Tigapuluh

179 4 0
                                    

Bunyi deruan ombak silih berganti memukul pantai di kejauhan bagaikan satu melodi yang menenangkan. Matahari pagi yang bersinar cerah, diselangi dengan bunyi kicauan burung dan angin pagi sepoi-sepoi bertiup masuk melalui ruang utama rumah agam berkonsep moden di kaki Gunung Santubong itu. 

Butang pada treadmill yang menghadap panorama Teluk Santubong dari cermin luas ruang gym rumah itu ditekan. Peluh yang menitis di dahi dikesat dengan tuala yang digantung pada pemegang treadmill sebelum botol berisi air diminum dengan rakus untuk menghilangkan haus. Sengaja Emran melakukan larian di pagi Ahad sebegitu. Mata yang enggan pejam sepanjang malam tadi dimanfaatkan seawal pagi lagi. 

Emran melangkah perlahan menuju ke ruang tamu, membiarkan tubuhnya ditampar bayu laut pagi yang menerobos masuk melalui pintu beranda yang terbuka luas. Satu keluhan dilepaskan. Sepi. 

Entah mengapa di saat itu dia menginginkan seseorang untuk menemaninya. Sekurang-kurangnya rumah yang luas dan besar sebegitu tidak begitu sepi.

Kaki dilangkah lagi menuju ke ruang dapur yang bersebelahan dengan ruang tamu. Peti sejuk dibuka sebelum beberapa biji telur dan sebotol jus dikeluarkan. Ligat sahaja tangannya memasukkan dua keping roti wholemeal ke dalam pembakar roti sebelum tangannya menyediakan telur dadar. Sesekali masak untuk diri sendiri apa salahnya? Tetapi, kalau punya teman hidup, lagilah seronok di hujung minggu sebegini. Boleh masak sama-sama, sambil bermesra di dapur. Bibir Emran tiba-tiba menguntum satu senyuman.

Hai bilalah nak kahwin....

Buku lima tangan yang sedang mengacau telur dadar di dalam kuali diperhati seketika. Terlihat lebam sudah mulai muncul di buku limanya itu. Saat melihat buku limanya sebegitu, lamunan indah sebentar tadi terus termati di minda Emran. Hilang segala ketenangan yang ada. Perkara yang membelenggu dirinya sejak berbual dengan Aiden semalam kembali menerpa mindanya. 

Ilana Strauss.

Nama itu menerpa semula ke dalam fikirannya. Sepanjang malam nama itu berulang kali bermain ulang di dalam mindanya, membuatkan fikirannya menjadi kusut. Pelbagai persoalan dan spekulasi yang timbul di benak Emran. 

Makanan yang siap dimasak di dalam pinggan dikuis begitu sahaja, langsung tidak dijamah. Seleranya mati begitu sahaja, hatinya meronta-ronta untuk tahu lebih. Namun mindanya seakan menegah dia untuk cuba mencari jawapan, bimbang yang akhirnya dia akan dikecewakan. 

Aku takkan kehilangan Ilana. Aku akan pastikan itu. 

Pinggan berisi sarapan ditolak sebelum dia bangkit menuju semula ke ruang tamu. Matanya memerhati komputer riba yang sengaja ditinggalkan di atas meja kopi. Lama Emran memerhati komputer riba miliknya itu. Pantas kaki dilangkah untuk mengambil komputer riba itu. 

Komputer riba diletakkan di atas kitchen island sebelum dia mencapai gelas berisi jus. Punggung dilabuhkan sebelum tangannya menekan-nekan touchpad, butang shortcut Google dipilih. Sejenak jemari Emran terkaku di atas papan kekunci, berfikir apa yang patut di taip. 

Apakah yang harus dia cari dahulu? Adakah dia bersedia untuk mengetahui apa yang selama ini dia tidak tahu?

Runsing!

Kalau dia tidak cuba untuk mencari, adakah dia akan dapat jawapannya nanti? Tetapi bagaimana kalau dia terjumpa sesuatu yang bakal mengubah segalanya?

"Kau tak kenal pun siapa sebenarnya tunang kau," terngiang-ngiang kata-kata Ghazi padanya semalam di telinganya.

Mungkinkah dia harus mencari siapa 'Ilana Strauss' terlebih dahulu? Untuk memastikan Ilana Strauss dan Ilana Saramaia Razaleigh bukanlah orang yang sama? 

Emran menghela satu nafas yang dalam sebelum jemarinya mulai menaip huruf demi huruf di dalam kotak carian. Butang 'ENTER' ditekan. Jantungnya mula berdegup kencang menunggu keputusan carian muncul pada skrin komputer ribanya. 

CIKLET: Telah Ku Janji SelamanyaWhere stories live. Discover now