Part 26 (edited)

83.6K 3.7K 764
                                    

"Jah, kami datang ni, ingat nak tengok menantu kau. Maklumlah, hari tu tak sempat datang majlis. Dengar cerita, cantik sungguh. Baik pula orangnya. Mana dianya?" Kepala Puan Maria menoleh ke arah dapur, kot kot lah menantu datang bawakan air.

"Itulah. Aku dengar juga si Yang cakap menantu kau cantik. Pandai Amsyar pilih." selit Puan Midah.

"Tah payah dicarilah. Menyesal aku jadikan menantu. Kamu berdua kalau nak pilih menantu esok, eloklah soal selidik sampai ke akar. Jangan ingat dia datang daripada keluarga elok, elok masa lampaunya." Puan Khadijah mencebik bibir.

"Kenapa, Jah? Indah khabar dari rupa ke?" Teka Puan Maria. Dia angkat kening pada rakan yang lain. Macam ada cerita hangat.

"Dah kena tebuk. Kau rasa?" Puas bagi Puan Khadijah bila dia dapat luah perkara yang disorokkan pada yang lain. "Tapi kau janganlah bagitahu orang lain, ye?"

"Jah! Sini kejap." Encik Ilham meninggikan suara dari arah ruang makan. Dari tadi dia pasang telinga perbualan isteri. Sampai satu tahap, dia terpaksa masuk campur.

"Apa masalah awak ni, ha? Sampai perlu canang aib menantu awak sana sini?!" Tinggi suara Encik Ilham tanpa hiraukan tetamu di ruang tamu.

"Habis tu? Abang nak saya pura-pura macam Haura tu baik?"

"Oh, Haura tak baik. Awak ni baik ke? Awak suruh kawan-kawan awak balik sebelum saya sendiri yang halau." Jari ditekan pada dahi yang menggelembur. Puan Khadijah masih tidak berganjak. "Saya cakap suruh diaorang balik, Jah. Sekarang! Sekali lagi saya dengar awak cakap buruk pasal Haura, saya beritahu Amsyar. Saya tak kira. Dia berhak tahu perangai mak dia macam mana. Saya tak faham dengan awak ni, Jah.. kalau Amsyar tahu, tak ke sedih anak kita tu bila awak buat dekat isteri dia macam ni..."

**

Tersedar Amsyar dari tidurnya yang lena pada sepertiga malam. Tersentak bagaikan ada yang menarik rohnya pulang ke badan. Kepala menoleh pada isteri yang masih nyenyak dalam dakapan. Entah kenapa, suka betul Haura dengan lengan dia. Bantal yang sudah cukup empuk ada, hendak juga menyendeng. Merungut tapi dalam hati sebenarnya suka. Betullah kata mama, orang lelaki memang suka dengan sikap manja perempuan ni. Lagikan pula isteri sendiri.

Hati terus memasang niat untuk mengerjakan solat tahajjud. Mungkin dia terjaga dari mimpi merupakan panggilan dariNya untuk tunduk sujud padaNya. Seakan Dia tahu betapa beratnya hati dia sekarang. Perlahan kepala Haura diubah pada bantal sebelum Amsyar bangun mengambil air wudhu. Selesai dua rakaat, dia pasang sila di atas sejadah. Termenung. Perkataan mama kembali terngiang- dalam kepala. Ya Allah, beratnya dugaan dia. Andai dia boleh belah diri ini. Sudah lama dibelah. Satu diberikan sepenuh tanggungjawab sebagai seorang anak, satu lagi diberi tanggungjawab sebagai suami.

Dua tapak tangan diangkat, mengingatkan diri bahawa dia hanyalah seorang hamba di muka bumi ini.

"Ya Allah, andai ada hati yang memandang isteriku dengan kebencian, Kau lembutkanlah hatinya. Andai ada yang terluka kerana aku, Ya Allah, Kau sembuhkan sakitnya. Andai ada hati yang berniat untuk menyakiti isteriku, Kau hindarilah.

Aku mohon, Kau perlihatkanlah kebaikan isteriku. Andai ada hati yang memperlihatnya dengan keburukan..aku tak mampu mengubati hati manusia kerana sesungguhnya hatiku dan hati mereka milikMu sepenuhnya."

Haura herengkan badan, menggagau lengan pada ruang kosong di sebelah. Badan diubah pula pada posisi duduk, anak mata memandang ke arah ruang solat. Dia nampak Amsyar sedang duduk di atas sejadah, termenung seakan memikirkan sesuatu. Tangannya menggosok mata bagi menghilangkan sisa rasa mengantuk sebelum melangkah perlahan ke arah suami.

"Abang? Kenapa tak kejut Haura. Kalau tak boleh tahajjud sama-sama..." Kaki dibawah bersimpuh, kepala Haura disandarkan pada lengan Amsyar. Serta merta, tangan lelaki itu naik mengusap kepala isteri.

Peluang Kedua Buatku | ᥴWhere stories live. Discover now