Tigapuluhempat

173 6 0
                                    

Rolls Royce Cullinan berwarna hitam meluncur laju membelah jalan raya melalui kesibukan trafik di bandar Sydney. Perjalanan hampir setengah jam di celah trafik waktu puncak itu akhirnya membawa kereta SUV berwarna hitam itu ke seberang bandar Sydney di Darling Point. Jalan yang berliku membawa kereta itu berhenti di sebuah pintu pagar berwarna hitam yang agak tersembunyi berbanding rumah-rumah lain. 

Cermin kereta diturunkan sebelum Dex menekan-nekan beberapa butang pada interkom yang tersedia di sisi pintu pagar. Seketika kemudian, pintu pagar itu terbuka luas, membenarkan kereta SUV itu menderu masuk melalui laluan masuk yang panjang, sarat dilitupi oleh dedaun yang menjalar serta pokok-pokok yang redang di kiri kanan laluan. Laluan sempit itu akhirnya berakhir, menampakkan satu ruang yang luas menuju ke pintu hadapan rumah agam moden kontemporari tersergam indah. Terlihat beberapa batang pokok palma yang meninggi mengelilingi rumah itu. 

Kereta dihentikan tepat di hadapan pintu utama rumah itu, sebelum Dex melangkah keluar. Bibirnya menguntum senyuman sekilas ke arah seorang wanita yang sedang berdiri di sisi birai pintu sebelum Dex melangkah menuju ke pintu penumpang belakang. Pintu dibuka, lantas terlihat seorang jejaka mengenakan seluar capri berwarna beige yang dipadankan dengan kemeja linen polos berwarna putih yang longgar di tubuh menapak keluar dari perut kereta. Sepasang kaca mata menghadang pandangan dari anak mata coklat yang menawan. 

"Welcome home, Ghazi," terdengar suara Paula, housekeeper Norman Strauss yang sedang berdiri di pintu masuk rumah itu menyapa lembut. Bibir Paula menguntum senyum. Terasa sudah lama tidak melihat Ghazi, anak kepada majikannya itu.

Ghazi menguntum senyuman nipis. Home?

"Thank you, Paula," sapa Ghazi sebaik sahaja dia sudah berada di hadapan pintu. 

"I'll tell Norman you're here," ujar Paula menutup pintu di belakangnya setelah Ghazi menapak masuk sebelum menghilang. Mungkin menuju ke bilik Norman Strauss untuk memberitahunya yang Ghazi sudah pulang. 

Ghazi meneruskan langkah menuju ke ruang utama. Nafasnya ditarik dalam, menghirup udara laut segar yang menerobos masuk melalui pintu yang terbuka luas menghadap Double Bay. Terdengar bunyi air yang memukul persisiran belakang rumah itu di kejauhan. Cahaya matahari pagi menerangi ruang serba putih itu. Kaki Ghazi melangkah menuju ke pintu luas menuju ke balkoni, menyandarkan bahunya ke birai pintu.

Sungguhpun rumah itu adalah milik Daddynya dan dia sendiri mempunyai bilik yang telah dikhaskan untuk digunakan olehnya bila-bila masa sahaja, bagi Ghazi, rumah itu tidak seperti rumahnya sendiri lagi. Sungguhpun pelbagai memori yang terukir di rumah itu, ketiadaannya yang terlalu lama di rumah itu membuatkan rumah itu terasa sedikit asing kepadanya. Terasa sedikit kosong. Tidak seperti rasa di One Barangaroo.

One Barangaroo is home. And there's a reason for it. 

Namun di saat itu, Ghazi tidak betah untuk berada di One Barangaroo. Segala apa yang ada di duplex penthouse itu mengingatkannya tentang Ilana, tentang memori indah mereka berdua. Sakit. Sakit untuk Ghazi kenang.

Sudah seminggu lebih dia cuba untuk terus berada di One Barangaroo, cuba untuk memujuk dirinya yang semua itu hanya sementara. Saat dia menapak masuk ke penthouse itu, memorinya mengimbau kembali susuk Ilana yang seringkali dilihat berdiri di cermin luas ruang tamu penthouse itu, melihat feri yang keluar masuk di perairan Sydney Harbour. Bila dia ke tingkat kedua, teringat pula Ilana yang menghabiskan masanya di ruangan nook khas untuk menyiapkan segala tugasan di universiti suatu ketika dahulu. Di bilik tidur.

Ah, kalau sahaja dinding bilik tidur itu dapat bercakap. Sudah pasti pelbagai cerita tentang Ilana dan Ghazi yang akan mereka ceritakan. Bilik tidur yang menyimpan segala memori indah dan manis mereka berdua. Saat kepala Ghazi dilabuhkan ke bantal, terasa masih segar haruman Ilana di bantal di sebelahnya.

CIKLET: Telah Ku Janji SelamanyaWhere stories live. Discover now