Hampir dua minggu berjauhan dengan Amsyar, rindu tak terkata. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia menunggu panggilan telefon. Walaupun ada mama, abah, Hawwas sekalipun, Haura masih rasa ada yang kurang. Hendak kacau Aina, dia sibuk dengan persiapan kahwin hujung bulan ni. Tak sabar rasanya untuk sang suami pulang ke Kuala Lumpur hujung minggu ni.
"Mama mana, Haura?" soal Encik Ilham. Turun sahaja ke ruang tamu selepas solat asar, nampak menantu sahaja seorang diri di ruang tamu. Tadi bergelak tawa mereka berdua.
"Mama dekat luar, abah. Ada orang datang tadi. Haura rasa kawan mama kot," ujar Haura sambil mengunyah keropok ikan. Bila abah tanya, baru dia perasan lama betul mama di luar.
"Cari siapa, nak?" soal Puan Khadijah pada lelaki dalam lingkungan umur Haura.
"Saya Daniel, cik. Saya cari...Amsyar. Dia ada?" Daniel angkat kening.
"Amsyar tak ada. Dia ada latihan dekat Kuantan. Ada apa, ye?" Dari gaya, macam ada sesuatu yang penting hendak dikatakan.
"Oh, ye ke. Kalau macam tu...tak apalah. Dia baru kahwin, kan, cik?" Senyuman Daniel berubah sinis.
"Baru tak baru sangatlah, nak. Dekat dua bulan dah." Nasib baiklah dia berdiri agak jauh dari pagar. Gusar Puan Khadijah bila lihat cara lelaki tersebut yang sibuk menumpukan pandangan ke arah pintu rumah.
"Isteri dia, Haura...Haura Mikayla, ada?"
**
Haura bawa anak matanya pada bapa mentua. Bibirnya sudah membentuk senyuman simpul. Nak beritahu Amsyar, kena tunggu lewat malam. Lebih baik dia tunjuk pada abah dulu.
"Abah."
Encik Ilham yang turut mengunyah keropok ikan terus berpaling wajah.
Buku nota yang ada di tangan ditolak pada abah, tangannya menyelak helaian dalamnya. "Abah nak tengok buku resipi Haura tak? Cuba abah tengok ni."
"Banyaknya. Ini semua Haura dapat daripada mama ke?" Encik Ilham ambil buku resipi menantu, dibelek-belek tulisan tangan itu.
Berangguk-angguk kepala Haura. Wajahnya penuh bangga. Buku yang pada awalnya hanya berisi beberapa muku surat kini sudah separa penuh. Abahlah orang pertama yang lihat hasil buku resipinya.
"Haura dapat daripada mama Haura, Mek Jah dengan mama! Nanti abang Am nak makan apa-apa, bolehlah Haura tengok daripada buku ni. Abah nak makan apa-apa pun, Haura boleh masakkan! Cuma tak adalah sedap macam mama..."
Encik Ilham tersenyum lebar. Menantunya itu nampak bersungguh-sungguh betul berminat nak belajar memasak. Pantang isteri ke dapur, Haura pasti ikut sama. Kadang-kala rasanya si isteri dan menantu lebih banyak berbual dari memasak.
"Am ada minta Haura masak apa-apa ke?" soalnya.
"Tak pernah lagi! Abang Am cakap apa yang Haura masak, dia makan je. Tapi...mama Haura cakap jadi isteri ni senang dapat pahala. Masak untuk suami pun dapat pahala!"
"Perlahan-perlahan belajar, kan, Haura? Mama dulu pun waktu awal-awal kahwin dengan abah, tak pandai mana pun masak ni. Ini...abah tengok buku resipi Haura dah tebal ni. Satu hari bolehlah abah jadi tukang rasa," ujar Encik Ilham.
"Mestilah boleh!" usah kata abah, Haura sendiri tak sabar untuk cuba resipi yang ada dalam buku. Mungkin sebelum Amsyar balik, dia boleh praktis dulu salah satu hidangan.
Puan Khadijah masuk semula ke rumah, dia lihat suami dan menantu berborak. Erat genggaman tangannya pada surat yang diterima dari lelaki tadi.
"Apa tu, Jah?" Timbul persoalan dari Encik Ilham bila dipandang raut wajah si isteri.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
RomanceIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...