Bangun sahaja dari tidur, Haura melangkah keluar ke bilik sir. Berselisih pula dengan kak Safiyah. Haura yang pada mulanya hanya menguncikan anak mata pada lantai, mengangkat pandangan jatuh pada anak mata Safiyah. Diharapkan pandangan penuh keji daripada Safiyah namun diberikan senyuman. Sesayu hati dia bila dipandang jijik, perih lagi bila diberikan senyuman. Nampak seolah dia memaksa orang lain untuk memakai topeng bila berhadapan dengannya hanya kerana dia duduk sebumbung. Lebih rela dia dipandang hina dari terpaksa hadap pandangan orang yang penuh rasa kesian, kesian pada wanita yang tiada maruah diri seperti dia.
Belum sempat dipaut Amsyar, tangan Haura dibawa ke dada dahulu. Kepala digeleng perlahan biarpun belum diajak. "Haura tak nak makan, abang pergilah makan.."
"Makanlah sikit. Sakit perut nanti."
"Tak nak. Abang pergilah. Haura nak baring." Ditolak bahu suami menghadap pada daun pintu. Tiada apa pun, birai mata basah semula. Muka kak Safiyah dan Aliah berlengkar dalam memori.
"Haura tak sihat ke?" Amsyar menyoal, belakang tapak tangan merayap pada dahi isteri. Tak panas pun. Dari petang tadi baring sahaja. Bangun pun hanya untuk mengerjakan solat. "Jom lah makan, sayang."
"Haura tak nak makan, abang faham tak!" Lengan baju diusap pada pipi. Tiada niat hendak meninggikan suara pada Amsyar. Dia cuma rasa tertekan, seakan tertindih berada satu rumah dengan ahli keluarga yang kini terpaksa berpura pura bodoh soal kisah silamnya.
"Okay, sayang. Okay. Tak nak makan tak apa. Haura baringlah. Lepas makan abang teman Haura, boleh?" Tangan mengusap lembut pipi isteri yang lembab dengan air mata.
Ditepis tangan Amsyar seraya menoleh ke sisi. "Abang tak payah teman Haura. Duduklah dekat luar dengan yang lain."
"Haura, kenapa ni?" Petang tadi boleh tersenyum lagi. Bukan dia minta Haura senyum. Dia faham situasi Haura. Tapi entah kenapa, dari petang, Haura hanya bermasam muka.
"Tak ada apa." Dipaksa lagi badan Amsyar berjalan mendekati daun pintu.
"Kenapa Haura macam ni? Abang ada silap cakap ke?"
"Haura penat, abang." Nampak keluhan Haura, Amsyar mengalah walaupun dia tahu, itu bukan jawapan yang jujur dari bibir.
"Haura rehatlah dulu. Nanti abang bawakan makanan."
"Tak payah. Nanti orang cakap Haura perempuan tak sedar diri. Haura tak nak makan. Abang jangan bawa makanan untuk Haura." Biarpun nada suara terselit kekerasan, mata masih laju mencurahkan air mata ke pipi.
Terdiam Amsyar. Dia cuba mendekati Haura namun setapak langkah diambil, setapak juga Haura ke belakang. "Haura rehat eh, sayang."
Biarpun tiada selera makan, terpaksa juga dia ke ruang makan supaya dapat meninggalkan Haura seorang diri. Ikut kan hati hendak sahaja dia paksa Haura luah apa yang dipendam namun enggan memaksa, lebih elok jika dia beri Haura masa bersendiri.
"Haura mana, Amsyar?" Soal Nek Ati. Katanya Amsyar, Haura suka makanan laut. Sempat dia masak lauk udang masak lemak buat Haura. Tak turun makan pula.
"Haura tak sihat, nek." Dikerling pada Encik Ilham dan Puan Khadijah.
"Tak sihat berisi ke, Am?" Nazrien mengusik.
Tersenyum Amsyar pada Safiyah dan Aliah. Dari tingkah laku Nazrien dan Fahmi, dia bersyukur kerana nampak terang sangat segala yang terjadi di dapur petang tadi tidak sampai ke telinga yang lain. Termasuk Puan Khadijah.
"Tak sihat sebab penat tolong nenek, Yien." Nasi disenduk sedikit pada pinggan nenek, sebelum bekas nasi dibawa pada Encik Ilham dan Puan Khadijah.
"Haura.." Puan Khadijah bersuara. "Haura tak sihat sangat ke, Amsyar?"
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
RomanceIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...