"Ok. Dah siap. Cantiknya anak mama ni." Ujar Aqish setelah rambut Mia siap disikat. Baju gaun yang cantik tersarung pada tubuh Mia dibetulkan sedikit.
Semalam Aqish pergi ke tempat kerja bersama Farish kerana selepas habis waktu kerja, mereka terus ke rumah Anak Yatim Sri Kasih untuk menjemput Mia. Setelah itu mereka ke pusat membeli-belah untuk membeli baju yang akan dipakai oleh Mia pada malam ini. Petang tadi pula Aqish membawa Mia ke taman permainan, memandangkan tiada kerja yang perlu dibuat sempena cuti hujung minggu. Farish pula tidak dapat turut serta petang tadi kerana perlu memantau persiapan makan malam syarikat agar berjalan dengan lancar.
"Terima kasih." Ucap Mia tersenyum malu.
"Sama-sama, sayang." Pipi Mia dicubit geram.
Dalam ralik Aqish berceloteh dengan Mia, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya menjerit nyaring minta diangkat. Telefon yang berada di atas katil dicapai. Skrin telefon Aqish pandang sekilas sebelum menjawab panggilan itu, kemudian dia hanya mendiamkan diri apabila mendengar pemanggil bercakap di hujung talian.
"Ok." Balas Aqish sepatah sebelum mematikan talian. Telefon binbitnya dimasukkan ke dalam beg bimbit Gucci.
"Jom sayang. Papa Mia dah datang tu." Ajak Aqish, tangan Mia dicapai.
Mia pula hanya menurut. Selepas bersalaman dengan Tan Sri Hakim dan Puan Sri Rose, langkah kaki Aqish dan Mia hayunkan ke arah kereta Farish yang elok diparkir di luar pagar.
Apabila terpandangkan saja kelibat Aqish dan Mia, Farish duduk bercangkung. Tangannya pula didepakan. Mia yang melihat segera berlari mendapatkan Farish dan memeluk lelaki yang sudah dianggap seperti ayah kandungnya. Pipi Mia, Farish cium penuh sayang. Aqish yang melihat kelakuan Farish dan Mia hanya tersenyum.
"Mama Mia tak nak peluk papa ke?" Farish melirikkan pandangan matanya ke arah Aqish.
"Mama malulah, papa." Balas Mia bagi pihak Aqish dan disambut oleh tawa Farish.
Aqish tersenyum mendengarkan balasan daripada Mia. Haihh. Ni barulah anak mama. Pandai back up mama. Farish ni pun satu, yang dia semakin hari semakin gatal ni kenapa. Kan ada jugak yang dapat merasa kasut tumit tinggi aku ni. Desis hati Aqish.
"Cantiklah Mia malam ni macam mama Mia. Nampak lawa sangat." Ucap Farish. Pipi Mia dicubitnya.
"Terima kasih. Papa, kenapa papa tak duduk serumah dengan mama?" Tanya Mia meluahkan isi fikirannya.
Dushh! Soalan itu tepat mengenai muka Aqish dan Farish. Pipi Aqish pula sudah terasa panas. Haii Mia, kecil-kecil dah pandai tanya soalan perangkap macam ni. Tak lain tak bukan mesti aku yang jadi mangsa kejap lagi. Sabar ajelah Aqish, tembokkan muka kau. Keluh Aqish sendiri.
Mata Farish lirikkan ke arah Aqish sebelum menjawab soalan Mia. "Sebab papa dengan mama Mia tak kahwin lagi, sayang. Nanti kami kahwin baru boleh duduk serumah. Tapi mama Mia tu tak nak kahwin dengan papalah." Adu Farish, riak sedih sengaja ditayang.
Jelingan maut Aqish hadiahkan kepada Farish. Nampaknya tekaan dia tepat. Hishh.. Farish ni, sukalah tu dapat sakat aku! Ada ke patut dia cakap macam tu. Suka hati dia aje cakap aku tak nak terima, dia ajak aku kahwin pun tak pernah. Tapi kalau dia ajak betul-betul, kau nak terima ke Aqish? No no. Aku belum bersedia lagi. Tapi betul ke kau belum bersedia ni, Aqish? Aku tengok kau macam syok dekat dia aje. Ehh, apa aku merepek ni. Cepat-cepat Aqish sedarkan diri.
Mia menghalakan pandangannya pada Aqish. "Kenapa mama tak nak kahwin dengan papa?" Dengan dahi yang berkerut, Mia bertanya.
Ya Allah. Apa punya soalanlah Mia ni. Boleh mati kena darah tinggi mama ni Mia kalau tiap-tiap hari Mia tanya soalan macam ni. Tadi elok-elok aje Mia back up mama, tapi kenapa sekarang Mia pula yang serang mama ni? Haihh.. sabar ajelah. Apa aku nak jawab ni? Aqish mati kutu.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ruang Bahagia
RandomPertemuan dengan lelaki mat saleh celup di traffic light dalam keadaan diri yang baru lepas putus tunang mula menimbulkan perasaan aneh dalam diri Aqish Natasha Tan Sri Hakim. Tetapi pantas dipujuk hati supaya serik dengan apa yang baru beberapa min...