Chapter 34

589 50 0
                                        


"Hah! Hah! Hah!"

Aron tunduk membongkok bertongkat lututnya sambil cuba mengawal nafasnya yang terasa mengah. Peluh menitik-nitik turun dari wajahnya ke tanah. Dahi dan baju yang tersarung di tubuhnya sudah basah lukus dengan keringat.

Dia mendongak melihat Mikhayl yang teguh kekal berdiri di tengah sambil diserbu oleh Yun, Nik, Aurora,Rem dan Shii serentak dari segenap arah.

Gila! Sudah dua puluh minit berlalu dari awal pertarungan mereka, bagaimana Mikhayl masih boleh mampu bertahan berhadapan dengan enam orang sendirian?!

Tambahan pula, mereka semua bersenjata!

Meskipun wajah gadis itu kelihatan sudah basah dengan peluh, namun nafasnya masih lagi tenang teratur.

Dari awal pertarungan tadi, seperti mana sebelum-sebelum ini, mereka masih belum berjaya melandaskan satu serangan padu pun yang mengenai tubuh Mikhayl.

Apa yang lebih membengangkan mereka, walaupun mereka semua menggunakan pedang yang mereka peroleh baru-baru ini untuk menyerang, Mikhayl pula berlawan dengan mereka dengan tangan kosong!

Aron merenung sarung dagger yang tersisip kemas di pinggang Mikhayl penuh geram.

Walaupun kali ini mereka mungkin tidak mampu mengalahkan Mikhayl, sekurang--kurangnya, mereka mahu membuatkan Mikhayl menarik keluar senjatanya untuk bertarung dengan mereka!

"Aron! Jangan berhenti berehat lama-lama!" Master Ouran yang mengawasi pertarungan mereka, melaung dari tepi.

"Ya!" Aron menarik nafasnya dalam-dalam, mengumpul tenaga. Dia mencapai semula pedang tajam berkilatnya yang dipacak ke tanah di tepinya dan terus meluru kembali menyertai serangan.

Kini pertarungan kembali menjadi enam lawan satu.

Aron menujah pedangnya ke wajah Mikhayl bertubi-tubi. Gadis itu dengan tenang menggerakkan badan dan kepalanya, semuanya cukup sipi-sipi sahaja untuk mengelak mata pedang Aron.

Pergerakannya sedikit, efisien dan menjimatkan tenaga.

Kemudian dengan sangat pantas, Mikhayl berpusing dan satu tendangan padu dilayangkan tepat ke perut Aron.

"Uhuk!!" Aron tidak sempat mengelak tendangan pantas itu dan terus terundur ke belakang sambil tertunduk menahan senak di perut.

Namun rupa-rupanya, sewaktu menerima tendangan Mikhayl itu, Aron sempat melontar daggernya ke arah Mikhayl.

Mikhayl menjungkit keningnya dan tangannya cekap menyambut bilah dagger itu dengan baik.

Kemudian dia terus melontar semula dagger itu kembali kepada Aron,
kali ini berkali ganda lebih laju dari lontaran Aron tadi, sebelum Mikhayl berpusing untuk mengelak tumbukan serentak Shii dan Yun.

Mata Aron membesar dan remaja itu tanpa berfikir panjang terus menahan dagggernya sendiri yang meluru ke arahnya dengan pedang di tangan.

TING!

Dagger tersebut menghentam bilah pedangnya dengan begitu kuat sekali sebelum dagger tersebut terpelanting terpacak ke dalam tanah.

Dalam pada masa yang sama, Mikhayl menahan tumbukan bertubi-tubi Shii dengan tapak tangannya. Gadis tomboy ini lebih gemar menggunakan penumbuknya berbanding menggunakan pedang.

Pada waktu itu, tangan Mikhayl menangkap penumbuk Shii dan dia mencengkam pergelangan tangan gadis itu. Shii terus memutarkan lengannya itu untuk melepaskannya dari cengkaman Mikhayl, namun kaki Mikhayl terlebih dahulu menghentam perutnya.

Shii terus terhumban ke belakang. Bukan itu sahaja, malah tubuhnya turut menghentam Yun yang berada berhampiran dengannya.

Dua remaja itu terus terjatuh ke tanah.

THE DEFECTIVETempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang