Tujuhbelas

162 6 0
                                    

Ilana mengunyah perlahan makanan yang telah disediakan Julia, pembantu rumah yang telah diambil Ghazi untuk menguruskan rumah banglo yang menjadi kediaman buat mereka berdua di bandar Kuching itu. Mungkin rumah itu tidaklah seindah duplex penthouse One Bangaroo, namun itu tetap secebis syurga di dunia untuk Ilana dan Ghazi. Sejak adanya Julia bekerja di situ, Ghazi mahu Ilana untuk makan malam bersama di rumah itu pada hari Isnin sehingga Jumaat. Sudah menjadi rutin untuk Ilana, lepas waktu kerja, terus sahaja ke rumah itu untuk beberapa jam sebelum pulang semula ke kediaman Tuan Razaleigh. Mahu tidak mahu, Ilana terpaksa mengorbankan masa untuk dirinya sendiri demi untuk membahagikan masa untuk suaminya tanpa mengundang curiga dari kedua orang tuanya. 

Ghazi tahu, untuk makan berdua di khalayak ramai memang mustahil, lebih-lebih lagi dengan status Ilana yang agak dikenali di bandar itu. Demi untuk merahsiakan hubungan mereka berdua, itulah sahaja cara yang mampu dilakukan agar Ghazi dapat menghabiskan masa bersama Ilana. Namun, sejak seminggu ini, Ilana terpaksa meminta Ghazi untuk bergilir makan malam di rumah itu dan di rumah kedua orang tuanya kerana Tuan Razaleigh dan Puan Nora sudah mula bertanya pelbagai soalan kepadanya kerana seringkali pulang lewat. Bukannya Tuan Razaleigh tidak tahu perkara yang berlaku di pejabat sungguhpun dia jarang ke pejabat. Alasan pulang lewat dari pejabat kerana kerja yang banyak memang tidak dapat digunakan oleh Ilana. 

Betul seperti yang Ghazi katakan suatu ketika dahulu, rasa macam orang berkahwin dua pula terpaksa bergilir-gilir dengan adil begitu. 

Wajah Ghazi yang duduk di sebelah kelihatan sugul sejak tadi, diperhati. Kunyahan di mulut Ilana terhenti seketika. 

"Sayang, awak okey ke?"

"Okey je," jawab Ghazi acuh tak acuh, langsung tidak mengangkat wajahnya. Terlalu banyak yang menganggu mindanya di ketika itu. 

"Um, Sayang, saya tidur sini malam ni boleh?"

"Kenapa pula nak kena minta izin? Ni pun rumah awak."

Ilana ketap bibir. Niatnya untuk memancing Ghazi dari berbicara termati begitu sahaja. Ternyata Ghazi memang tidak punya mood untuk berbual sedikit pun. 

Selesai makan malam, Ghazi terus sahaja meninggalkan Ilana untuk naik ke bilik. Ilana pula menuju terus ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum menelefon Puan Nora untuk memberikan alasan kenapa dia tidak pulang malam itu, di balkoni bilik tidur. Mujur sahaja hari itu hari Jumaat, jadi Ilana tidak perlu berfikir banyak tentang alasan untuk diberi. Cukup dengan memberitahu yang dia menghabiskan masa di luar dengan rakan-rakannya bermalam di hotel. Kalau dulu mungkin sahaja Puan Nora akan membebel, namun kini, Puan Nora sudah bersikap terbuka, lebih-lebih lagi dengan majlis pertunangan Ilana dengan Emran yang semakin hampir tarikhnya. Puan Nora tidak mahu Ilana lari seperti suatu masa dahulu lagi. Haru!

Ilana menapak semula ke dalam bilik tidur setelah menamatkan perbualan pendek dengan Puan Nora di telefon. Terlihat Ghazi sedang duduk di sofa di satu sudut bilik tidur itu, ralit melihat komputer riba sambil mengetik kekunci beberapa kali. Ilana melangkah perlahan ke arah Ghazi, memicit-micit lembut bahu suaminya itu. 

"Banyak kerja ke Sayang?" tanya Ilana lembut. Sejak berada di Malaysia, terasa jarang pula melihat Ghazi sesibuk itu, bekerja hingga lewat malam. 

"Ada issue sikit dengan projek Strauss Enterprise," jawab Ghazi ringkas. Rambutnya diraupkan ke belakang. Serabut rasa fikirannya memikirkan masalah yang dihadapi. Di waktu itu, dia benar-benar mengharapkan semua pengurus-pengurus yang  telah diamanahkan untuk menggalas tugasnya di Strauss Enterprise dapat menyelesaikan masalah dengan projek urban development terbaru tanpa dirinya. Sebolehnya, Ghazi mahu segala masalah yang baru sahaja timbul itu dapat diselesaikan tanpa dia perlu ke Sydney sebelum Ilana ke Miri. Sebolehnya dia mahu berada di Miri bersama dengan Ilana untuk meredakan kebimbangan di hati. Apa sahaja makna semua kejayaan di dunia itu jika dia tidak dapat memiliki Ilana seperti sebelum ini. 

CIKLET: Telah Ku Janji SelamanyaWhere stories live. Discover now