BAB 35 🦋

2.6K 384 32
                                    

"Farhan sedar tak apa hubungan Farhan dengan Hurin sekarang?" Soal Dato' T. Amirsyah selepas menyisip air teh yang dihidang di atas meja.

"Tahu papa." Tengku Farhan hanya menunduk sahaja. Dia sedar dengan silapnya.

"Kamu dengan Hurin bukan lagi suami isteri, Farhan. Berdosa bila kamu bawa Hurin untuk duduk satu rumah walaupun bilik asing. Papa kecewa bila dapat tahu benda ni. Kamu masih nak menjatuhkan maruah Hurin ke?"

"Farhan minta maaf papa. Farhan salah. Farhan cuma nak berbincang dengan Hurin."

"Kalau nak berbincang, kenapa bukan di tempat yang terbuka? Kenapa perlu di tempat kamu berdua-duaan?" Soal Dato' T. Amirsyah lagi. Anak lelakinya itu semakin hari semakin lain.

Tengku Farhan hanya mendiamkan diri. Dia juga tidak mahu melawan kata-kata papanya sekarang. Cukuplah dia sudah meminta maaf.

"Apa yang kamu berbincang dengan Hurin? Apa lagi yang kamu tak tahu selama ni?"

"Tentang mama dan Dayana," jawab Tengku Farhan dan mengeluh perlahan.

Dato' T. Amirsyah terus memandang ke siling pejabatnya dan menarik nafas sedalam yang mungkin. Saat nama isterinya disebut, dia perlu redha dengan semua yang bakal diterimanya.

"Apa yang mama dan Dayana buat pada Hurin? Beritahu papa," ucap Dato' T. Amirsyah.

"Mama minta Hurin untuk gugurkan Zufar..." Luah Tengku Farhan.

"Astagfirullah al azim."

Dato' T. Amirsyah terus berasa sebak. Dia tidak pernah menyangka isterinya sanggup mengugut Hurin untuk menggugurkan kandungan.

"Dan apa yang Dayana buat?"

"Dayana perangkap Farhan. Dia buat macam Farhan tidur dengan dia sedangkan Farhan tak pernah ajak dia datang ke rumah Farhan dulu pa. Hurin ternampak dan dia bergaduh dengan Dayana sehingga jatuh tangga. Dan selepas pada tu, mama panggil Farhan untuk balik ke rumah papa. Waktu tu mama beritahu Farhan yang Hurin tidur dengan lelaki lain. Dan waktu tu, Farhan..." Dadanya mula terasa sesak. Air matanya mula mengalir laju.

"Papa rasa cukup bersalah pada Hurin sekarang. Apa yang dilakukan oleh mama kamu terlalu besar. Papa rasa malu untuk jumpa dengan Hurin. Kamu dan mama kamu dah hancurkan hidup Hurin," tutur Dato' T. Amirsyah dengan rasa sebak.

Tengku Farhan hanya menangis teresak-esak di hadapan Dato' T. Amirsyah. Dia berasa dirinya benar-benar tidak berguna. Semuanya kerana dendam yang dipahat di dalam jiwanya sendiri.

"Hurin ada beritahu kamu tentang perkara lain?"

"Takde papa. Hurin cakap dia takkan maafkan Farhan..." Lirihnya perlahan.

Dato' T. Amirsyah juga kehilangan kata-kata. Dia sendiri juga terkejut dengan semua kebenaran yang disimpan selama ini. Dirinya salah dalam menilai seorang wanita yang dianggap sebagai anaknya sendiri. Semuanya kerana terlalu menyayangi isteri dan anaknya sendiri.

"Papa harap Farhan berubah lepas ni. Papa tak nak Farhan junjung ego dengan orang lain. Apa yang dah berlaku jadikan sebagai pengajaran. Tentang Hurin, papa rasa lebih baik kita jauhkan diri daripada dia. Biarlah dia tenang dan bahagia dengan caranya," ucap Dato' T. Amirsyah. Dia sendiri sudah redha.

"Baik papa. Hurin masih benarkan Farhan untuk jumpa dengan Zufar. Hurin nak Farhan jalankan tugas sebagai papa Zufar."

"Alhamdulillah kalau macam tu. Tapi kamu jangan gunakan kesempatan ni untuk tawan hati Hurin. Trauma dalam diri Hurin tu bukannya mudah untuk disembuhkan," pesan Dato' T. Amirsyah.

"Baik papa. InsyaAllah, Farhan akan jalankan tanggungjawab Farhan sebagai ayah Zufar semula."

Dato' T. Amirsyah mengangguk perlahan dengan senyum tipis. Dia berharap ini menjadi pengajaran terbesar buat diri Tengku Farhan juga.

HAK MILIK TENGKUWhere stories live. Discover now