Zufar berjalan di sebelah Noah dengan langkah yang diatur kemas. Dia dibawa oleh Noah untuk berjalan-jalan di ruang hotel itu. Pada malam semalam dia dan Noah benar-benar bergaduh kerana berebut bantal. Dia tidak mahu tidur dengan lelaki itu, tetapi disebabkan rasa takut dengan keadaan bilik yang cukup besar, dia terus mengajak Noah untuk tidur bersamanya.
Tetapi hujungnya mereka berdua berebut satu bantal untuk dipeluk. Zufar juga sempat mengigit pipi Noah kerana berasa bengang. Noah pula mencubit pipi Zufar kerana tidak mahu kalah. Hujungnya mereka berdua terlelap dengan sendirinya kerana kepenatan.
"Jangan pergi jauh daripada aku. Aku ada kerja sikit nak buat," pesan Noah saat berjalan masuk ke dalam ruang makan di hotel itu.
Dia langsung berjumpa dengan seorang wanita yang sememangnya mengurus bahagian di situ. Tambah pula beberapa hari lagi, akan berlangsung sebuah majlis berkaitan dengan sebuah syarikat terkemuka. Sememangnya setiap tahun mereka akan menyambut di hotel itu.
Zufar memandang ke arah Noah yang sedang berbincang dengan seorang wanita dengan wajah bosan. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan untuk mencari permainan.
Tiba-tiba bibirnya mengukir senyum misteri. Secara senyap Zufar terus bergerak ke arah deretan buffet yang sudah disusun di atas meja.
Beberapa pekerja yang berada di situ juga mengerutkan dahi mereka dengan kehadiran Zufar di situ.
"Adik ni anak siapa? Mana mak ayah adik?" Soal Joey apabila melihat Zufar memandang lama ke arah pinggan yang berada di tangannya.
"Mama takde dekat sini. Papa saya dah meninggal," jawab Zufar dengan selamba.
Joey terus tersentak. Dia juga berasa seperti pernah melihat wajah Zufar itu. Tetapi otaknya tidak memberi kerjasama untuk mengingat.
"Jadi adik buat apa dekat sini? Siapa penjaga adik?"
Joey mula resah. Makan tengah hari akan bermula sebentar lagi. Sudah pasti ruang makan itu akan dipenuhi dengan penginap di hotel itu.
"Saya nak makan tu boleh?" Pinta Zufar dan menunjukkan satu bahagian yang tersusun kek dan roti.
Joey menggaru belakang kepalanya yang tidak gatal. Dia sebenarnya was-was dengan kemunculan si kecil itu.
"Lambat lah abang. Saya makan tau."
Joey terus tercengang saat melihat Zufar yang sudah berada di atas meja sambil mengunyah satu kek span. Selepas itu Zufar mengambil beberapa roti dan dimasukkan ke dalam bajunya.
"Eh budak ni. Turun dari situ!" Arah Joey.
Dia risau andai Noah ternampak akan hal itu dan dirinya yang akan dimarahi.
"Apalah abang ni. Ni pun kedekut," balas Zufar dan terus melompat terjun daripada meja kosong itu.
Joey terus mengejar Zufar yang melarikan diri di dalam ruang makan itu. Beberapa pekerja lain juga memandang pelik ke arah Joey yang sedang berlari-lari di ruang makan itu.
"Jangan lari!!" Jerit Joey sehingga mengejutkan Noah dan Puan Asnida yang sedang berbincang di sebuah meja.
Noah terus ternganga saat melihat Zufar yang menggigit roti di mulut dan berlari di dalam ruang makan itu. Dengan laju dia terus bangun dan mendapatkan Zufar.
Joey terus melepaskan nafas saat melihat Zufar yang sudah didukung oleh Noah. Saat itu dia mula berdebar kerana mengenangkan nasibnya nanti.
"Kau buat apa ni budak?" Soal Noah dengan mata yang cukup tajam ke arah Zufar.
"Sama lspar," jawab Zufar dengan roti yang masih di mulut.
Noah terus menarik roti dari mulut Zufar. Sabarnya sudah menipis saat itu.
YOU ARE READING
HAK MILIK TENGKU
RomanceDua takdir yang tidak pernah terjangkau akan berlaku. Dua hati yang tidak pernah bertemu lama lalu jatuh cinta. Dia, seorang tukang masak terkenal dan merupakan anak lelaki tunggal daripada Dato' T. Amirsyah dan Datin Aisyah. Perwatakan yang cukup...