"Mama dengan abah dalam bilik kot..abang?" Sunyi saja bahagian rumah tamu, Haura palingkan wajah pada suami.
"Haura turun dulu." Telefon bimbit pada tangan dihulur pada Haura sebelum Amsyar berhenti depan daun pintu bilik orang tua. Sayup namun jelas kedengaran suara dari perbualan mama dan abah dek pintu yang dibiarkan terbuka sedikit.
"Saya rasa serba salah sebab saya, Amsyar dapat isteri macam tu. Sebab saya, anak saya memperisterikan perempuan sundal!"
Tersentak saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Puan Khadijah. Wanita yang melahirkan, menyusukan, membesarkan dia memanggil isteri dia sendiri dengan gelaran tersebut. Tidak pernah sekali terdetik panggilan itu akan keluar dari mulut sesiapa pun, apatah lagi dari mulut mama. Sempat Amsyar berpaling ke arah tangga, takut andai Haura terdengar apa yang dikatakan. Syukur bila sang isteri akur dengan arahan dia untuk tunggu di bawah.
Selangkah kakinya masuk ke bilik, Amsyar nampak Encik Ilham berdiri bercekak pinggang. Puan Khadijah duduk pada birai katil, teresak esak wanita itu menangis. Tanpa sebarang kata, dia terus menyusun langkah. Lututnya menyembah tanah di hadapan syurganya sendiri. Tangan Puan Khadijah diraih. Dalam hati, dia berdoa untuk Allah lembutkan hati wanita di depannya sekarang, untuk terima setiap kata yang telah disusun dalam kepala dengan hati yang terbuka.
"Bagi Am cakap dulu, ma. Dengar dulu apa Am nak cakap." Dia telan liur. "Kalau mama tak boleh hormat Haura sebagai menantu mama, Am minta mama hormat dia sebagai isteri Am, anak mama sendiri. Jangan panggil dia dengan gelaran tu, ma. Benda dah lepas, Am—"
Pang!
Pedih rasanya bila ditampar kuat. Bukan tak pernah rasa, sewaktu dia prajurit dulu banyak kali muka menjadi mangsa. Tapi sakit yang dirasai sekarang lebih perit.
Lebih kepada tersirat.
"Jah—" Encik Ilham cuba meleraikan keadaan. Tak pernah-pernah isteri angkat tangan pada anak tunggal.
"Kamu tahu, Amsyar? Kamu tahu dari awal? Kalau kamu tahu, kenapa kamu buat keputusan nak kahwin dengan dia?!" Tangan Puan Khadijah membalut kolar kemeja-t Amsyar, direntap kasar seakan melepaskan geram. Tak pernah terbayang Amsyar akan khianati dia. Semuanya sebab perempuan tu.
"Banyak kali, Amsyar. Banyak kali mama ingatkan kamu...mama tak nak perempuan yang buruk kisah silamnya dengan anak mama! Kenapa?! Kenapa Am buat mama macam ni!"
"Am sayangkan Haura, ma.. itu sahaja alasan kenapa Am buat keputusan untuk kahwin dengan Haura. Am sayangkan dia... Demi Allah, Am betul-betul sayangkan Haura." Pandangan Amsyar kekal merunduk. Bukan kerana tidak sudi bertentangan mata dengan Puan Khadijah. Tapi kerana dia tak sanggup untuk lihat kebencian pada air muka Puan Khadijah saat dia sedang menyebut nama Haura.
"Mama ni, Am!" Puan Khadijah menampar lengan Amsyar sekuat hati. Bertubi tubi pukulan yang diberi, Amsyar hanya tertunduk diam, memberi ruang pada Puan Khadijah untuk menghembur segala rasa amarah. Herdiklah, tengkinglah sampai puas. Jika mama mula menuduh, memanggil Haura dengan gelaran kasar, barulah dia akan bersuara.
"Perempuan tu paksa kamu untuk kahwin dengan dia sebab nak selamatkan diri dia daripada Dato'?"
Menggeleng Amsyar. "Am yang buat keputusan nak kahwin dengan Haura."
"Perempuan sundal—"
"Perempuan tu ada nama, ma. Nama dia Haura. Haura, isteri Am. Mama tolong hormat dia." pintasnya terus.
"Hormat?! Eh, dia pun tak reti jaga kehormatan diri dia. Mama yang besarkan kamu selama ni, Amsyar! Mama yang bagi kamu makan minum! Bila besar, Amsyar ketepikan perasaan mama! Apa yang perempuan tu buat pada kamu?!" Jari telunjuk ditunjal pada bahu Amsyar berkali-kali. "Mama syurga Am! Syurga kamu, Amsyar Dizhwar! Am dah lupa ke?!"
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
RomanceIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...