Lapanbelas

137 8 0
                                    

Ruang legar rumah agam 12 bilik di tepi pantai Luak Bay, Miri, itu dihias indah. Dinding dan siling tinggi rumah agam itu dilitupi dengan lapisan kain chiffon berwarna krim, diselangi dengan kuntuman bunga hydrangea dan mawar berwarna putih yang sarat, memenuhi hampir setiap ruang rumah itu dari pintu masuk lagi. Di hujung ruang legar itu, tersergam indah sebuah pelamin kecil bertemakan rustic, dipenuhi dengan bunga ros dan juntaian wisteria berwarna putih. Di hadapan pelamin, 50 biji kerusi keemasan tersusun rapi menghadap pelamin di mana seorang gadis sedang terduduk ayu.

Mata-mata tetamu yang hadir rata-rata tertancap ke arah gadis di atas pelamin, anggun mengenakan gaun lace lengan panjang berbentuk A-Line berwarna krim ditaburi kristal keemasan rekaan Zuhair Murad. Wajah gadis itu kelihatan polos hanya dilapisi mekap tipis, rambut separas bahu gadis itu disanggul rendah dengan juraian rambut di sisi ditutup dengan sehelai selendang lace keemasan, menyerlahkan lagi keayuan pada gadis itu.

Seketika kemudian, terlihat beberapa orang masuk ke ruang legar itu membawa dulang-dulang hantaran yang berisi tepak sirih, sebentuk cincin tunang, seutas gelang emas dan sekeping cek nilai hantaran. Setelah semua hadirin mengambil tempat, majlis pun bermula.

Pantun berbalas di antara wakil pihak lelaki dengan wakil pihak perempuan. Tarikh kurang dari enam bulan dipilih untuk majlis pernikahan nanti, tepat sebelum berakhirnya tahun itu. Nilai hantaran pula telah dipersetujui sebanyak RM 250 000.

Setelah butiran itu dipersetujui kedua-dua belah pihak, Dayangku Nazra yang anggun mengenakan kaftan chiffon berwarna kuning Elie Saab melangkah menaiki pelamin, bibirnya menguntum senyuman yang lebar. Punggungnya dilabuhkan di sisi Ilana yang sejak tadi terkaku di atas pelamin. Satu senyuman kecil tergaris di wajah Ilana, dengan segala kudrat yang dia ada Ilana cuba untuk tidak menjerit, meronta mahupun lari walaupun nalurinya mahu berbuat sebegitu. Hati Tuan Razaleigh dan Puan Nora harus dijaga ketika ini, walaupun terasa berbelahbagi. Ilana tidak sanggup untuk kehilangan kedua orang tuanya sekali lagi.

Seorang wanita yang berdiri tidak jauh dari Dayangku Nazra menghulurkan dulang yang berisi cincin tunang. Ilana menghulurkan tangannya sebelum disambut Dayangku Nazra. Sebentuk cincin platinum bertatahkan berlian cushion cut 7 karat disarungkan ke jari manis runcing Ilana sebelum pipi Ilana dikucup lembut.

"Selamat datang ke keluarga kami. Ibu harap Lana akan dapat bahagiakan Emran sepertimana Emran mahu bahagiakan Lana," bisik Dayangku Nazra, mengenggam erat jemari Ilana. Wajah Ilana dipandang penuh erti. Ilana sekadar membalas dengan satu anggukan, genggaman tangan Dayangku Nazra dibalas penuh erat sebelum bibir Ilana mengukir satu senyuman nipis.

Bunyi tombol pintu bilik tidur yang dibuka dari luar itu mematikan lamunan Ilana tentang kejadian di Miri dua minggu lepas. Kaca televisyen yang terpasang langsung tidak ditonton dengan fokus sejak tadi. Ilana menoleh ke belakang dari sofa di dalam bilik tidur itu, matanya menangkap susuk tubuh tinggi lampai Ghazi yang tersarung kemeja berlengan panjang. Rambut Ghazi yang panjang sebelum ini, sudah dipotong pendek dan kemas, wajah kacak Ghazi yang sekian lama tidak dipandang itu sudah ditumbuhi jambang. Terasa hendak pecah dadanya menahan kerinduan.

Gerak geri Ghazi yang melangkah ke meja sisi katil diperhati dengan tekun. Isi poket seluar slacks dikeluarkan seraya cufflinks pada lengan kemeja ditanggalkan sebelum diletakkan ke dalam dulang kecil di atas meja itu. Sedikit pun Ghazi tidak menoleh ke arah Ilana mahupun menghiraukan kewujudan Ilana di dalam bilik itu. Pantas Ilana bangkit dan menapak ke arah Ghazi. Tubuh tegap milik Ghazi itu dirangkul dari belakang dengan erat. Haruman semburan linen pada kemeja Ghazi, dicampur dengan minyak wangi Grey Vetiver dan haruman tubuh Ghazi bercampur, menusuk ke rongga hidung Ilana. Terasa hilang separuh kerinduan Ilana terhadap Ghazi. Rindunya pada Ghazi hanya Tuhan sahaja yang tahu.

"Sayang, I miss you. I'm so glad you're home," bisik Ilana perlahan, hatinya dipukul rasa sebak. Hampir sebulan mereka terpisah, hampir sebulan jua Ilana dibiarkan tanpa berita dari Ghazi.

CIKLET: Telah Ku Janji SelamanyaWhere stories live. Discover now