Sebelas

196 8 0
                                    

Ilana merebahkan kepalanya ke atas bantal. Terasa hilang segala penat di tubuh saat akhirnya dapat berbaring di atas katil yang empuk itu. Satu nafas lembut dilepaskan, seraya pandangannya dihalakan ke arah siling ruang bilik yang gelap itu. Hanya sedikit cahaya tipis yang terlepas dari celah langsir tingkapnya dapat dilihat. Fikiran Ilana menerawang, teringat semula kejadian di malam majlis amal Senecaoil Foundation tempoh hari.

Sejak malam itu, minda Ilana seperti gagal untuk fokus sepenuhnya terhadap apa yang dia lakukan. Acap kali dia mengelamun, memikirkan tentang Ghazi. Sebelum ini, hari-harinya dipenuhi dengan pesanan ringkas Ghazi. Tidak kiralah Ilana membalas atau tidak pesanan ringkas itu, Ghazi tekun menghantarnya tanpa jemu. Namun selepas kejadian malam itu, telefon bimbit Ilana menjadi sepi, tanpa sebarang berita dari Ghazi. Sedikit sebanyak, Ilana menjadi runsing.

Perbualan malam itu yang sebentar membuatkan Ilana hanya mampu membuat spekulasi tentang apa yang Ghazi tahu tentangnya. Dan hal itu membuatkan Ilana agak gugup. Tahukah Ghazi tentang apa yang disembunyikannya selama ini? Marahkah Ghazi jika benar dia sudah tahu?

Sudahlah Ilana perlu runsing tentang rahsia yang selama ini disimpan ketat dari pengetahuan Ghazi bakal terbongkar. Memang sengaja dia tidak mahu Ghazi tahu butiran dirinya yang satu itu. Biarlah Ghazi mengenali dirinya sebagai Ilana Saramaia yang sebenar dahulu. Sekarang, masalahnya ditambah pula oleh Emran yang tiba-tiba sahaja mengaku sebagai tunangnya di hadapan Ghazi. Misi berani mati betul!

Ilana melepaskan satu keluhan berat. Rambutnya diraup ke belakang sebelum tubuhnya dipalingkan ke sisi. Sorot matanya terpaku ke arah dua buah telefon bimbit yang diletakkan di atas meja sisi. Satu telefon bimbit menggunakan kad sim nombor Australia, dan satu lagi menggunakan nombor Malaysia. Hatinya berbolak-balik samada untuk menghubungi Ghazi atau tidak.

Tubuh yang tadi berbaring kini bangkit dan disandarkan pada katil. Kedua-dua telefon bimbit itu dicapai. Telefon bimbit yang berisi nombor Australia diketik beberapa kali agar memaparkan nombor telefon Ghazi, sebelum disalin semula ke telefon bernombor Malaysia. Jari Ilana terhenti pada skrin, berkira-kira jika dia harus menekan butang bertulis 'CALL' itu. Mata dipejam rapat sebelum satu nafas dalam ditarik lantas jarinya menekan jua butang itu.

Terasa agak lama telefon bimbit diletakkan di cuping telinga, menunggu untuk nada dail berakhir untuk akhirnya disapa oleh suara yang sekian lama dirindui itu. Namun hampa. Sekali lagi nombor itu dicuba. Tetap gagal.

Jemari Ilana mula menatal skrin, membuka aplikasi pesanan ringkas, sebelum jemarinya lincah menari-nari di atas skrin untuk menaip pesanan ringkas. Berkali-kali bait-bait perkataan ditaip namun dipadam semula, mencari ayat yang sesuai untuk dikarang, demi untuk memujuk hati Ghazi. Setiap bait perkataan haruslah dapat melembutkan hati Ghazi.

Beberapa ketika Ilana menanti panggilan untuk dijawab di hujung talian namun hampa. Aplikasi pesanan ringkas dibuka, pantas jemari Ilana menari di atas skrin, cuba mengarang bait-bait perkataan yang diharapkan dapat melembutkan hati Ghazi.


ILANA SARAMAIA RAZALEIGH: Hi, it's me. 

ILANA SARAMAIA RAZALEIGH: Saya minta maaf kalau saya buat awak marah, but I can explain Sayang if you let me. 

ILANA SARAMAIA RAZALEIGH: Saya tahu banyak perkara yang saya perlu jelaskan kepada awak. Saya tak bermaksud nak tipu awak. 

ILANA SARAMAIA RAZALEIGH: Please talk to me. I miss you, Sayang. 


Ilana menggigit ibu jarinya, terasa berdebar-debar menanti jika Ghazi akan membalas pesanan ringkasnya. Minit demi minit yang berlalu dirasakan terlalu lama. Berkali-kali jam pada skrin dilihat setelah merasakan hampir setengah jam berlalu, namun nyatanya baru sahaja lima minit berselang. Telefon bimbit Ilana tetap sahaja sepi.

CIKLET: Telah Ku Janji SelamanyaWhere stories live. Discover now