Sepanjang malam Daniella langsung tidak boleh melelapkan mata. Seluruh tubuhnya memang penat! Kalau boleh dia mahu tidur sepuas-puasnya untuk memulihkan diri. Namun begitu, rasa bersalahnya terhadap Lufian terlalu kuat hingga menganggu fikirannya.
Daniella merenung sekilas jam di telefon pintar. Baru pukul 5 pagi. Lufian mesti masih terlelap, fikirnya. Daniella mengetap bibir kemudian menggosok kasar wajahnya. Dahinya berkerut-kerut bila teringat setiap bait bicara yang dilemparkan kepada Lufian malam tadi.
"Bodohlah, kau! Yang kau pergi cakap kau bencikan dia tu kenapa? Kau sendiri tak suka orang ungkit masa lalu dia! Tapi... tapi semalam kau sendiri buat benda yang sama! Aduh... macam mana aku nak hadap Lufian lepas ni? Mesti dia marahkan aku." Daniella bermonolog sendiri. Hujung rambutnya sempat ditarik kasar sebelum dia mengeluarkan keluhan yang berat.
Dia berteleku selama beberapa minit lagi sebelum mengambil keputusan untuk bangkit dari katil. Dia tidak boleh membiarkan perkara ini berlanjutan. Dia tidak suka menyakiti hati orang lain.
Daniella mencapai sehelai kardigan panjang dari perut almari. Dia malas hendak menukar gaun tidurnya kerana hendak ke Nixe secepat mungkin.
"Harap-harap dia tak tidur mati..." gumam Daniella sebelum melangkah keluar dari kediamannya.
Sepanjang perjalanan ke Nixe, beberapa pengawal bertindak mengawasinya dari jauh. Memandangkan mereka sedar yang Daniella sedang menuju ke kediaman Lufian, maka mereka tidaklah terlalu risau dan tertanya-tanya.
"Selamat pagi, puan!" sapa pengawal yang bertugas di kediaman Lufian untuk hari itu. Daniella hanya tersenyum simpul sambil merapikan kardigannya.
"Selamat pagi. Lufian masih tidur?"
"Err... dia baru je bangun tadi. Tadi dia ke dapur. Baru je naik dekat atas. Puan masuklah." Jawab pengawal di hadapannya.
"Baiklah. Terima kasih. Hati-hati bertugas." Pesan Daniella sebelum meloloskan diri ke dalam.
Langkah kaki menuju ke tingkat atas diatur dengan penuh debaran. Daniella risau akan reaksi Lufian nanti. Adakah Lufian akan kembali menjauhinya? Selama beberapa bulan ini dia sudah terbiasa dengan layanan Lufian terhadapnya.
Jejaka itu tidak pernah bosan melayannya bak permaisuri. Setiap kebajikannya diutamakan oleh Lufian melebih kebajikan jejaka itu sendiri. Makan minumnya juga sangat dititik beratkan. Hakimi dan Adam juga menyatakan yang Lufian tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke kelab malam mahupun berdampingan dengan wanita lain. Saban hari, rutin harian Lufian hanyalah berangkat ke syarikat dan pulang ke rumah agam ini.
Semua orang yang ada di sekeliling Daniella sudah memberikan jaminan yang Lufian sudah berubah. Akan tetapi, hanya dia sahaja yang selalu melayan jejaka itu dengan dingin kerana enggan kalah dengan ego sendiri.
Tiba di hadapan bilik Lufian, Daniella sempat mengerutkan dahi bila menyedari yang pintu bilik Lufian tidak tertutup rapat. Tanpa dipinta, memori saat di rumah Lufian kembali menerjah ke ruangan minda. Lantaran itu, dengan pantas Daniella menolak daun pintu untuk mencari kelibat suaminya.
"Sa... yang?"
Tergamam seketika Lufian. Dia baru hendak menukar pakaian untuk pergi berjoging. Mujur dia memakai boxer. Kalau tidak...
"Kenapa tak tutup pintu?!" marah Daniella. Dia sempat memastikan tidak ada orang lain di luar sebelum bergegas menutupkan pintu serta menguncikannya.
"Err... lupa." Hanya itu respon Lufian sambil mengenakan kembali baju tidurnya. Sebenarnya Lufian sudah biasa. Lagipun, dalam kediamannya tidak ada sebarang pembantu rumah wanita. Semuanya lelaki. Kalau dia hendak menukar pakaian dengan pintu terbuka luas sekalipun, tidak ada yang akan kisah.
YOU ARE READING
Lufian, His Redamancy
Romance"Kemaskan diri kau, pakai pakaian yang aku dah sediakan. Mulai esok, kau akan ikut keluarga baru kau." - David "Tak! Tolonglah, baba. Adik sanggup buat apa je asalkan baba tak buang adik! Adik nak tinggal dekat sini. Tolonglah. Adik merayu!" - Danie...