BAB 23 🦋

5.1K 431 23
                                    

Tengku Farhan menarik nafas sebelum berjalan ke arah kereta yang dipandu oleh Datin Aisyah. Dia menerima panggilan daripada mamanya itu untuk berjumpa di tempat letak kereta hotel itu. Dia sudah tahu tentang Dato' T. Amirsyah yang mengamuk kerana mendapat tahu bahawa Datin Aisyah duduk di hotel itu.

Pintu kereta ditutup dan Tengku Farhan hanya memandang ke depan. Datin Aisyah di sebelah langsung tidak dipandang.

"Farhan pun marahkan mama ke?" Soal Datin Aisyah dengan nada sendu. Matanya sudah sembab kerana asyik menangis sejak dihalau keluar dari rumah dan hotel oleh Dato' T. Amirsyah.

"Mungkin Farhan tak layak pun nak marahkan mama. Sebab semua benda yang berlaku adalah daripada Farhan sendiri. Farhan minta maaf sebab buat mama benci dekat Hurin dulu," luah Tengku Farhan.

Ya.

Dialah punca sebenar. Dia sendiri yang memberitahu Datin Aisyah bahawa Hurin adalah penyebab Tengku Ariana membunuh diri. Semuanya kerana Datin Aisyah melawat rumah mereka selepas sebulan mereka berkahwin. Saat itu Datin Aisyah melihat keadaan Hurin yang penuh dengan lebam di tubuh.

Dan saat itu juga Tengku Farhan memberitahunya tentang semua dendam yang tersumat di hatinya. Selepas mengetahui hal itu, Datin Aisyah memilih untuk turut mendera mental Hurin. Segalanya dipaksa olehnya supaya dilakukan oleh Hurin.

Semua itu dibuat atas alasan Hurin punca anak sulungnya meninggal dunia. Sedangkan sebelum itu, dia melayan Hurin dengan cukup baik.

"Tapi apa yang mama buat bukan kehendak Farhan. Mama dah tabur fitnah dekat Hurin sampai papa kamu sendiri benci pada Hurin," ujar Datin Aisyah dengan nada sendu.

Tengku Farhan mengeluh perlahan. Silapnya juga kerana tidak menyiasat dengan lebih lanjut dan terus melontarkan kata talak kepada Hurin kerana berasa marah. Hujungnya berlaku jua perceraian yang dia sendiri tidak pernah terfikir.

"Tapi betul ke mama. Hurin tidur dengan lelaki tu?" Soal Tengku Farhan dengan nada kecewa.

"Mama tak tahu Farhan. Semua gambar tu mama dapat daripada Dayana. Dayana cakap dia ternampak Hurin masuk hotel dengan lelaki tu," jelas Datin Aisyah.

Sehingga ini juga, dia tidak mengangkat panggilan daripada gadis itu. Dia seolah baru sedar betapa bahayanya gadis bernama Dayana itu. Segalanya seolah dikawal oleh gadis itu padanya. Tetapi dia buta dalam memendam segala dendam buat Hurin.

Tengku Farhan terus meraup kasar rambutnya. Dia sudah sedar dengan sikap masuk campur Dayana dalam segala hal kehidupannya saat bersama dengan Hurin. Malah ayat Hurin yang mengatakan bahawa dia berlaku curang juga pasti berkait dengan kehadiran Dayana.

"Mama ada suruh Dayana datang rumah Farhan ke waktu Farhan masih suami Hurin?"

"Mama dah tak ingat Farhan. Mama cuma beritahu Hurin yang mama nak kamu dengan dia bercerai dan kahwin dengan Dayana. Seingat mama, Dayana pergi rumah kamu dengan mama. Belakang mama, mama tak tahu," luah Datin Aisyah dengan rasa debar.

Tengku Farhan terus mengeluh. Dia yakin pasti ada sesuatu yang berlaku di antara Hurin dan Dayana. Dan silapnya juga kerana tidak pernah mengambil tahu tentang hal itu.

"Buat masa sekarang mama duduk dulu dekat rumah Farhan. Farhan akan cuba pujuk papa semula."

"Farhan yakin papa akan terima? Kesalahan mama ni besar sangat Farhan. Mama rasa nak pergi jumpa dengan Hurin dan minta maaf," ujarnya langsung.

"Buat masa sekarang jangan dulu ma. Biar Farhan yang selesaikan semua masalah yang datangnya daripada diri Farhan sendiri. Lagipun Hurin baru keluar hospital. Farhan tak nak benda ni sakitkan kepala dia," jelas Tengku Farhan.

HAK MILIK TENGKUWhere stories live. Discover now