BAB 38

257 27 1
                                    

NOTE: Nahh double update untuk korang. Belum tiba masanya Megat Fitri tahu penyakit Melina hehe. Biarkan dia tertanya-tanya dulu. Once dia dah tahu, jadi lain pula jalan ceritanya hahaha. Happy reading semua.

Jangan lupa VOTE dan KOMEN naa

***


SETIBANYA di rumah milik keluarga Megat Fitri, Puan Sri Farah menerpa ke arah menantunya yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah. Dia membelek tubuh Melina sebelum mendakap erat satu-satunya menantu perempuannya. Syukur Alhamdulillah yang menantunya tiada apa-apa walaupun wajah Melina pucat.

"Mel okeykan?" soal Puan Sri Farah risau.

Sejak dari semalam lagi dia tidak senang duduk apabila Megat Fitri mengkhabarkan padanya yang Melina masuk hospital di Melaka. Jika diikutkan hatinya, memang dia mahu ke sana tetapi memandangkan anaknya memberitahu yang Melina tiada apa-apa, dia tunggu di rumah. Tambahan pula, suaminya tiada di rumah dan dia tidak berani hendak memandu jauh sejak umur meningkat.

"Ya. Mel tak apa-apa ibu. Maaf, buat ibu risau."

Hampir saja air mata Melina ingin menitis apabila melihat betapa risaunya ibu mentuanya. Terubat hatinya sedikit dengan layanan ibu mentuanya walaupun Megat Fitri memarahinya sepanjang perjalanan tadi.

"Jomlah kita naik berehat di atas," celah Megat Fitri yang dari tadi memerhati gelagat ibunya dan isterinya. Ya, ibunya sangat menyayangi Melina.

Macam mana dia hendak melepaskan wanita itu nanti? Sudah bersediakah dia untuk melepaskan Melina?

Dia tiada jawapan untuk soalan itu.

"Tak mengapalah. Saya nak duduk di sofa sekejap." Melina melangkah meninggalkan Megat Fitri dan Puan Sri Farah dan membawa langkahnya mendekati sofa.

Puan Sri Farah memandang Megat Fitri dan Melina silih berganti. Bukan dia tidak nampak betapa keruhnya wajah Melina tetapi dia tidak mahu bertanya apa-apa soalan memandangkan menantunya tidak berapa sihat. Lalu langkah dibawa mendekati Melina.

Manakala Megat Fitri membuat keputusan untuk melangkah ke tingkat atas memandangkan badannya sudah melekit. Ingin membersihkan diri dan menunaikan solat Maghrib yang sudah masuk waktunya.

"Mel lupa makan ubat lagi ya?" bisik Puan Sri Farah di tepi telinga Melina. Bimbang jika anak lelakinya terdengar walaupun dia tahu Megat Fitri sudah berlalu ke atas.

"Mel terlewat makan ubat petang semalam sebab ikut abang pergi site." Balas Melina dalam bisikan. Walaupun Megat Fitri tidak sukakan dia tetapi di depan Puan Sri Farah, dia tetap memanggil Megat Fitri abang. Tidak mahu ibu mentuanya mengesyaki apa-apa.

"Lain kali jangan buat ibu risau ya." Pesan Puan Sri Farah. Sudah boleh menarik nafas lega apabila Melina sudah berada di depan matanya.

"Insya-Allah. Ibu janganlah risau. Mel tak ada apa-apa pun," balas Melina sambil menggosok tangan ibu mentuanya. Terharu dengan perhatian yang diberikan oleh Puan Sri Farah terhadapnya. Walaupun dia cuma menantu di rumah ini tetapi Puan Sri Farah tetap melayannya sama seperti anak sendiri.

"Mel pergilah naik atas. Berehat. Dah masuk waktu maghrib ni." Suruh Puan Sri Farah apabila si menantu tiada tanda-tanda hendak bangun dari sofa.

"Mel nak berehat di sini sekejap. Lagipun Mel tak boleh solat." Sengih Melina malu-malu. Walaupun sesama wanita, dia malu hendak berbicara tentang perkara tersebut.

"Oh, yalah. Ibu naik dulu. Nak pergi solat maghrib. Jangan lama-lama sangat kat bawah ni. Mel tu tak sihat, patutnya kena naik berehat dalam bilik. Kalau nak tidur pun boleh." Pesan Puan Sri Farah sebelum naik ke tingkat atas. Meninggalkan Melinda sendirian yang sedang termenung di ruang tamu.

HURT SERIES 4 : KERANA TERPAKSAWhere stories live. Discover now