Duapuluhdua

164 8 0
                                    

Ilana membelek tubuhnya yang dilapisi gaun plunging neck sutera berwarna merah garang Kalita yang menyapu lantai di hadapan cermin luas suite hotel Pullman itu. Sesekali rambut separas bahu yang didandan tinggi dengan juraian berombak jatuh di sisi wajahnya itu dibetulkan. Solekan tipis di wajah menampakkan dirinya polos namun seksi pada masa yang sama. Semburan wangian Tom Ford ke beberapa bahagian tubuhnya melengkapi dandanannya untuk majlis makan malam itu. 

Ilana tersenyum puas melihat dirinya di dalam cermin. 

Mindanya tiba-tiba terkenang dengan kehidupan di Sydney suatu ketika dahulu. Hampir setiap minggu dia akan mendampingi Ghazi untuk menghadiri majlis sebegitu setelah berita tentang perkahwinan mereka terpampang di dada majalah untuk menjadi tatapan khalayak ramai. Teringat lagi dengan bagaimana Ilana dan Ghazi perlu berhati-hati setiap kali keluar berdua di Sydney, bimbang jika ada mata yang memerhati dengan kemesraan mereka berdua. Bimbang rahsia tentang perkahwinan mereka terbongkar sebelum masanya. Sangka Ilana itu semua berakhir sebaik sahaja artikel tentang perkahwinan eksklusif di Sydney Opera House itu dicetak. Ilana tidak sangka, yang dia dan Ghazi masih perlu terus bersembunyi saat kembali di Kuching. 

Satu keluhan kecil terlahir dari seulas bibir yang bergincu merah jambu muda seakan warna bibirnya itu. Kalaulah malam itu dia dapat menghadiri majlis itu sebagai isteri Ghazi, sudah pasti semuanya akan menjadi lebih mengujakan. Tidak perlu menyembunyikan batinnya yang terseksa, tidak perlu terpaksa senyum, dan yang paling utama, tidak perlu terpaksa berdamping sebagai tunang Awangku Emran Emir. Tanggungjawab yang digalas sebagai bakal pengganti penaung Musaerna itu sememangnya sesuatu yang berat untuk Ilana. Lebih-lebih lagi dengan harapan Papanya sendiri untuk menyatukan keluarga Tuan Razaleigh Musaad dengan keluarga Pengiran Eskandar. 

Apakah yang telah Ilana lakukan selama ini untuk berada dalam situasi yang kalut sebegitu? Runsing!

Satu lagi nafas dilepaskan berat, cuba untuk mengalihkan fikirannya. Mujur sahaja Ghazi memberikannya satu kejutan pagi tadi, mengurangkan sedikit kekusutan di minda. Sebaik sahaja selesai bersarapan, Ghazi dengan selamba memberikan arahan untuk Ilana bersiap dan menuju ke kereta yang telah bersedia menunggunya. Tidak pula Ilana bertanya dengan lebih lanjut ke mana Luke akan membawanya atas arahan Ghazi itu. Tahu-tahu sahaja, dia sudah pun berada di hadapan Hotel Pullman dengan tangan Luke menghulurkan sampul surat berisi kad kunci bilik yang telah ditempah. 

Keputusan untuk tinggal di hotel itu adalah satu keputusan yang tepat, membolehkan Ilana memberikan alasan agar Emran tidak punya peluang untuk terus mengasak Ilana dengan desakan untuk mengetahui di mana Ilana tinggal setelah berpindah dari rumah kedua orang tuanya. Juga memudahkan Ilana jika dia sudah muak untuk terus berada di majlis itu bersama dengan Emran. Sekelip mata sahaja dia boleh terus hilang dari majlis itu. 

Satu kucupan pada lehernya yang jinjang mengembalikan Ilana ke dunia realiti. Dari cermin di hadapannya itu, Ilana melihat wajah kacak Ghazi yang berjambang tipis, segak mengenakan suit berwarna hijau gelap dipadankan dengan kemeja dan tie berwarna hitam. Rambut hitam suaminya itu disisir kemas ke belakang. Terasa berbunga hati Ilana melihat kekacakan Ghazi sebegitu, membuatkan Ilana tersenyum lebar. 

Tanpa bicara, Ghazi menundukkan tubuhnya dan melutut, tangannya mencapai sebelah kaki Ilana, menyentuh lembut pergelangan kaki isterinya itu, membuatkan Ilana terkejut hairan. Sengaja Ghazi mengelus dengan lembut dan menggoda betis Ilana yang halus sebelum sebelah tangannya mencapai kasut tumit tinggi Dolce & Gabbana di sisinya lantas disarungkan ke kaki Ilana. Bibir Ghazi mengucup lembut peha Ilana membuatkan Ilana memejam matanya rapat buat seketika, menahan gelora di hati. Satu senyuman sinis terpalit di wajah Ghazi saat dia mendongak dan melihat ekspresi wajah Ilana. 

Tangan Ghazi menyambung semula menyarung kasut ke kaki Ilana sebelum dia berdiri. Senyuman di bibirnya tidak lekang, memandang ke arah Ilana. Pantas tangannya merangkul pinggang Ilana, menarik tubuh itu ke dalam pelukan yang erat. Ghazi mendekatkan wajahnya ke wajah Ilana, merenung tepat ke dalam anak mata Ilana dengan menggoda. Sengaja Ghazi menjilat bibirnya sebelum satu senyuman nakal terukir di bibirnya. Tanpa sepatah ayat yang terucap, Ilana sudah tahu apa yang berbaur di minda Ghazi. 

CIKLET: Telah Ku Janji SelamanyaWhere stories live. Discover now