"Abel, urus bahagian layar. Dan Nixie, sila tolak bahagian bawah kapal." arah Aurelia.
Ketika ini Aurelia sedang berdiri di tengah-tengah bilik sambil menutup mata dan memfokuskan kepada tenaga spiritnya. Walaupun dia berasa sedikit janggal kerana sedang diperhatikan oleh ketiga-tiga raja spirit, dia cuba untuk tidak memikirkannya dan fokus untuk menambahkan kelajuan kapal.
Sekarang setelah dia benar-benar fokus, dia dapat merasakan mana mengalir sedikit demi sedikit. Ia seperti dia menyambung kepada mereka dengan satu rantaian tali. Sekiranya dia mengurangkan jumlah mana yang ada pada kedua-dua spirit tahap rendah itu, mereka tidak mampu mengekalkan bentuk mereka. Namun sekiranya dia memberikan mereka kuasa penuh, mana akan bertebaran daripada mereka.
"Ah, jadi macam itu. Faham.." Aurelia berkata dengan senyuman kepuasan meskipun dia masih menutup matanya untuk kekal fokus.
"Oh. Kamu nampaknya seorang yang cepat belajar." Ujar Caelus, kagum.
"Tengoklah anak siapa.." kata Eliam pula.
"Hm, dah mula dah.." perli Caelus.
Pada masa yang sama kapal yang dinaikinya sedang bergerak lebih laju daripada sebelum ini. Anak kapal yang mengawal roda memandu kapal juga berasa hairan. Awal-awal tadi tiada angin tiada ribut, tiba-tiba air mula berombak-ombak dan angin bertiup sepoi-sepoi tepat dari arah belakang layar kapal.
Hampir 30 minit kemudian, mereka tiba di pelabuhan Teskia pada jam 7:15 malam, dan tepat pada waktu makan malam mereka.
Tok! Tok! Tok!
"Masuklah." Jemput Aurelia.
"Ini makan malam awak." Ujar Damien sambil memberikannya kepada Aurelia.
"Wah, ayam kari. Rajin pula diorang masak ini. Terima kasih, Damien."
"Sama-sama."
Setelah pintu ditutup, Aurelia segera duduk di kerusi. Sudah tentulah segala pergerakannya masih lagi diperhatikan oleh ketiga-tiga raja spirit.
"Kamu ada bertanya bagaimana kami boleh tahu sekiranya seseorang menghampiri kami walaupun orang itu masih berada jauh daripada kami, itukan soalan kamu tadi?" Tanya Sulien.
Aurelia mengangguk.
"Sebenarnya.."
"Kamu sepatutnya dah tahu." Pintas Eliam. "Tidak ke selama ini kamu akan berasa pelik sebelum ada sesuatu yang terjadi? Atau kamu tak rasa apa-apa langsung?"
"Hm, ya, ada. Ouh, jadi itulah maksudnya." Aurelia menganggukkan kepalanya, tanda memahami. "Tapi tidak ke pakcik Sulien dengan pakcik Caelus sibuk?"
"Jadi sekarang kamu nak halau kami pula?" Soal Caelus, separuh mengusik.
"Ya, kamu berdua patut balik sekarang. Sudah-sudahlah perhatikan anak aku." Ujar Eliam.
"Hm, ya, mungkin saya patut pergi sekarang." Ucap Sulien. "Kamu mesti rasa terganggu. Selamat malam, Aurelia."
"Ya. Tujuan aku pun dah selesai. Aku akan datang balik nanti. Selamat malam." Ucap pula Caelus lalu pergi dengan angin yang agak kuat.

YOU ARE READING
Aurelia: Daughter Of The Elemental King
FantasyPada waktu umurnya menginjak 18 tahun, segalanya berubah. Aurelia tidak menyangka bahawa dia adalah anak gadis Raja Elemental Air! Namun persoalannya, bukankah Raja-raja Elemental tidak mampu mempunyai anak? Dan, disaat Aurelia melihat ayahnya datan...