QASTURY duduk bersimpuh di atas kusyen yang disediakan untuknya. Nafas ditarik panjang sambil memegang kemas bunga di tangan. Lafaz bismillah dan segala doa penenang hati dibaca perlahan.
Dia menunggu ketibaan Rayza yang entah tidak muncul daripada tadi. Dadanya berdebar kencang. Risau jika majlis ini terganggu atau sebaliknya.
Sedar akan kegugupannya, Mak Lila mengusap lengan Qastury. Gadis itu amat cantik dan jelita mengenakan busana pengantin berwarna putih dan solekan yang tipis namun masih ada serinya.
“Insya Allah dia datang” dia memujuk. Qastury tersenyum kecil dan mengangguk. Telefon diminta seketika. Waktu kini jam sudah menginjak pukul 10.10 minit pagi. Sudah 10 minit berlalu namun batang hidung Rayza tidak kelihatan. Dia menaip pesanan mesej buat lelaki itu.
'Ray... you kat mana? Jangan buat perangai you nak rosakkan hari kita... ʼ pesanan dihantar dengan satu keluhan.
“Puteri... Rayza mana?” Mak Long Naziha datang dan duduk di sampingnya. Dia berwajah risau dan agak sedikit marah saat ini. Qastury tersenyum kecil.
“Jangan buat perangai, Puteri... pak long tak akan biarkan Puteri nanti...” kata Mak Long Naziha beringat. Qastury mengeluh kecil. Dia memandang pak long yang sudah duduk di sisi juru nikah. Pandangannya tajam sekali saat ini.
Sebaik itu dia memandang keluarga Encik Roshdi yang sedang melangkah masuk ke dalam masjid.
- RAEES QASTURY -
Raees terbatuk-batuk kecil. Pantas dia meneguk sebotol air yang diletakkan di sisi katilnya. Nafas ditarik bila terasakan dadanya sesak saat ini.
“Allah...” badannya lemah kerana dia diserang demam panas daripada semalam. Kepalanya sakit berdenyut dan dia tiada kudrat untuk bergerak sekalipun.
Ubat ditelan secara paksa. Badan disandar pada kepala katil bujangnya. Wajahnya pucat lesi tidak berdarah. Air mata menahan sakit mula keluar dari tubir matanya.
Dia terpandangkan surat yang terletak kemas di sisi mejanya. Dengan lemahnya dia mengambil surat tersebut. Dibaca isi kandungannya semula untuk kali yang kelima.
Asalamualaikum WBT.
Buat Ustaz Arjuna Raees. Saya harap ustaz sihat dan dibawah lindungan Allah SWT. Maaf kerana seolah menjauh daripada diri ustaz. Ustaz jangan risau, saya dan kandungan saya sihat walafiat di sini.
Ustaz... pertama kali saya mahu minta maaf pada ustaz. Segala kata dan salah silap saya pada ustaz sepanjang ustaz mengenali seorang Puteri Nur Qastury selama ini. Terima kasih sudi mencurah ilmu dan didikan ketika saya menetap tinggal di Qudratul Hasanah. Terima kasih sudi merelakan bilik milik ustaz itu untuk diri saya tinggal selama sebulan. Saya hargai sangat...
Ustaz... saya tahu mungkin semasa ustaz baca surat ni ustaz dah tau satu khabar tentang saya bakal menikah. Ye, saya akan bernikah dengan lelaki yang saya cintai dahulu. Lelaki yang berjanji pada saya mahu bertanggungjawab atas diri saya dan anak. Saya tidak tahu apa perasaan ustaz saat tahu akan khabar tu tapi saya harap ustaz terima dan doakan kebahagiaan saya ye?
Ustaz... cinta yang dirasakan sama kini telah habis di sini. Mungkin ini bukan jodoh buat kita. Saya harap ustaz terima dengan redha ye? Saya hargai cinta dan kasih sayang ustaz buat saya. Namun... sudah tertulis ini takdirnya. Saya doakan ustaz bertemu dengan seorang zaujah yang layak dan mampu mencintai ustaz keranaNya. Saya tidak mampu, ustaz... Terima kasih kerana melangitkan nama saya dan bersungguh memohon kepada Allah agar saya menjadi lauhul mahfuz ustaz.
Terima kasih kerana mendoakan saya. Terima kasih buat segalanya.Sepertinya Qastury bukan buat Arjuna di sana. Terima kasih kerana memberi cintanya. Moga ustaz bahagia di dunia dan akhirat.
Jaga diri awak khalifah dambaan syurga...
- Nur Qastury
Raees tersenyum hambar. Dia mendongak memandang ke siling. Sudah banyak kali dia membaca surat yang sama namun kesannya masih tidak berkurang. Dia sangkakan dia akan lali dengan rasa sakit itu.
Malah terasakan lebih sakit.
