Saat dalam kecelaruan dan kerancuan, tiada siapa lagi yang faham dan mampu memberi jawapan pada setiap soalan melainkan 'Al-Alim'. Sejak beberapa minggu lepas, tidur malam Amsyar hanya sekadar melayap-layap. Berkali-kali dia bangun di sepertiga malam untuk minta apa jua petunjuk baik kecil mahupun besar.
Sejak kebelakangan ini, perasaan dia pada Haura semakin jelas. Kadang-kala terlampau berat hingga dia sendiri rasa bertindan-tindih.
Macam ini ke rasanya bila terlampau suka pada hambaMu, ya Allah.
Tiada siapa lagi yang kenal akan diri kita melainkan 'Al-Khaliq'. Sedangkan pergerakan bumi dan matahari juga ada ada tujuannya, pagi dan malam ada sebabnya, Amsyar yakin, wujudnya perasaan yang kuat terhadap Haura Mikayla juga ada lantarannya. Jalan yang dia perlu harungi dan pintu yang perlu dia getak-getuk hanyalah pintu dan jalan yang melibatkan Allah.
Ya Allah, andai perasaan ini kekal hingga ke akhirnya, Kau rahmatilah setiap perjalanan dan keputusan aku yang mendatang. Tatkala aku tersepit di antara mana-mana pihak, kau cekal kan lah hati aku untuk terus libatkan Engkau dalam setiap pilihan aku.
**
Habis sahaja kerja, Hawwas terus gerak ke pusat beli belah. Tepat sebelum dia keluar dari ofis, telefonnya menerima panggilan dari Amsyar. Pelik. Biasanya dia yang rajin menelefon. Selagi tidak menaikkan darah Amsyar, selagi itulah dia akan mencari cara. Ikutkan, untung Amsyar berkawan dengan dia. Dapat juga Amsyar lalui latihan menguji kesabaran secara percuma. Maklumlah, sebagai ahli barisan hadapan dalam menjaga benteng pertahanan negara, penting bagi Amsyar untuk mengawal perasaan.
Katanya ada benda yang hendak dibincangkan. Daripada tona suara, macam serius. Jika hendak ikut andaian Hawwas, mungkin Amsyar dipanggil balik bertugas lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan. Andai betul, sunyilah dia.
Tersengah-sengah Hawwas, punggungnya dihenyak atas kerusi berhadapan dengan rakan baiknya. Tali lehernya ditarik dengan kening yang bertaut. "Am, sorry, aku lambat."
Sekilas anak mata Hawwas dibawa pada beg kertas berwarna merah gelap bersebelahan dengan kerusi Amsyar sebelum membawa anak matanya bertentangan dengan lelaki tersebut.
"It's okay, Was. Aku pun baru sampai ni. Kau pesan lah dulu." cadang Amsyar. Sementara Hawwas sibuk meneliti menu makanan, dapat jugalah masa untuk dia cekalkan diri sebelum bersuara.
Dia ke pusat beli belah ini dengan satu tujuan, itu pun tanpa pengetahuan mama dan abah. Sebelum dia teruskan dengan rencananya, dia perlukan persetujuan seseorang. Seseorang yang penting bagi Haura Mikayla.
Persetujuan daripada lelaki di hadapannya sekarang.
Amsyar menelan liur, dalam nafasnya ditarik bagi mengurangkan rasa gugup. Laju sungguh degupan jantung hingga bergema pendengarannya. Bertahun-tahun dia hadap pelbagai operasi, tidak tertanding dengan apa yang dirasainya sekarang. Separuh dari kotak fikirannya bagai keragu-raguan, separuh lagi bagai menolak dirinya untuk mengambil langkah berani.
"Hawwas...aku...aku ada benda nak cakap ni...."
Dari nada suara sahaja dah cukup untuk menarik sepenuh perhatian Hawwas.
"Kau kena panggil balik ke, Am? Kau kena panggil balik, kan? Aku dah agak dah," terka Hawwas lagi. Gelas berisi air yang dipesan dibawa dekat ke tubuh.
"Eh, tak. Aku nak cakap pasal hal lain." Sekali lagi Amsyar terdiam. Liurnya ditelan lagi. Beg kertas Cartier tadi diangkat ke atas meja, kotak baldu kecil yang menjadi isi dibawa keluar.
Berkedip kelopak mata Hawwas, anak matanya melirik pada cincin, beralih pula pada wajah Amsyar. Posisi duduk Amsyar tegak, bahunya tegap berbaur keyakinan.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
RomanceIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...