"Adik okey tak?"
"Adik dah makan?"
"Adik makan apa?"
Lama ibu jari Hawwas berlegar pada butang hantar, pesanan tersebut dipadam lagi buat kesekian kali. Jemarinya meramas helaian rambut.
Dia risaukan Haura. Baru beberapa hari berjauhan dengan si bongsu, dia dah tak senang duduk. Makan minum Haura terjaga ke? Haura selesa ke dekat sana?
Papa dengan mama nampak bersahaja. Tak nampak langsung gusar pada wajah mahupun lagak.
"Kamu kenapa, Hawwas?" soal Dato' Azham. Dari tadi dia nampak anak sulungnya sibuk dengan telefon bimbit.
"Tak ada apalah, pa."
"Papa nak pergi main golf. Kamu duduk rumah, temankan mama dengan Mek Jah." Habis pesanan diberi, Dato' Azham menyusun langkah ke kereta, meninggalkan anak sulungnya dengan si isteri.
"Kenapa, Hawwas?" Kali ini, Mek Jah pula menyoal. Tempat duduk Dato' Azham diambil alih, cawan berisi air kosong dibawa ke birai bibir.
"Mama dengan Mek Jah...tak risaukan Haura ke?"
Datin Suhaila dan Mek Jah saling berpandangan. Itu rupanya penyebab si Hawwas ni resah gelisah...
"Lah, dia bukannya duduk rumah orang lain. Duduk rumah suami, mentua dia je, Hawwas," ujar Datin Suhaila. Selama ini pun, dia nampak Puan Khadijah, rakannya itu melayan Haura bagai anaknya sendiri.
"Kalau kamu risaukan dia, telefonlah. Cuba tanya dia buat apa hari ni..."
Hawwas kerutkan kening. Takkan lah dia nak telefon. Nanti nampak sangat dia risaukan si Haura. "Tak naklah, Mek Jah. Buat apa Hawwas nak telefon."
Daripada dia telefon Haura, lebih baik dia kacau Amsyar. Sekurang-kurangnya tak adalah jelas sangat yang dia sedang runsing memikirkan soal salah satunya adik yang dia ada.
**
Sementara Amsyar menunggu Haura bersiap, badannya disandar pada kereta. Tangannya ralit pada telefon. Hawwas dari habis majlis hari tu, sibuk menghantar pesanan mesej, mengajak dia keluar. Katanya lama tak jumpa. Malas dia nak melayan kerenah Hawwas. Memanglah sudahnya keluar dengan abang ipar sendiri, tapi tak akan lah sampai hari pertama kahwin pun hendak bersua muka. Naik muak.
Kata Hawwas, beberapa hari lepas dia terserempak dengan Ameera. Ditanya lagi tentang dia. Bila Hawwas tanya kenapa, tak ada jawapan. Hanya sekadar senyuman.
Hari Ameera datang ke rumah, mama sudah pesan dari awal untuk rahsiakan hal yang lepas daripada Haura. Benda tak penting, tak perlu diungkit. Serba salah pula Amsyar. Bagi dia, Haura berhak tahu siapa biar tidak timbul syak wasangka.
Dalam pada Amsyar berfikir, tepi anak matanya menangkap susuk tubuh Haura menghampiri. Badan yang menyandar terus berdiri tegak, pintu kereta dibuka bagi si isteri masuk.
"Abang fikir apa...?" soal Haura. Dari raut wajah tadi macam ada yang tidak kena je?
"Tak ada apalah, Haura. Abang singgah pangkalan sekejap lepas kita beli barang, boleh?" Dua tahun lepas, dia tak dapat ikut serta. Ikutkan tahun ni nama dia sepatutnya naik.
"Boleh. Haura nak baca senarai mama bagi ni. Abang dengar betul-betul!" Sebelum dia keluar tadi, mama ada lekatkan pad memo pada peti ais. Serba lengkap senarai tersebut. Berapa yang perlu diambil, besar mana, berapa biji. Lebih terperinci daripada senarai Mek Jah hari tu.
Rindu pula pada Mek Jah. Siapa agaknya nak melayan mengidam dia sana sini.
Tiba sahaja di Econsave, Haura lebih ralit memandang para wanita yang ada di bahagian barangan basah. Lihat daripada cara mereka memilih dan membelek barangan, mereka tampak arif.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
RomanceIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...