Dia memandang ruangan bilik yang pernah menjadi ruangan buat Qastury beradu. Usai gadis itu pergi, dia terus memindah masuk ke dalam bilik itu semula.
Pada hari ini adalah hari dimana Qastury bakal menjadi seorang isteri kepada seseorang. Dia sekeluarga dijemput namun kebetulan dia tidak sihat pada hari yang sama. Semua ahli keluarganya pergi ke majlis akad nikah itu pada hari ini kecuali dirinya.
Kalau dia dijemput sekalipun, dia tidak akan pergi. Hatinya tidak kuat andai melihat Qastury berbahagia bersama orang lain yang bukan dirinya.
Dia mendoakan sahaja kebahagiaan gadis itu di dunia mahupun di akhirat.
- RAEES QASTURY -
Kegelisahannya mula terubat sebaik Rayza muncul di majlis. Dia menghembus nafas lega. Lelaki itu menyalami semua yang ada di situ dan memohon maaf kepada Pak Long Izham. Lelaki itu memandang Rayza dengan pandangan bermakna saat ini.
“Maafkan saya. Ada accident masa nak datang ke sini. Itu yang saya lambat” kata Rayza. Qastury di belakang dipandang dengan senyuman. Jelas gelisahnya pada wajah gadis itu.
“Tak apa. Boleh mula?” Rayza mengangguk. Dia menarik nafas lalu dihembus. Mengambil masa 10 minit untuk menyemak semula segala borang dan sebaliknya bagi kedua-dua pengantin.
Wajah Puan Rohaya sekeluarga memandang bersahaja pengantin lelaki. Mereka yakin inilah lelaki yang merupakan ayah kepada anak di dalam kandungan Qastury kini.
Nak dimarah bagi pihak arwah Encik Qudsi dan Puan Intan sudah tidak bermakna apa-apa lagi. Rasa bersyukur kerana lelaki itu mahu juga bertanggungjawab atas segala silapnya.
Akad nikah sudah dimulakan. Rayza berjabat tangan bersama dengan Pak Long Izham untuk melafazkan ijab dan qabulnya. Qastury di belakang berdebar mendengar.
“Rayza Mukramin bin Ridhuan Malek”
“Saya” jawab Rayza.
“Aku nikahkan dikau akan anak saudaraku, Puteri Nur Qastury binti Mohd Al-Qudsi dengan mas kahwinnya 1000 ringgit tunai”
“Aku terima nikahnya Puteri Nur Qastury binti Mohd Al-Qudsi dengan mas kahwinnya 1000 ringgit tunai” ucap Rayza lancar. Pak Long Izham bertanyakan pada kedua orang saksi yang berada di sisinya.
“Sah!” ucapnya. Senyuman Rayza terukir. Mereka segera menadah tangan mengaminkan doa yang dibaca oleh juru nikah di sisi Pak Long Izham.
Senyuman Qastury terukir. Air matanya mengalir daripada tubir mata. Dia menangis kerana statusnya kini sudah berubah dan ada tanggungjawab yang bakal dia galas sepenuhnya selepas ini.
Semoga perkahwinan ini diredhai oleh Allah SWT.
- RAEES QASTURY -
“D... demam?” dia sedikit terkejut. Riya mengangguk sebaik dia berdua bersama gadis itu ketika suaminya asyik melayani tetamu. Mereka sekadar membuat majlis sanding secara kebiasaan sahaja.
“Dah dua hari abang demam. Teruk juga” kata Riya lagi. Qastury menghela nafas kecil. Dia sangkakan lelaki itu terasa hati padanya dan tidak mahu datang ke majlis.
“Dia tak ada apakan lepas akak hantar kad jemputan bagitahu akak nak kahwin?” dia bertanya risau. Riya tersenyum.
“Dia okay je. Biasalah sakit tu ada tapi nak tak nak kena redha juga. Akak jangan risaulah. Riya kenal abang tu macam mana” kata Riya. Dia memegang tangab Qastury dengan senyuman manis.
“Tahniah akak! Moga jadi isteri yang baik buat suami dan ibu yang baik buat anak akak” kata Riya. Dia segera memeluk Qastury. Gadis itu tersenyum membalas pelukannya.
Riya menghela nafas kecil memeluk gadis itu. Dia agak berasa sedih kerana bukan Qastury yang akan membahagiakan abangnya. Bukan gadis itu juga yang menjadi sebahagian ahli keluarganya secara mutlak.
YOU ARE READING
BIAR WAKTU MENENTUKAN KITA
Romance06| BIAR WAKTU MENENTUKAN KITA MUHAMMAD ARJUNA RAEES | PUTERI NUR QASTURY "sabar yang terbaik akan datang pada hujung waktu jadinya jangan terkejar" Hidup kucar-kacir kerana tidak meletakkan Tuhan itu satu-satunya yang pertama dalam hidup. Begitul...