DIA menunduk menekur selimut yang menutup separa tubuhnya dengan air mata yang mengalir. Bibir dikemam dan air mata diseka perlahan.
"Jadi masih nak dengan Ray?" tanya Mak Lila usai tahu cerita sebenar tentang perkara yang terjadi.
"Tak nak..." Qastury menjawab. Dia mula mengigil sebaik teringatkan suaminya yang tidak sedarkan diri semalam. Segar lagi di dalam ingatan akan darah segar yang mengalir keluar dari tepi kepala lelaki itu.
Entah masih bernyawa atau tidak lelaki itu dia sendiri tidak tahu.
"Mak Lila... Ray hidup lagi kan? Huh? Puteri tak bunuh dia kan?" Mak Lila menghela nafas kecil. Dia mengenggam kedua tangan Qastury yang mengigil ketakutan.
"Mak Lila dah suruh Hamdan pergi rumah Puteri. Insya Allah, Rayza tak apa-apa" kata Mak Lila memujuk. Dia faham akan apa yang ditakuti Qastury.
Gadis itu risau jika dia membunuh Rayza dengan tangannya sendiri.
"Cuma sekarang Mak Lila nak keputusan daripada Puteri. Nak buat report polis?" pantas Qastury menggeleng.
"Dia tu ayah anak Puteri"
"Binatang macam tu tak layak panggil ayah, Puteri..." pintas Mak Lila bila melayankan kedegilan Qastury. Anak muda ini terlalu baik. Tersangatlah baik.
Umairah sekadar mendengar sahaja sambil berdiri di sisi katil. Dia menghela nafas kecil sebelum mengusap bahu gadis itu.
"Tak apalah... kita kena faham Puteri, Mak Lila. Sekarang ni, awak kena rehat. Jaga diri awak baik-baik. Jangan risau, lelaki tu tak akan jumpa awak kat sini" kata Umairah. Qastury tersenyum memandang gadis yang baru sahaja dia kenali itu.
"Terima kasih" kata Qastury. Dia memandang wajah Mak Lila yang kesal akan keputusannya. Dia memegang tangan wanita itu dan diusap kecil.
"Mak Lila boleh bawa Puteri pergi Qudratul Hasanah?" tanya Qastury dengan satu permintaan.
"Puteri nak jumpa umi?" pantas Qastury mengangguk. Wanita itu mengiyakan akan permintaan itu.
Jika tempat itu selamat buat gadis ini, dia akan turuti sahaja. Lagipun Qastury sudah semakin membaik. Cuma wajahnya yang lebam dan luka sana-sini tidak dapat ditutupi.
"Insya Allah. Nanti Mak Lila bawa"
"Saya boleh temankan" kata Umairah. Qastury tersenyum dan memegang lengan Umairah.
"Terima kasih, Umairah" gadis itu mengangguk dengan senyuman.
Telefon milik Mak Lila segera berdering. Pantas wanita itu bangun dan bergerak jauh sebaik melihatkan nombor Encik Hamdan yang tertera. Qastury dan Umairah sekadar memandang sahaja.
Panggilan dijawab sebaik dia keluar dari bilik Qastury. Nafas ditarik dan dihembus perlahan mahu tahu khabar Rayza saat ini.
"Ye Hamdan? Macam mana Rayza?" tanya Mak Lila inginkan kepastian. Sejujurnya dia risau juga akan keadaan suami Qastury itu. Entah hidup atau mati.
"Saya dah bawa dia pergi hospital. Kepala dia luka sebab hentakan pasu Puteri tu. Keadaan dia lemah sekarang tapi kita doakan Rayza ni sihat" kata Encik Hamdan yang kini berada di hospital menunggu di luar bilik pembedahan.
"Rasanya kuat ke Puteri hentak kepala Rayza tu?" tanya Mak Lila berdebar.
"Saya rasa kuat. Teruk juga lukanya. Tapi nak buat macam mana, Puteri pun ada hak nak selamatkan diri. Macam mana Puteri?" tanya Encik Hamdan.
"Alhamdulillah dia okay. Kejap lagi kalau tak ada apa nak bawa Puteri ke Qudratul Hasanah. Nanti kamu bawakan barang peribadi dan barang penting Puteri ye?"
YOU ARE READING
BIAR WAKTU MENENTUKAN KITA
Romance06| BIAR WAKTU MENENTUKAN KITA MUHAMMAD ARJUNA RAEES | PUTERI NUR QASTURY "sabar yang terbaik akan datang pada hujung waktu jadinya jangan terkejar" Hidup kucar-kacir kerana tidak meletakkan Tuhan itu satu-satunya yang pertama dalam hidup. Begitul...