Pejam celik, habis dah cuti. Jam Rolex Daytona membalut kemas pergelangan tangan kiri. Duffel bag kecil dimasukkan ke dalam bonet kereta. Amsyar toleh pada Haura, kecil tawa yang tercicir dari bibir. Macam biasa, belum apa-apa lagi birai mata isteri dah basah.
"Jaga diri, sayang. Lagi tiga minggu abang balik." Jari telunjuk menolak lembut dagu isteri, kening Haura dikucup.
"Abang jangan tinggal Haura lama-lama tau! Kalau tak, Haura sendiri yang pergi Penang! Haura terbang guna kereta Haura." Jari kelingking diangkat paras wajah.
"Genap tiga minggu abang terpacak depan pintu rumah. Insha Allah. Apa-apa Haura bagitahu abang. Jangan simpan." Amsyar kunci jari kelingking dia bersama jari si isteri sebelum dibawa rapat ke bibir untuk dikucup.
"Haura...mungkin nak pergi buat report polis minggu ni. Lepas buat report, Haura nak jumpa dengan peguam... nak bincang pasal kes gambar Haura yang tersebar."
Berkerut kening Amsyar. Berhari-hari dia dekat rumah, Haura tak ada cakap apa-apa pun tentang hal ini.
"Haura tak cakap dengan abang pun? Bila Haura buat keputusan ni? Kenapa baru sekarang nak beritahu abang, sayang?"
"Haura tak nak abang risau. Haura...nak handle benda ni sendiri. Haura yang cari penyakit, Haura yang bawa masalah ajdi Haura yang kena usaha untuk selesaikan semua ini. Haura tak nak hidup dalam ketakutan, diugut sana sini, hidup macam lembu kena cucuk hidang. Haura beritahu abang, bukan sebab Haura nak abang risau. Haura okey! Haura beritahu abang sebab abang berhak tahu. Lagipun, Haura nak jumpa peguam, nak pergi balai polis, Haura perlukan izin abang. Abang izinkan Haura, boleh?"
Amsyar kecilkan mata. Pandangan tajam dari lelaki itu dibalas dengan senyuman. Haura bawa lengan ke belakang badan, tangannya dicantum. Tercuit hati Amsyar lihat si isteri cuba memujuk.
Pipi mulut Haura dicubit. "Abang izinkan."
"Thank you, abang!"
"Tapi ingat, apa-apa, tolong beritahu abang. Keep me updated, okay?"
"Okey! Haura janji! Haura pergi report polis hari selasa, Haura ada temu janji dengan peguam hari Rabu."
**
Singgah sebentar ke rumah keluarga, Amsyar nampak Encik Ilham dan Puan Khadijah duduk di ruang tamu. Suasana di rumah sendiri lebih sejuk berbanding rumah keluarga isteri. Amsyar masuk, wajahnya dipasang dengan senyuman kecil."Assalamualaikum," sapa Amsyar, tangan orang tua dikucup.
"Haura mana, Am? Duduk sana?" Tertumpu pandangan Encik Ilham pada pintu.
"Haah. Haura tinggal dekat rumah mama tiga minggu ni, bah."
"Dah kenapa tiba-tiba nak lari ke rumah Datin. Adalah nak mengadu tu. Nak cakap mama dera dia ke? Mama ni, angkat tangan pun tak pernah," perli Puan Khadijah.
"Tak adalah, mama. Am yang suruh Haura duduk sana. Dia tak habis lepas rindu lagi tu. Am naik atas dulu, nak ambil barang sikit." Badan ditundukkan sedikit saat dia berjalan melepasi orang tua.
"Kamu bertolak bila, Amsyar?"
"Am dah nak gerak dah ni, bah. Lepas ambil barang ni Am...gerak terus. Tak nak sampai lewat sangat."
"Awak nampak? Amsyar duduk sekejap pun tidak. Awak buat lagi perangai tak semenggah awak tu, esok lusa Amsyar tak balik rumah ni, awak jangan menyesal pula." Perlahan suara Encik Ilham menegur. Amsyar balik, tak sempat nak duduk sebentar. Terkejar-kejar nak keluar dari rumah. Semuanya sebab mulut isteri.
Puan Khadijah mengerling tajam.
Duffel bag kecil semakin lama semakin penuh terisi dengan helaian baju yang dilipat. Pakaian dia di kuarters bujang masih penuh. Hanya hendak ditambah beberapa helai lagi. Sedang dia sibuk menyusun baju, telefon Amsyar berdering. Tersenyum lebar saat matanya membaca nama pada skrin telefon.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
RomanceIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...