Perempuan, berilah masa berapa lama sekalipun, tetap tak akan pernah siap on time. Beg kecil berisi pakaian, barang-barangan yang perlu dibawa untuk mereka bermalam di rumah papa dan mama, kesemuanya sudah dimasukkan dalam bonet kereta. Naik ke bilik, Haura masih tercegat menghadap cermin. Agaknya kalau masuk pertandingan kawad, Haura lah anggota yang paling lama dapat berdiri tanpa rasa penat.
"Abang tunggu sekejap tau! Haura nak betulkan tudung."
"Dah cantik, sayang." Rasanya sepuluh kali betulkan pun, sama saja bentuknya tapi malas Amsyar nak tegur berlebihan. Sekejap lagi cebik pula budak ni.
"Tak cantik lagi ni! Sekejap je! Abang baring baringlah dulu."
Berdikit-dikit senyuman Amsyar melebar bila matanya terus menerus bertentangan dengan mata isteri melalui pantulan dari cermin. Daripada dia baring, lebih baik dia pandang si isteri. Esok lusa dah berjauhan semula. Sekejap saja masa berlalu.
Semalam, Haura dah tunjuk pakaian yang ingin dipakai. Hari ini, dia nampak pakaian tersebut lengkap dipergayakan dengan tudung. Wajah sang isteri pula lengkap bersolek. Mungkin sebab mereka jarang keluar berdua. Banyak luang masa menerusi telefon sahaja. Itu yang Haura bersemangat betul.
Puas hati juga dengan bentuk tudung, Haura berjalan ke arah suami. Dengan senyuman simpul di wajah, Haura pusingkan badan supaya Amsyar dapat melihat pakaian dia dalam 360 darjah. Lebar senyuman Amsyar, ulas bibirnya mendarat pada sisi kepala isteri. "Cantiknya awak, Haura Mikayla."
"Nanti abang jangan lupa tangkap gambar Haura tau!"
"Iye, sayang."
"Eee, Haura tak sabar sangat!"
Dah sampai dekat pintu rumah, baru sedar beg tangan dan kamera dia tertinggal dekat atas meja solek. Segera Haura melangkah naik semula ke bilik. Mengeluh Amsyar tapi tercicir juga tawa bila nampak si isteri terkocoh-kocoh memijak anak tangga.
"Slow, slow, sayang." Tangan disilang ke dada, badannya menyendeng pada pintu rumah. Anak mata memandang kawasan luar rumah. Kepalanya berpaling serta-merta bila dengan bunyi daun pintu tertutup. Baru mulut nak menyebut nama isteri, Amsyar nampak Puan Khadijah turun dengan baju kurung dan tudung bawal berwarna lembut.
"Ma, nak pergi mana?" soal Amsyar. Kata abah, mereka berdua tak ada cadangan nak keluar pun hari ni.
"Am teman mama pergi rumah kawan mama, boleh? Ada makan-makan." Permintaan Puan Khadijah kedengaran lebih berat pada suruhan. Dia sudah pun berdiri di bahagian pintu rumah untuk menyarung sandal.
"Ha? Ma, kan semalam Am dah cakap...Am nak bawa Haura ke rumah mama hari ni. Kalau mama minta tolong abah hantarkan, boleh?" jawab Amsyar. Dari awal lagi dia dah diberitahu abah dan mama tentang urusan dia dan isteri untuk hari ni. Mama langsung tak ada sebut tentang makan-makan. Hari ni, tiba-tiba pula nak mengajak.
"Mama bosanlah dengan abah. Lagipun, abah kamu tak ada. Dia keluar pergi makan dengan kawan. Ini, Am pun dah siap ni. Apa salahnya temankan mama. Bagilah mama merasa keluar dengan anak mama pula. Lama mama tak keluar dengan anak mama ni." desak Puan Khadijah, lengan anak tunggal diusap untuk memujuk.
Amsyar tarik nafas dalam, dihiraukan pandangan dari Puan Khadijah. "Tak apalah kalau macam tu. Kita tunggu Haura sekejap, boleh, ma? Pergi dengan Haura sekali. Nanti Am tinggalkan mama dekat rumah kawan mama. Mama dah nak balik, mama call abah. Minta tolong abah ambil mama dekat rumah kawan."
Puan Khadijah terus bercekak pinggang. Macam-macam alasan pula yang diberi. "Mama nak keluar berdua dengan kamu je, Am. Lagipun kawan mama buat makan-makan, tak akan kamu tak nak singgah sekali. Lama kawan mama tak tengok kamu."
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
RomanceIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...