Naik bau masakan kampung ke rongga hidung. Terliur Haura, meleret senyuman dia bila hasil air tangan dia dan Mek Jah dari pagi. Bekalan ini akan dibawa Haura ke rumah menantu untuk makan tengahari di sana.
"Hm, sedapnya bau!" ujar Haura.
"Sedaplah dah Haura yang masak. Haura nak makan sikit ke?"
Datin Suhaila usap kepala anak. "Makanlah sikit dekat sini. Sekejap lagi adik pergi rumah sana, makan pula dengan Puan Dijah."
"Eh, tak apalah, mama. Nanti Haura kenyang pula. Haura terus makan dekat sanalah. Haura nak naik ni, nak siap sekejap!" Laju Haura susun langkah memijak anak tangga. Sampai separa, dia turun semula ke meja makan. Bekas berisi lauk disusun serba serbi.
"Ini kenapa pula ni?" Terkelip-kelip Mek Jah.
"Haura nak hantar gambar dekat Amsyar! Haura kan dah kahwin, kenalah beritahu suami! Ha!" Haura menyiku lembut lengan Mek Jah, geliang-geliut badan dia menahan malu. Sendiri yang cakap, sendiri juga yang merah muka.
"Amboi, amboi, anak mama ni! Piat sikit telinga ni." Datin Suhaila tarik cuping telinga anak sambil mengekek.
"Haura sepatutnya berterima kasih dekat Mek Jah tau. Mek Jah yang banyak tolong." Semakin besar tawa yang lain bila Mek Jah bersuara.
"Nasib baik Mek Jah ingat dekat Haura kalau tidak, Amsyar kahwin dengan Mek Jah lah jawabnya. Haura pemalu sangat."
"Ish, tak boleh. Mana boleh. Amsyar Haura punya! Mek Jah Haura punya, mama pun Haura punya." bantah Haura, masih lagi sibuk ketawa. "Haura pergi siap tau!"
Kali ini, dia pastikan gambar lauk-pauk tadi sampai pada Amsyar sebelum dia letak telefon atas katil. Nak tunggu mesej dia dibalas, malam nanti baru dia dapat bercakap dengan Amsyar. Dia berdiri menghadap cermin, tangannya memegang perut yang berkeroncong. Berdebar pula rasanya nak balik rumah Amsyar.
"Tak ada apalah, Haura. Tak baik buruk sangka dekat orang." Gumamnya, kecil senyuman di wajah.
Tok! Tok!
"Adik." Berbisik suara Hawwas dari bahagian luar bilik.
"Masuklah! Haura tak kunci pintu!"
Tombol pintu dipulas, Hawwas jengah masuk. Sesekali lelaki itu akan menoleh ke arah tangga. Risau jika ada ahli keluarga yang naik. "Adik. Dah pergi jumpa lawyer?"
"Oh, belum. Haura kena masuk ofis hari tu, postpone minggu depan. Kenapa?"
"Keputusan polis?"
"Belum lagi. Kena tunggu empat belas hari bekerja, baru Haura dapat perkembangan siasatan." Lihat tampang muka Hawwas yang berkerut itu, Haura ketawa kecil. "Abang janganlah risau sangat."
"Tak risau pun. Tanya je. Nanti beritahu bila Haura nak pergi jumpa peguam. Balik rumah Am elok-elok. Dah sampai beritahu Am. Beritahu abang juga. Haura tidur sana?"
"Tak kot, abang. Petang Haura balik sini. Haura makan tengahari je dekat sana." Dari pantulan cermin, Haura pintu biliknya tertutup rapat. Dia sambung membelek tudung-tudung yang ada dalam almari.
**
Masuk sahaja ke perkarangan rumah mentua, Haura nampak kereta Myvi berwarna putih. Dalam hati terdetik mungkin rakan Puan Khadijah datang melawat agaknya. Seperti yang diberitahu Amsyar beberapa hari lepas.
Gear tangan dinaikkan, Haura turun dari perut kereta. Mangkuk tingkat yang dibawa dari rumah tadi juga turut diambil. Meleret senyuman di wajah. Tak sabar nak bagi Puan Khadijah rasa.
"Assalamualaikum.."
Kaki melangkah ke dalam rumah, Haura nampak Puan Khadijah sedang berbual mesra dengan seorang wanita. Lama Haura tak nampak Puan Khadijah senyum, bergelak tawa sebegitu. Salam dia diucap langsung tidak dihiraukan yang lain, Haura susun pula derapan terus ke meja makan.
YOU ARE READING
Peluang Kedua Buatku | ᥴ
RomanceIn editing process! Meskipun dibesarkan dalam keluarga yang dihormati, Haura Mikayla tidak pernah diajar oleh Dato' Azham dan Datin Suhaila mengenai kehidupan. Haura dibiarkan terkontang kanting di dalam masyarakat, dibiarkan sendiri mencari tujuan...