BEG pakaian Hakim untuk kembali ke tugasnya dan beroperasi selama beberapa hari, dikemasnya lalu tatapannya jatuh pada seraut wajah tampan si suami yang sudah kemas bersiap untuk menjalankan misi.
"Suami saya nak pergi dah?" soalnya lembut. Kedua belah tangan digalungkan ke leher si suami.
Dia tidak pernah menyangka bahawa dia akan menjadi semanja ini apabila sudah bersuami. Kalau boleh, pantang ada peluang pasti dia akan dakap tubuh tinggi nan kekar itu.
Oleh kerana, sedari kecil dia tidak pernah mendapatkan pelukan daripada sesiapa disebabkan sikapnya yang kurang bersosial dan kebanyakkan masa lebih banyak menjadi dingin dengan orang sekeliling.
"Ya, nak pergi dah. Kenapa? Takut rindu?"
"Tak takut. Sebab saya ada Allah untuk yakinkan bahawa suami saya ini hanya untuk saya. Cuma satu saya takutkan." Elnara mendongak memandang Hakim.
Sebelah tapak tangan Hakim menekup pipinya. Sebelah lagi tangan suaminya itu memaut pinggangnya erat dan penuh kejap.
"Apa itu?"
Mata Elnara berkaca, namun dia cuba untuk tidak kelihatan lemah. Bibirnya bergerak perlahan, hampir berbisik.
"Saya takut awak tak balik."
Hakim tersentak sedikit, namun senyumannya tetap terukir. Dia menunduk, dahi mereka hampir bersentuhan.
"Saya janji akan balik. Untuk awak."
Elnara memejamkan mata sejenak, menghayati setiap patah kata itu. Tapi hatinya masih gusar.
"Janji boleh diucap, tapi saya tahu awak tak boleh kawal apa yang berlaku di sana." Matanya pantas berkaca. Tatapan dilarikan ke bawah dari membalas renungan hangat itu.
Hakim menghela nafas panjang seraya tangannya mengusap lembut pipi isterinya. "Saya tahu. Tapi saya akan buat yang terbaik untuk pastikan janji tu tertunai. Awak kena percaya saya."
Elnara kembali memandang Hakim dengan penuh harapan. "Saya percaya. Tapi saya tetap manusia. Tak salah kan kalau saya takut kehilangan?"
Lantaran itu, Hakim menarik Elnara ke dalam pelukannya, erat seolah-olah mahu memindahkan seluruh kekuatannya kepada wanita itu.
"Tak salah. Saya pun akan takut kalau tempat kita bertukar," ujar Hakim sambil matanya dipejam buat seketika. Tidak mahu mengalirkan air mata.
Mereka berpelukan dalam keheningan yang penuh makna, hanya suara angin malam yang menemani. Hakim melonggarkan pelukan dan mencium dahi Elnara dengan lembut.
"Saya pergi dulu. Jaga diri, sayang. Dan doakan saya."
Elnara mengangguk perlahan, air matanya akhirnya jatuh. "Saya akan doakan. Setiap masa."
"Ingat. Kalau awak rasa semua orang benci awak, ada seorang yang tak akan pernah mampu untuk bencikan awak. Saya. Hakim Ezra."
Elnara sekadar mampu mengukir senyuman hambar. Hampir saja dia hendak melepaskan esakan. Tapi dia perlu terbiasa bakal ditinggalkan suaminya demi menjalani tugas menjaga kesejahteraan negara.
Hakim melangkah pergi dengan berat hati. Namun dia tahu, ada satu doa yang akan sentiasa mengiringinya. Manakala Elnara yang masoh berdiri di situ, sekadar memerhatikan sehingga bayang suaminya hilang dari pandangan. Kedua tangannya saling menggenggam janji yang baru sahaja mereka ikat dengan hati masing-masing.
SUASANA di wad kecemasan agak riuh tatkala seorang pesakit kritikal tiba dengan kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya. Kakitangan perubatan sedang bergelut untuk menstabilkan pesakit. Keadaan semerta itu menjadi tegang, dan kakitangan perubatan kelihatan panik.
YOU ARE READING
Bahagia Tanpa Ragu
Romance[ON GOING] 7th story | Spin off Puspita Milik Ishaq | Elnara ialah seorang wanita yang penuh dedikasi terhadap kerjayanya, namun di sebalik kejayaan itu, hatinya kerap dirundung ragu. Menjadi salah satu asbab dia memilih untuk sendirian. Namun hadi...