Bab 33

2.9K 143 8
                                    

KANVAS putih yang sudah dibaluti dengan pelbagai warna direnung Raesha lama. Fikirannya menerawang jauh teringat akan kejadian pagi tadi di bilik pejabat Datuk Megat.

SELESAI memanaskan bihun di dalam mikrowave, Raesah lalu membekalkan sedikit bihun tersebut untuk suaminya. Pagi tadi, Datuk Megat tidak sempat bersarapan bersama kerana perlu menghadiri meeting mengejut dengan para ahli lembaga pengarah.

Sebaik sahaja sampai di pengkaranga Syarikat Galaksi Media Berhad, Raesha menapak perlahan masuk ke dalam syarikat itu. Raesha perasan akan mata-mata yang memerhatikannya, juga dapat didengari ada suara kecil yang sedang berbisik. Raesha hanya membalas dengan senyuman. Orang-orang yang melihatnya turut tidak kedekut membalas senyumannya itu. Barangkali mereka hairan akan kehadiran mengejut Raesha di Syarikat Galaksi Media Berhad pada pagi ini.

Sudah dua bulan CEO mereka berkahwin, inilah kali pertama isteri baharu kepada CEO mereka itu menjejakkan kaki ke dalam syarikat itu.

Kalau diikutkan hati, memang Raesha berasa segan untuk datang ke Syarikat Galaksi Media Berhad.. Dia masih berasa malu akan gosip kontroversinya bersama dengan Datuk Megat dahulu. Namun dia terpaksa kerana dirinya harus bertemu dengan Encik Talha atas urusan dia sebagai tetamu di rancangan bual bicara dibawah terbitan Encik Talha sendiri. Ibu mertuanya turut berkali-kali berpesan kepada diri supaya tidak lupa membekalkan makanan sedikit untuk suaminya. Kata ibu mertuanya, itu salah satu tanggungjawabnya untuk memikat hati suami.

Bersungguh benar ibu mertuanya itu mendidik dirinya supaya dia dapat menjadi isteri yang baik. Raesha sangat mensyukuri usaha dan niat baik ibu mertuanya itu.

Raesha menghampiri meja setiausaha suaminya. Namun ternyata kosong pula.

"Datin Raesha ke?" Tanya salah seorang pekerja wanita di dalam pejabat itu.

Perlahan-lahan Raesha angguk kepala mengiyakan lalu garis senyum manis.

"Datuk Megat ada dalam bilik ke?" Tanya Raesha kepada wanita tersebut. Dari tag nama yang tergantung di leher wanita itu, Raesha dapat tahu wanita itu bernama Atikah.

"Ada, datin. Baru sebentar tadi mereka habis meeting." Beritahu Atikah ramah dan beradab.

"Baiklah. Kalau macam tu saya nak minta diri dulu ye? Nak hantar bekal makanan sikit ni untuk Datuk." Beritahu Raesha ramah.

Atikah angguk kepala sambil garis senyum.

Raesha lalu mengatur langkah menuju ke bilik pejabat suaminya.

"Awak, saya bawa makanan sikit untuk awak breakfast.." Kata Raesha termati tatkala matanya terlihat kemesraan antara Datuk Megat dan seorang wanita. Raesha mengenali bahawa wanita itu adalah Dayana Darius, setiausaha kepada suaminya sendiri.

"Sha.." Datuk Megat terkejut. Dia bingkas berdiri dengan keadaan menggelabah apabila tersedar jarak dekat antara dia dan Dayana bakal menimbulkan kecurigaan. Sudah pasti Raesha akan berfikir yang bukan-bukan tentang dia dan Dayana.

"Da-datin dah lama sampai?" Soal Dayana turut gelabah.

"Baru aje." Balas Raesha perlahan.

"Kenapa awak datang sini?" Tanya Datuk Megat hairan. Isterinya itu tidak pernah menjejakkan kaki di Syarikat Galaksi Media Berhad.

"Ummi suruh saya hantar bekalan makanan ini untuk awak. Pagi tadi awak kan tak menyempat nak breakfast bersama kami." Beritahu Raesha lalu meletakkan beg kertas yang berisi bekas makanan di atas meja kerja Datuk Megat.

"Buat susah-susah aje. Saya dah breakfast dengan Cik Dayana tadi." Kata Datuk Megat sambil menilik ke dalam beg kertas yang di bawa oleh Raesha.

"Maaf, tak tahu pula awak tak perlukan makanan ini. Tak apalah, saya bawa balik bekas makanan ini." Rajuk bunyinya.

KITA KAN, KELUARGA..Where stories live. Discover now