada aunty pasal mama?"
"Nek bonda kata mama itu seorang yang baik dan periang. Meskipun kehidupan arwah mama andak tak macam orang lain, mempunyai keluarga, tapi dia tetap gembira. Sebab itu ramai yang sayangkan arwah mama andak." Kata Raesha dengan nada sedikit ceria.
'Mungkin kerana itulah arwah Kak Fasihah mahu mendirikan rumah tangga di usia yang muda. Kerana dia mahu memiliki keluarganya sendiri.' Desis Raesha di hati. Hatinya kembali terasa sebak.
"Aunty nak tahu tak, apa yang arwah mama ucapkan untuk andak pada hari jadi andak tahun ini?" Fathiya memandang Raesha dengan mata berkaca. Dia lalu beralih semula membaca surat yang ditulis oleh arwah mamanya.
"ASSALAMUALAIKUM, sayang mama Si Andak. Selamat Hari Jadi yang ke sepuluh tahun. Semoga ALLAH S.W.T sentiasa memberkati anakandaku ini senantiasa.
Maafkan mama sayang, sebab mama tiada bersama dengan andak lagi. Lima tahun mama dah tinggalkan andak kan? Sayang, mama harap andak berhentilah meratapi pemergian mama. Mama tahu anak-anak mama semua terlalu sayangkan mama. Mama berjuta-juta kali sayangkan kamu semua, nak. Tapi ALLAH lebih sayangkan mama. Mama kena 'pergi' jika Dia sudah menjemput mama untuk kembali kepada-Nya. Oleh itu, andak dan anak-anak mama yang lain kena ikhlaskan pemergian mama. Jangan salahkan sesiapa atas pemergian mama, nak. Terutama sekali, papa kamu semua. Jika kamu menderita, dia pasti menderita juga kerana kehilangan mama. Mama yakin, papa akan berasa bersalah kerana mengabaikan mama seumur hidupnya. Dan kesilapannya itu akan membebankan dirinya lagi jika dia tidak mendapat kemaafan dari kamu semua.
Jika dulu dia bersalah, berilah dia peluang kedua untuk membetulkan kesilapannya. Jadikanlah dia seorang ayah yang hebat. Mama yakin, andak dan anak-anak mama pasti boleh!
Lagi satu, kalau papa kamu semua dah ada pengganti mama, mama redha nak. Yang penting perempuan itu boleh menjadi ibu yang baik kepada anak-anak mama dan isteri yang baik kepada papa kamu dan menantu yang baik kepada Tuk Ummi juga. Tapi andak cakaplah kat papa, suruh dia jangan lupakan mama meskipun dia dah ada penggantinya. Cakap kat papa, rajin-rajinkanlah ziarah kubur mama dan sedekahkan Al-Fatihah kepada mama. Beritahu kepada bakal mama baru andak (jika ada), yang mama mahu dia jaga dan sayang anak-anak mama dengan ikhlas.Salam sayang,
Mama.."Fathiya membaca sambil menangis tersendu-sendu.
"Kenapa mama baik sangat? Kerana mama baik, ALLAH cepat-cepat nak jemput dia 'pulang' kepada-Nya." Bicara Fathiya dengan tangisan.
Hati Raesha berasa tersentuh sayu lalu memeluk tubuh kecil andak itu.
"Andak, jangan menangis sayang. Aunty janji akan jaga andak sampai andak tidak mahu aunty berada di sisi andak lagi." Ucap Raesha dengan sebak. Dia mengucup dahi Fathiya berkali-kali sambil mengusap belakang Fathiya dengan lembut.
"AUNTY, boleh andak tanya sesuatu?" Tanya andak sebaik saja mereka berdua sudah berada di dalam kereta yang dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur.
YOU ARE READING
KITA KAN, KELUARGA..
De TodoPertemuan Raesha Karmila dengan seorang lelaki berstatus duda sewaktu penerbangan dari Paris ke KL telah membuka lembaran baru dalam kehidupannya. Kerana insiden perlanggaran di KLIA, mereka tertukar handphone tanpa mereka sedari. Datuk Nik Megat Al...