Hukuman yang diterima Marco mula tersebar luas dalam kalangan ahli Lodovico. Sudah sebulan berlalu, berita itu masih juga menjadi topik yang hangat. Semua orang mengecam Marco kerana berani menghina keluarga induk Lodovico. Namun tidak kurang juga ada desas-desus yang menyatakan, Lion Heart Lodovico mula mengganas. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang faham maksud di sebalik bait itu.
Identiti Daniella sebagai Puan Muda baharu Lodovico juga sudah tersebar luas baik dalam kalangan kumpulan Lodovico, rakan kongsi Lodovico, dan tidak kurang juga dalam kalangan musuh mereka. Di dalam rumah agam, Daniella cukup disegani tambahan pula selepas dia sendiri mengendalikan kes Aryana dan Marco. Mereka kini lebih memilih Daniella jika terdapat sebarang masalah yang memerlukan perhatian Daniella.
Menurut staf rumah agam yang lain, Daniella melayan semua orang secara sama rata. Tidak ada yang diberikan layanan secara tidak adil. Jika Daniella hendak memberikan hukuman sekalipun, dia akan memastikan hukuman tersebut tidak melibatkan nyawa.
Ada satu perkara yang sangat disenangi oleh mereka, iaitu Daniella yang tidak pernah lekang dari senyuman. Sebelum ini, mana pernah mereka melihat mana-mana anggota Lodovico beramah mesra bersama mereka? Semuanya lebih kepada imej yang tegas dan menyeramkan.
Tengah hari itu, Dearil, Athena, dan Cassian punya kesempatan untuk makan tengah hari bersama. Seperti biasa, pembantu peribadi mereka akan turut sama menjamah makanan.
"Kenapa sampai sekarang ni, Daniella masih tak pernah join kita makan bersama, sayang?" Dearil menyoal isterinya bila mereka berdua selesai menjamu selera.
"Jadual kita selalu berlanggar dengan dia. Lagipun, dia masih tak biasa dengan makan bersama ramai-ramai. Dari kecil dia dah terbiasa makan seorang dalam ruangan yang sempit. Saya dah pernah ajak adik makan hari tu. Tapi... macam biasa. Dia mengelak."
Dearil mengangguk. Manakala Cassian pula hanya selesa mendiamkan diri. Dia masih belum kenal hati budi Daniella sepenuhnya jadi tidak ada apa-apa yang boleh dibincangkannya buat masa ini.
"Tapi tak boleh biarkan juga. Kita kena bantu dia biasakan diri. Sampai bila dia nak terkurung dalam masa silam dia? Masa akan datang pun, akan ada waktunya dia perlu menghadiri jemputan untuk makan bersama orang lain. Takkan dengan Lufian pun dia tak berani nak makan bersama?"
"Hmm... setahu saya... dia hanya biasa makan dengan Daniel, Lufian, Adam, dan Hakimi. Masuk akal juga. Sebab hanya mereka je yang selalu ada dengan Puan Muda." Orland mencelah.
Dearil terdiam sejenak. Selepas berfikir selama beberapa saat, dia mengambil satu keputusan.
"Orland. Bagi arahan kepada Lufian dan Daniella. Mereka berdua kena hadir makan malam ni dekat bangunan utama ni. Wajib."
Cassian melepaskan tawa kecil bila terdengar arahan papanya. Sampai begitu sekali papanya bertindak hanya untuk membantu Daniella untuk membiasakan diri dengan mereka sekeluarga.
"Baik, Tuan Besar!" Balas Orland.
"I'm looking forward for tonight!" Cassian berkata sebelum mengeliatkan tubuh dan mengangkat punggung. Buat masa ini dia masih bercuti. Sudah hampir setahun dia meninggalkan rumah agam ini untuk menyelesaikan misi yang diberi mamanya. Jadi sekarang, dia hanya akan berada di sekitar rumah agam sahaja untuk membantu keluarga mereka.
"Cass. Tunggu dulu." Athena memanggilnya dari belakang. Sesaat sebelum kakinya melepasi pintu keluar bilik makan itu.
"Yes, mama?" sahut Cassian. Dia bersandar pada kekisi pintu kemudian menyilangkan tangan.
"I got a new job for you."
Wajah Cassian langsung berubah mendung. Terasa bagaikan langit yang cerah berubah mendung secara tiba-tiba.
YOU ARE READING
Lufian, His Redamancy
Romance"Kemaskan diri kau, pakai pakaian yang aku dah sediakan. Mulai esok, kau akan ikut keluarga baru kau." - David "Tak! Tolonglah, baba. Adik sanggup buat apa je asalkan baba tak buang adik! Adik nak tinggal dekat sini. Tolonglah. Adik merayu!" - Danie...