Empat

271 10 0
                                    

Ghazi merenung ke luar jendela luas penthouse di kota Sydney yang menghadap panorama Sydney Harbour. Kerlipan cahaya lampu malam dari Harbour Bridge dan Sydney Opera House di kejauhan kelihatan begitu cantik sekali, sesekali terlihat beberapa buah feri yang melalui ruang perairan lalu. Memang pemandangan sebegitu yang memberikan ketenangan kepada Ghazi. 

Satu hembusan nafas lembut dilepaskan seraya lengannya disandarkan pada cermin jendela luas itu. Ghazi keliru.

Keliru kerana dia tidak faham perasaan yang timbul dalam hatinya itu. Kenapa perasaan sebegitu tiba-tiba muncul dalam dirinya setelah bertahun dia cuba untuk mengelak dari rasa sebegitu? Sudah dia cuba untuk menjauhkan diri dari berjumpa dengan Ilana dengan harapan yang perasaan itu akan hilang, namun hatinya meronta-ronta untuk tahu apa khabar gadis itu, apa yang gadis itu sedang lakukan. Pendek cerita, semuanya tentang Ilana dia mahu tahu! Cuba digagahkan diri untuk menahan dari menghubungi Ilana, namun Ghazi tewas dengan tuntutan hatinya sendiri. Akhirnya dia mengalah. Sekalipun dia cuba mengelak dari berjumpa dengan Ilana, bimbang perasaan itu berputik semula, sekurang-kurangnya dengan berbual di telefon atau berbalas pesanan ringkas, mampu membantu Ghazi untuk kekal waras dari dihantui perasaan rindu yang entah apa-apa untuknya itu. 

Apa yang Ilana telah lakukan pada dirinya?

Selama ini, bukan tidak pernah Ghazi mendampingi gadis-gadis di kota Sydney itu. Pendek cerita pelbagai perempuan sudah silih berganti didampinginya, namun semuanya tidak serius. Bagi Ghazi, semua perempuan itu hanya satu gangguan untuk dia terus fokus pada Strauss Enterprise. Dengan perempuan lain, Ghazi membiarkan mereka yang mengejarnya, tanpa langsung mempedulikan mereka. Memang salah satu prinsip hidup Ghazi adalah untuk tidak membiarkan perempuan menjadi penghalang untuk membina satu kejayaan. Ghazi tidak mahu apa yang berlaku kepada Daddynya suatu masa dahulu terjadi kepadanya. Walaupun hanya berumur sembilan tahun ketika itu, Ghazi sendiri menjadi serik melihat teruknya Daddy tersungkur saat Elena meninggalkan mereka. 

Bagi Ghazi, cinta itu hanya merumitkan. Cinta itu hanya permainan hati. Cinta itu hanya melalaikan. Cinta itu menyakitkan. Cinta itu penipuan. Cinta itu membazir masa. Cinta itu sesuatu yang mahu Ghazi elakkan seboleh-bolehnya. Tetapi Ilana telah membuatkan dia lemah untuk mempertahankan prinsipnya yang satu itu. 

Dengan Ilana, persepsi Ghazi terhadap cinta sedikit demi sedikit berubah. Ada sesuatu pada gadis itu yang mengetuk pintu hatinya. Ada sesuatu pada gadis itu yang membuatkan Ghazi terfikir adakah yang dia rasakan itu cinta? Kerana belum pernah lagi dia merasakan sesuatu seperti ini. Ilana benar-benar berbeza dengan mana-mana gadis yang pernah didampinginya. 

Dengan Ilana, Ghazi menjadi semakin bersemangat untuk melalui hari-harinya, melakukan setiap kerjanya. Di saat Ghazi buntu dan perlukan idea untuk menyelesaikan masalah tentang perjanjian, projek atau urusan syarikat, dia boleh berbual bersama Ilana tentang hal itu dan setiap kali, Ghazi merasa kagum dengan kebolehan Ilana untuk berkongsi idea-idea bernas kepadanya. Ghazi kagum dengan cara Ilana berfikir mengenai urusan perniagaan dan Ilana juga punya bakat semulajadi dalam melihat dan mencari peluang perniagaan yang menguntungkan. Perbualan dengan Ilana tidak pernah tidak bosan sekalipun jika mereka berbual tentang dunia perniagaan.

Sedikit sebanyak, hal itu semua membuat Ghazi menjadi lebih tertarik kepada Ilana. Gadis itu serba boleh. Tidak mudah untuk Ghazi mengkagumi seorang gadis sebegitu. Ilana Saramaia adalah gadis pertama yang membuatkan hatinya bergetar, jantungnya berdetak pantas. 

Ghazi sememangnya bukanlah seorang yang suka membazir masa untuk menunggu, terutamanya jika dia sudah tahu apa yang dia mahukan. Gadis seperti Ilana Saramaia tidak mungkin akan dilepaskan sesenang itu. Bimbang jika ada yang lain yang akan mendahuluinya, Ghazi nekad untuk memberanikan diri melamar Ilana untuk menjadi girlfriendnya. Walaupun jantungnya berdetak kencang, walaupun dia terasa gugup, dicuba juga nasib. Apa nak jadi jadilah, walaupun dia tidak sanggup untuk rasa gagal. Ghazi tidak sanggup untuk merasa kecewa sepertimana yang dirasakan Daddynya 23 tahun lepas.  

CIKLET: Telah Ku Janji SelamanyaWhere stories live. Discover now