Bab 1

56 5 0
                                    

"Oii. Daniella. Tuan David panggil ke bilik bacaan sekarang juga."

Salah seorang daripada pengasuh yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan Daniella muncul dari sebalik pintu. Dia berdiri angkuh di pintu sambil berpeluk tubuh.

"Baba nak apa?" Daniella bersuara perlahan. Hujung gaun lusuh yang dipakainya dikemaskan sebelum berdiri dari katilnya. Jam di dinding dikerling sekilas. Baru pukul 5 petang.

"Manalah aku tahu! Eh, kau pergi jelah sana! Banyak tanya pula dia ni. Dahlah busuk!"

Daniella tertunduk serta-merta. Hidungnya diarahkan pada kawasan bawah lengan. Busukkah? Tapi dia baru sahaja mandi kira-kira 30 minit yang lalu.

Belum sempat Daniella berkata lebih lanjut, pintu biliknya terus ditutup kasar. Hanya keluhan yang terbit dari bibirnya.

Daniella bergegas ke arah meja kecil di biliknya. Botol minyak wangi yang sudah lama kosong digoncang kuat. Dengan harapan sekurang-kurangnya ada wangian yang akan melekat, dia menekan laju penyembur minyak wangi tersebut ke serata tubuhnya.

Daniella membesar di rumah ini dalam keadaan serba daif. Adakah mereka berasal dari keluarga yang miskin? Tidak sama sekali.

Dia pernah terdengar pembantu rumah ini bercerita. Babanya adalah ketua bagi kumpulan gengster kecil yang digelar Castel.

Sampai sekarang Daniella kurang pasti kenapa hanya dia yang mendapat layanan yang buruk daripada baba dan abang pertamanya. Daniella punya dua abang manakala dia pula adalah anak yang bongsu. 

Seingatnya, hanya abang keduanya, Daniel sahaja yang melayannya seperti manusia dalam rumah ini. Itupun semuanya dilakukan secara sembunyi oleh Daniel. Kalau kegiatannya diketahui oleh baba dan abangnya, dia yang akan dihukum. Bukannya Daniel.

Pernah sekali Daniel terkantoi saat hendak menghantarkan makanan berupa KFC kepada Daniella di ruang stor. Betapa marahnya baba mereka kerana Daniel cuba untuk memberinya makanan. Saat itu juga dia dihukum tepat di hadapan Daniel dan Danishall, abang pertamanya.

Seluruh tubuhnya berbirat penangan kayu penyapu yang dirembat babanya entah dari mana. Mata Daniel sudah berkaca menahan air mata manakala Danishall pula hanya tersenyum dan ketawa mengejek.

Sejak dari hari itu, Daniel menjadi semakin licik. Jika ada yang hendak diberikan kepadanya, semuanya pasti akan diberi pada waktu tengah malam ataupun sebelum subuh.

Botol minyak wangi yang juga pemberian Daniel ditenung hiba. Selesai merapikan diri, Daniella bergegas keluar dari biliknya yang terletak di kawasan stor rumah.

"Maaf lambat, baba!"

Suara kecil Daniella kedengaran sebaik sahaja pintu kayu bilik bacaan tersebut dibuka oleh pengawal. Daniella tidak mengambil tempat duduk di sofa. Seperti biasa, dia hanya duduk berlutut di atas karpet tidak jauh dari baba dan kedua abangnya di sofa.

David mendengus kasar. Kelibat Daniella tidak pernah menimbulkan rasa senang di benaknya! Rimas!

"Lepas ni kau ikut Anne. Malam ni kau tidur dekat bilik yang aku dah sediakan. Kemaskan diri kau, pakai pakaian yang aku dah sediakan. Sebab mulai esok, kau akan ikut keluarga baru kau."

Daniella mengangkat pandangan serta-merta. Dia menggeleng laju secara automatik. Perlahan-lahan dia mengensot dan memeluk erat kaki babanya.

"Tak! Tolonglah, baba. Adik sanggup buat apa je asalkan baba tak buang adik! Adik nak tinggal dekat sini. Tolonglah. Adik merayu!"

Wajah David mempamerkan reaksi meluat. Begitu juga dengan Danishall. Hanya Daniel sahaja yang mengepal erat buku limanya. Menahan rasa jengkel dan amarah setinggi langit.

Lufian, His RedamancyWhere stories live. Discover now